Thursday 20 June 2013

Tutup sekolah jika IPU lebih 300

KUALA LUMPUR 20 Jun - Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan semua sekolah yang berada di dalam kawasan yang mempunyai Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 300 ditutup serta merta dan dimaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, arahan ini dikeluarkan Kementerian Pendidikan menerusi Surat Siaran berhubung langkah-langkah Kementerian Pendidikan bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid-murid di sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

"Jika IPU melebihi 150, pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi dengan fenomena tersebut. Manakala jika IPU melebihi 250, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah.

"Sehubungan itu, pihak JPN, PPD dan sekolah diarah untuk sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa fenomena jerebu ini melalui media massa dan laman web Jabatan Alam Sekitar untuk mengetahui status jerebu di kawasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid-murid terjamin, mereka dinasihatkan memakai penutup hidung dan pihak sekolah mestilah merujuk pelajar yang dikenal pasti tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran.


Sementara itu, di Nusajaya, JOHOR, seramai 76,940 murid dan pelajar di 211 buah sekolah di daerah Muar dan Ledang diarah bercuti serta-merta mulai hari ini berikutan masalah jerebu yang semakin meruncing apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan bahaya melebihi 300.

Pengetua dan guru besar di Kota Tinggi dan Pasir Gudang juga turut diminta bersedia jika bacaan IPU di kawasan tersebut terus meningkat.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, arahan kepada sekolah rendah dan menengah di Muar dan Ledang itu dikeluarkan menerusi pekeliling selepas bacaan IPU di Muar mencecah 383 pada pukul 11 pagi tadi.

No comments:

Post a Comment