Wednesday, 26 June 2013

AROMA TEBALOI YANG MENGASYIKAN



Perjalanan selama lebih 30 minit ke sebuah perkampungan di Mukah, Sarawak begitu mengasyikkan dengan pemandangan rumah papan masyarakat setempat, selain pohon bakau yang segar di persisir sungai.
Namun, pandangan kami terhenti sejurus tiba di kampung itu apabila tersergam indah beberapa pohon setinggi 12 hingga 15 meter.
Pelbagai persoalan bermain di benak penulis sehingga pemandu pelancong Greatown Travel Sdn Bhd, Rody Michael seolah-olah membaca fikiran kami lalu membuka kisah misteri di sebalik pohon itu.

“Ia adalah kubur penghuni bangsawan setempat dipanggil jerunai, diperbuat daripada kayu belian (nama saintifik, Eusideroxylon Zwaggen) yang diukir dengan pelbagai motif flora dan haiwan.
Foto
JERUNAI terakhir seorang puteri 175 tahun lalu.

“Orang dulu mengamal­kan konsep kubur terapung kerana khuatir kubur mereka ditenggelami air ketika musim banjir.

“Kubur hamba tidak diletak di jerunai, sebaliknya rangka setinggi satu hingga dua meter didirikan bagi menempatkan perahu yang mengandungi mayat mereka,” kata Rody.
Foto
PENIAGA tempatan menghiris isi ikan untuk dijadikan Umai.

Beliau berkata, jerunai dibahagikan kepada dua atau tiga bahagian merangkumi korban hamba abdi lelaki di bahagian bawah, diikuti bahagian tengah (tulang temulang dan harta benda) dan atas (hamba abdi perempuan).

“Namun, malang bagi hamba yang dipilih untuk dikorbankan jika ada golongan bangsawan yang meninggal dunia.

“Mereka akan digantung pada jerunai tanpa diberi makan dan minum sehingga tidak bernyawa. Hamba abdi perempuan berusia antara 12 ke 13 tahun digantung bersama di puncak jerunai bertujuan menemani bangsawan itu sepanjang kehidupan akhirat mereka,” katanya.


Foto
KEADAAN di Pasar Sentral Sibu.
Amalan kuno itu hanya diamalkan sebelum kemasukan Islam kira-kira 175 tahun dulu.

Kini, masyarakat Melanau di Kampung Tel­lian Tengah terdiri daripada 1,600 penduduk beragama Kristian.

Kampung Tellian Ulu didiami 1,980 penduduk pagan manakala penduduk di Kampung Tellian Hilir pula beragama Islam.

Foto
KAEDAH kreatif menjual ayam di Pasar Sentral Sibu.
Tempoh berada di Mukah atas jemputan syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air memberi 
pe­ngalaman baru kepada penulis mengenai sejarah dan destinasi menarik di Sarawak.

Penulis turut dibawa menikmati makanan tradisional Sarawak iaitu tebaloi yang diperbuat daripada adunan kelapa parut de­ngan tepung sagu dan dibakar kering.

Bagi yang pertama kali mencubanya pasti jatuh cinta kerana rasanya begitu lazat dan tidak begitu manis.


Foto
SEROMBONG kilang rumbia setinggi 20 meter menjadi mercu tanda di Mukah.
Malah, ia persis kuih bang­kit, namun yang membezakannya cuma teks­turnya yang nipis dan rangup.

Walaupun penulis berasal dari Sarawak, tetapi apabila melihat sendiri proses menghasilkan makanan tradisional itu, memang satu pengalaman baru.

Perjalanan kami ke Pusat Pemprosesan Tebaloi Unit Peladang Kampung Tutus Hilir memberi peluang melihat sendiri proses menghasilkan makanan tradisional itu.


Foto
ROMBONGAN media bergambar di depan tokong terbesar di Asia.
Belum lagi memasuki pintu utama bangunan itu, aroma tebaloi yang dibakar menusuk hidung penulis.

Pengurus Operasi pusat itu, Samsiah Zaffarin berkata, makanan itu unik kerana didatangkan dengan pelbagai perisa termasuk kunyit, asli, strawberi, pandan dan coklat.

“Resipi keluarga sejak 1990 masih mengekalkan keasliannya termasuk penggunaan daun pisang.


Foto
JERUNAI terakhir seorang puteri 175 tahun lalu.
“Dulu tebaloi dibakar dengan dapur tanah liat, kini menggunakan kayu api.

“Dulu, perniagaan dari rumah, tetapi sejak 10 tahun lalu kami membina kilang kerana permintaan semakin bertambah termasuk di luar Mukah termasuk Brunei,” katanya.

Katanya, pelancong juga gemar menikmati makanan tradisional itu, justeru pelbagai perisa baru dihasil­kan termasuk cencaluk atau udang.

Penulis bertuah kerana berpeluang melihat proses menghasilkan makanan ala Jepun, umai. Makanan daripada suku Melanau itu diperbuat daripada ikan parang, tenggiri dan yu.

Selain melihat monumen Serombong Kilang Rumbia yang menjadi mercu tanda Mukah yang juga terkenal dengan pembuatan makanan tradisi, sagu, kami juga sempat berkunjung ke bandar ketiga terbesar di Sarawak iaitu Sibu.

Penulis bersama rakan media mengunju­ngi muzium mini warisan ‘Sibu Heritage Centre’ selain Pasar Sentral Sibu.

Kami turut singgah di rumah panjang Bawang Assan dan Tokong Buddha, Taois dan Konfusius terbesar di Asia, Yu Lung San Tien En Si.

Pengalaman di Mukah dan Sibu memang me­nyeronokkan kerana selain mengenali pelbagai makanan tradisional di Sarawak, kami turut mendapat pe­ngalaman baru termasuk menonton pertunjukan ritual masyarakat Iban iaitu tarian ngajat.

Credit:  Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

No comments:

Post a Comment