Thursday 20 June 2013

KUALITI UADARA TERUS MEROSOT

  • Foto
    Seorang penunggang motosikal memakai topeng meredah jerebu di Muar, Johor.
  • Foto
    Keadaan di Bandaraya Melaka pagi semalam.
Dua negeri catat IPU lepasi tahap bahaya
Kuala Lumpur: Kualiti udara di beberapa kawasan di Johor dan Melaka terus merosot, dengan dua kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi tahap bahaya iaitu 301.

Sehingga semalam, bacaan IPU dari 51 stesen pengawasan kualiti udara menunjukkan Muar mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 383 sehingga jam 11 pagi, manakala Pasir Gudang setinggi 333 pada jam 5 petang berbanding 199 pada paginya. 


Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, punca kemerosotan kualiti udara dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September ini. 


83 titik panas di Malaysia

“Laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan ada 173 titik panas di Wilayah Riau kelmarin, berbanding 187 sehari sebelumnya.

“Di Malaysia pula, 83 titik panas direkodkan, iaitu tertinggi di Sarawak (70), Kelantan (enam), Pahang (dua) manakala Selangor, Melaka, Sabah dan Terengganu masing-masing satu,” katanya.

Berikutan kemerosotan kualiti udara yang berterusan di beberapa kawasan sejak tiga hari lalu, kementerian memaklumkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu selaras Tahap Amaran 3A dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan di kawasan berbahaya dan sangat tidak sihat, iaitu Kota Tinggi. 



  • Foto
    Keadaan di Bandaraya Melaka pagi semalam.

Ketua Pengarah Alam Sekitar sudah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di seluruh Selangor, Melaka dan Johor berkuat kuasa kelmarin sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kecuali pembakaran mayat, keagamaan, aktiviti memanggang (barbeku) serta pembakaran gas mudah terbakar.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah JAS sudah menulis surat kepada rakan sejawatnya di Kementerian Alam Sekitar Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan titik panas di Sumatera Tengah yang menyebabkan jerebu di Semenanjung sejak 15 Jun lalu.

“Malaysia juga menggesa Indonesia melaksanakan tindakan segera pencegahan dan memadam kebakaran,” katanya.

Berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara, kementerian menasihati orang ramai tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. 



Credit: bhnews@mediaprima

No comments:

Post a Comment