Google+ Followers

Wednesday, 30 January 2013

Pelan cegah jenayah perlu bermula di sekolah


Kuala Lumpur: Pelan pencegahan jenayah untuk tempoh jangka panjang perlu bermula dari peringkat awal lagi dalam kalangan murid sekolah kerana masa depan negara bergantung pada golongan ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, kerjasama semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia penting jika pelan itu ingin dilaksanakan.
“Isu kesedaran pencegahan jenayah dalam kalangan murid sekolah adalah perkara penting dan serius serta memerlukan persiapan dari sekarang.
“Kita juga sedar pembabitan remaja dalam pencegahan jenayah ketika ini tidak ramai, namun langkah proaktif perlu dilakukan untuk memastikan negara terus aman,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hari Kelab Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Ibu tunggal 9 anak dicekup bogel




BESUT - Usaha seorang wanita berusia 54 tahun bersembunyi di bawah katil untuk mengelak diberkas pasukan pencegah maksiat di sebuah rumah dekat Kampung Anak Musang, Jabi di sini, gagal apabila ditangkap dalam keadaan berbogel.

Wanita berstatus ibu tunggal yang dikatakan sudah mempunyai sembilan anak itu hanya menutup badannya dengan kain selimut ketika bersembunyi.

Sepasukan pegawai dan anggota Penguat kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Besut membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu jam 12.05 malam selepas mendapat maklumat orang ramai.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, ketika sampai di depan rumah, anggotanya  mendapati pintu utama rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam.

Menurutnya, selepas dua minit diberi salam, seorang lelaki yang tidak berbaju dan berseluar hitam membuka pintu rumah.

“Dia memberitahu hanya seorang diri dalam rumah berkenaan tetapi pemeriksaan di dalam sebuah bilik, menemui wanita berkenaan sedang bersembunyi di bawah katil yang hanya  menutup tubuhnya dengan kain selimut,” katanya.

Azmi berkata lagi, siasatan lanjut mendapati mereka bukan suami isteri atau muhrim.

Pasangan wanita itu seorang tukang rumah berusia 56 tahun seorang duda beralamat di Kampung Beting Lintang, manakala wanita berkenaan bekerja sebagai penoreh getah.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzil) Terengganu 2001 kerana percubaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.


Credit: Sinar Harian

Baca al-Quran bantu lebih fokus


Kota Bharu: “Amalan membaca al-Quran, berpuasa sunat dan solat hajat membantu saya lebih fokus serta tenang menghadapi peperiksaan,” kata pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, Wardah Mat Ali, 19, yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), semalam.
Wardah memperoleh Mumtaz untuk mata pelajaran Hifz al-Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus, ‘Arudh dan Qafiyah, dan Balaghah, manakala dalam mata pelajaran Insya’ dan Mutala’ah, dia memperoleh Jayyid Jiddan.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu turut menjadikan contoh kejayaan dua abang dan tiga kakaknya melanjutkan pengajian di Mesir, Madinah dan Maghribi sebagai pendorong dan pembakar semangatnya untuk memperoleh kejayaan.
Berkongsi tips kejayaannya, anak pasangan Mat Ali Ngah, 54, dan Noriah Ismail, 53, dari Kampung Bayam di sini, berkata, dia memberi 100 peratus tumpuan ketika sesi pembelajaran selain kerap bertanya soalan kepada guru jika tidak faham.
“Saya membuat latih tubi bersama rakan dan belajar berkumpulan. Bagi membantu meningkatkan daya ingatan, saya amalkan memakan kismis serta kurma yang sememangnya baik untuk kesihatan,” katanya yang memperoleh 10A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia sebelum ini.

Hargai nikmat kehidupan

Usah persiakan umur panjang, kemewahan harta dimiliki 

Nikmat kehidupan yang dikurniakan adalah gambaran Allah SWT amat mengasihi hamba-Nya. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan. 


Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup yang dihadapi, ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kasih sayang tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. 



Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah yang menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Syukuri setiap anugerah

Kadangkala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada orang yang tidak dapat merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan sebuah kehidupan yang lengkap. 

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa menyebabkan apa yang dikurniakan tidak memberi faedah kepada mereka. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan untuk diri serta orang lain, tetapi ada yang menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan melakukan maksiat.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Riwayat At-Tirmizi) 

Adanya tenaga dan akal, gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya merasa nikmat yang Allah berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat lain. Buat orang yang berhati-hati, mereka tahu semuanya pinjaman saja.

Mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu supaya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang berkemampuan.

Membazirkan nikmat

Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya. Memusnahkan imbangan alam, mengotorkan sumber air, membiarkan tanah-tanih tanpa tanaman dan menzalimi sesama makhluk.

Sambutan ulang tahun kelahiran yang saban tahun diraikan haruslah dijadikan kayu pengukur sama ada nikmat usia yang dikurniakan benar-benar kita hargai. Antaranya, jantung yang masih berdegup, adakah kita terus menjadi hamba yang taat atau ingkar?

Nikmat panjang usia

Usia yang panjang adalah satu nikmat tidak ternilai. Dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia ini diambil semula oleh pemiliknya, tiada peluang lagi untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.

Sebab itulah kalau kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan yang sangat bermakna. 

Firman Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah Al-‘Araaf, ayat 34)

Justeru, jika kita mengerti nikmat Allah SWT yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita. Sedangkan bertahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan yang lebih abadi. 

Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadarnya, kita sepatutnya tersedar dari awal bahawa kematian adalah pengakhirannya. Sedang pintu taubat sentiasa terbuka, janganlah kita longlai usaha untuk menjadi insan. 

Credit: Nik Salida Suhaila

Semai sikap rendah diri hormati guru


Sikap, tingkah laku dan perangai segelintir pelajar di sekolah hari ini sangat menyedihkan serta cukup membimbangkan. Mereka bukan saja terbabit gejala ponteng, pergaulan bebas tiru budaya Barat, penagihan dadah, pergaduhan, membuli bahkan ada yang berani mencederakan guru. 

Seakan lenyap sudah rasa kasih sayang, hormat dan kecenderungan ingin memuliakan guru di jiwa mereka. 
Akhlak buruk ini tidak sedikit pun mencerminkan keperibadian murni seorang pelajar Islam. Islam sememangnya sangat menitikberatkan soal adab pelajar terhadap gurunya. 
Setiap kita yang menerima ilmu pengetahuan dari guru, menjadi satu kewajipan menghormati dan memuliakannya. Walaupun apa yang diajar itu hanya satu perkara kecil, patut mengiktirafkan dirinya sebagai guru. 
Saidina Ali berkata: “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan (guru) kepada ku.” 

Tugas guru murni 
Seorang pelajar haruslah menyedari kedudukan guru mulia di sisi Allah SWT kerana tugas guru sangat murni, membawa manusia daripada kejahilan menuju kebijaksanaan dan berilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. 

Dengan adanya ilmu, menjadikan kehidupan sempurna bahkan negara berada di puncak kemajuan lantaran masyarakatnya berilmu pengetahuan. Ada sesetengah ulama mengatakan, guru umpama pelita zaman. Tiap seorang daripada mereka adalah pelita yang menyinari ahli zamannya. 
Lantaran itulah, memuliakan dan mengagungkan guru termasuk perkara yang dianjurkan Islam seperti sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati orang tua, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengerti hak ulama kami.” (Riwayat Ahmad) 

Sepadan dengan hadis itu, Imam Nawawi pernah menyarankan seorang pelajar memperhatikan gurunya dengan pandangan penghormatan. 

Contohi Imam Syafie 

Kita patut mencontohi Imam Syafie menghormati guru. Suatu waktu, Imam Syafie yang sedang mengajar lantas bangun lalu memeluk seorang Badwi yang selekeh dan nampak susuk tubuhnya tak terurus dengan sempurna yang baru tiba. 

Perbuatan Imam Syafie tadi sudah tentu menghairankan pelajarnya. Imam Syafie memberi hormat dengan cara memeluk si Badwi tadi kerana telah mengajarnya perihal anjing. Badwi itu pernah menerangkan kepada Imam Syafie, anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya ketika kencing. 

Dengan penerangan itu, dapatlah Imam Syafie menyudahkan mengarang kitab fiqh setelah menghadapi satu kesulitan untuk membezakan antara anjing cukup umur dengan anjing yang belum cukup umurnya. 

Malangnya ada sebilangan pelajar yang melenting marah dan meluat apabila guru menegur atau memberi nasihat. Tindakan demikian bukan saja tidak dapat membina diri menjadi insan berguna, tapi lebih menyerlahkan sikap biadap yang didorong hawa nafsu dan dimurkai Allah SWT. 

Teguran tanda sayang 

Sepatutnya pelajar banyak bersabar, mendengar dengan rendah hati serta mematuhinya dan berterima kasih kerana guru telah memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya. Anggaplah marah dan teguran tanda sayang seorang guru terhadap muridnya. 

Enggan menerima nasihat menunjukkan sifat keras hati dan tinggi diri. Bukankah ilmu baru dapat dimiliki jika selalu merendah diri seperti diungkapkan Imam Ghazali: “Ilmu itu hanya akan diperoleh dengan merendahkan diri dan memerhatikannya.” 

Sikap sesetengah ibu bapa hari ini yang tidak suka anaknya dijentik, didenda dan dirotan guru di sekolah atas salah laku tertentu boleh membantutkan proses pendidikan anak-anak. Tindakan sebegini bukanlah tanda sayang kepada anak tetapi hanya menggalakkan mereka melanggar disiplin. 

Kita selaku ibu bapa harus elakkan bersikap sombong, sebaliknya mempercayai kepakaran guru mendidik anak ke arah kebaikan. Dengan demikian, nescaya terbinalah anak tadi sebagai seorang insan yang berguna dan berjaya di dunia serta akhirat.

Maut kereta dihempap lori pasir




Kemalangan lori pasir menghempap sebuah kereta sehingga menyebabkan seorang maut berhampiran berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya ini menyebabkan laluan ke pusat bandar di Lebuhraya Persekutuan mengalami kesesakan teruk sepanjang 3 kilometer. - UTUSAN/IZHAM JAAFAR


KUALA LUMPUR — Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila sebuah lori pasir terbalik lalu menghempap kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini malam tadi.
B. Delvandra Kumar, 41, yang memandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala rakannya, juga lelaki, kini dirawat di PPUM.
Difahamkan lori pasir yang tidak membawa muatan itu mengalami kerosakan akibat kotak gear meletup secara tiba-tiba dan terbabas kira-kira 50 meter.
Pegawai operasi pasukan Bomba dan Penyelamat, Zainal Aziz berkata, kejadian pada pukul 9 malam itu menyebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh penghadang jalan menyebabkan lori itu terbalik ke laluan bertentangan dan menghempap kereta berkenaan.
Beliau berkata, kejadian itu turut melibatkan dua kereta lain apabila sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Harrier dan Perodua Kancil yang berada di belakang kereta itu tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit.
"Dua lelaki dan seorang wanita yang berada dalam Toyota Harrier serta seorang wanita yang memandu kereta Kancil tidak cedera,” katanya. 
Credit: BERNAMA

Dakwah bermula dari dalam diri


NABI Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. Kelahiran baginda adalah untuk membawa sinar cahaya agar dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Baginda bukan sahaja dianggap sebagai penyelamat manusia daripada kemalapan duniawi seperti kemiskinan, persengketaan dan kesengsaraan semata-mata.

Namun, apa yang lebih penting, baginda memberikan petunjuk agar manusia dapat memilih jalan kebahagiaan, bukan jalan yang mencampakkan diri mereka ke neraka Jahanam.

Betapa ajaran Nabi Muhammad SAW itu terlalu penting untuk manusia, maka setiap kali baginda diancam dan digugat, Allah SWT akan memelihara dan memberikan perlindungan. Perlindungan-Nya itu kadang-kala datang dalam bentuk mukjizat.

Perlindungan Allah SWT juga datang dalam bentuk yang tidak dapat dilihat iaitu; membantu baginda dalam membuat keputusan, dalam bentuk suntikan semangat dan motivasi kepada baginda agar terus bersemangat dalam menempuh segala rintangan yang tidak pernah bertepi.

Allah SWT juga memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dengan adanya isteri-isteri serta para sahabat yang setia dan wala' kepada arahan baginda. Merekalah yang banyak membantu sehingga menghasilkan kejayaan dakwah selama 23 tahun dalam arenanya yang tersendiri.

Pun begitu, ini bukanlah bermaksud kejayaan dakwah Rasulullah SAW bergantung kepada bantuan manusia. Buktinya ketika Nabi SAW kehilangan selamanya isteri iaitu Khadijah ra dan bapa saudara, Abu Thalib. Walaupun kedua-dua insan ini amat penting dalam kehidupan baginda, namun dakwah yang dibawa tidak pernah terhenti.

Perjuangan Islam diteruskan dengan pergantungan penuh kepada-Nya. Kematian Khadijah dan Abu Thalib sekali gus menangkis tohmahan golongan orientalis dan musuh-musuh Islam yang mendakwa kejayaan dakwah baginda bergantung kepada manusia.

Namun, hakikatnya adalah keputusan daripada Allah SWT untuk membuktikan kepada manusia akan kekuasaan Allah SWT yang berkuasa menentukan kejayaan kepada Rasulullah SAW tanpa ada sebarang makhluk pun yang dapat menghalang-Nya.

Perjalanan dakwah Nabi SAW sebenarnya melalui beberapa peringkat. Pada setiap peringkat mempunyai cabaran dan rintangannya yang tersendiri. Di sinilah Nabi SAW dan para sahabat diuji kebenaran iman yang mereka ikrarkan, sama ada hanya di mulut ataupun kukuh di hati sanubari.

Pada peringkat awal, Nabi SAW dididik dan ditarbiah oleh Allah SWT sehingga umur baginda mencecah 40 tahun.

Semasa kecil, Nabi SAW diuji dengan hidup sebagai anak yatim. Baginda dipelihara oleh datuknya, Abdul Muthalib dan kemudiannya oleh bapa saudaranya, Abu Thalib.

Baginda pernah dibawa untuk berniaga di Syam dan beberapa tempat lain. Kemuncaknya,Nabi SAW telah dipilih untuk meletakkan Hajarul Aswad oleh pembesar-pembesar Quraisy. Semuanya adalah proses pentarbiahan yang telah disusun oleh Allah SWT sebelum baginda menerima pelantikan kerasulan.

Peringkat pertama ini memberikan gambaran kepada kita bahawa untuk menjadi pendakwah yang hebat dan berjaya perlu bermula dengan diri kita sendiri. Jangan terlalu sibuk dengan program-program dakwah dan tarbiah sehingga melupakan diri kita sendiri. Allah SWT menempelak golongan yang menyuruh orang lain berbuat kebaikan, namun mengecualikan dirinya sendiri daripada kebaikan tersebut. (rujuk al-Baqarah: 44 dan al-Muddatthir: 1-2)

Bertitik tolak daripada ayat ini, maka dakwah baginda bermula dengan keluarga terdekat dan sahabat-handai. Ini satu strategi berkesan kerana biasanya keluarga dan sahabat sudah mempunyai persefahaman dengan kita. (rujuk asy-Syu'ara': 214)

Peringkat ini memberikan kita pengajaran bahawa menjadi tanggungjawab yang perlu diutamakan untuk kita berdakwah kepada orang-orang yang rapat dengan kita seperti pasangan, adik-beradik, anak-anak dan sahabat-sahabat terdekat. Jangan terlalu sibuk memikirkan orang lain sehingga keluarga sendiri terabai.

Credit: 
WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN Takaful Ikhlas

Didik anak ikut al-Quran



KELUARGA adalah asas yang paling kecil dalam pembentukan sesebuah masyarakat, manakala masyarakat yang baik akan membentuk bangsa dan negara yang kuat dan sejahtera. Keluarga yang kuat dari segi akidah, pendidikan dan ekonomi akan menyumbang kepada kehidupan masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, pendidikan kekeluargaan sangat penting dalam Islam.

Islam sangat mengharapkan ibu bapa yang mempunyai keluarga, terutama keluarga yang ramai dapat dididik dan dibentuk ke arah kesejahteraandunia dan akhirat.

Konsep pembentukan keluarga bahagia mesti bermula daripada pendidikan dan bimbingan daripada ibu bapa yang bertanggungjawab dalam hal pendidikan anak-anak.

Tujuan pendidikan dalam al-Quran adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, menjauhi syirik kepada-Nya, mensyukuri nikmat-Nya, bertakwa, bertawakal membentuk insan soleh, menegakkan amar makruf nahi mungkar, mewujudkan kemakmuran di muka bumi dan kebahagiaan hidup.

Pendidikan bermula dari rumah iaitu pendidikan anak-anak dan juga keluarga. Oleh itu, didiklah ahli keluarga dan juga anak-anak dengan pendidikan menurut al-Quran.

Ada pendapat mengatakan bahawa, keluarga adalah inti peradaban. Ini bermaksud pembentukan keluarga melalui pendidikan akan menyumbang kepada peradaban bangsa dan ummah pada masa akan datang.

Oleh itu, setiap ibu bapa berperanan penting membentuk keluarga bahagia dan kemudiannya menyumbang kepada peradaban bangsa.

Lantaran itu, pendidikan iman, akhlak dan amalan yang baik sangat penting diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Melalui pendidikan adab dalam Islam akan mencapai budi pekerti yang baik dalam kalangan ahli keluarga. Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak dalam ibadah yang menjurus kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Pendidikan anak-anak dan pembentukan keluarga yang beriman dan bertakwa adalah amanah kepada ibu bapa. (rujuk al-Anfal: 27-28)

Jelas bahawa, mendidik keluarga dan anak-anak adalah amanah yang besar. Dalam menjalani ujian ini telah dijanjikan pahala yang besar terutamanya dalam pengurusan harta dan juga pendidikan anak-anak. (rujuk al-Anfal: 75)

Dalam hubungan ini, hubungan kekeluargaan itu sangat penting. Asas pembentukan orang yang beriman adalah bermula daripada keluarga. Keluarga yang terdidik dengan iman dan takwa akan dapat mengelakkan api neraka.

Tokoh pendidikan, Khursid Akhmad menyatakan, jatuh bangunnya sesuatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Pemimpin dalam keluarga, iaitu ibu bapa adalah pendidik yang mesti menjaga masa depan keluarga iaitu anak-anak daripada terjebak ke lembah kemaksiatan yang boleh mencampakkan mereka ke neraka.

Sikap tegas dan peranan penting ibu bapa dalam menangani persoalan pendidikan anak-anak yang bakal mewarisi generasi hari ini dan generasi akan datang. Ini mesti dilakukan dalam hal berkaitan akhlak dan adab anak-anak.
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapa berperanan membentuk potensi diri mereka ke arah kebaikan. Pendidikan mestilah menjurus kepada pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, budi pekerti, jasmani, rohani, keterampilan dan kemasyarakatan.

Ibu bapa mestilah mendidik anak-anak dengan bersikap adil, memahami jiwa anak-anak, tegas dalam hal berkaitan ibadah dan akhlak, kasih sayang, berdisiplin dan persamaan. Anak-anak mestilah dididik dengan keimanan yang kukuh dan mantap bagi menghadapi apa juga cabaran dalam hidup.

Imam Syafie pernah berwasiat iaitu benteng iman dengan lima kekuatan iaitu: "Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibaja keimanan dengan lima perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah."

Credit: AMINUDIN MANSOR

BILAKAH DAMAI DI SELATAN THAILAND??


KESELAMATAN penduduk kampung di Selatan Thailand dijaga 
dengan baik oleh tentera.

KONFLIK berpanjangan di tiga wilayah di Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala bukan baru. Namun masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu membingungkan banyak penganalisis dan pemerhati . Ada yang menyatakan bahawa masalah di tiga wilayah yang majoriti dihuni penduduk beragama Islam itu berpunca daripada penyisihan dan penindasan.

Kalangan penduduk dikatakan tiada hak dan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Mereka dikatakan dilarang untuk menunaikan ibadat pada perayaan tertentu seperti korban semasa Aidiladha. Cuti umum juga tidak diisytiharkan semasa Aidilfitri atau Maulidur Rasul.

Terdapat juga teori lain, konflik yang berpanjangan berakar daripada masalah kemiskinan, hasil daripada dakwaan penyisihan terbabit. Sebagai contoh dalam bidang pendidikan di mana penduduk Muslim majoritinya tiada peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Paling tinggi sekalipun, hanya tamat sekolah rendah. Selebihnya mereka menimba ilmu di sekolah-sekolah pondok, tetapi dicurigai pula oleh kerajaan memerintah sebagai markas mencambahkan benih keganasan.
Tidak kurang, konflik Selatan Thailand yang berpanjangan sehingga damai dikatakan hampir ilusi adalah disebabkan hubungan antara Muslim dan agama rasmi Thailand, Buddha. Orang kampung yang beragama Islam tidak boleh menerima kehadiran tentera, yang rata-rata beragama Buddha. Manakala, sami serta tentera pula tidak faham budaya dan amalan dalam agama, sekali gus jurang curiga antara satu sama lain melebar.

Data oleh University Prince of Songkhla, Haadyai mendedahkan bilangan keseluruhan penduduk di 3 wilayah di Selatan Thailand ialah 1,748,682 orang. Daripada jumlah itu, 1,386,880 atau 80 peratus beragama Islam. Penduduk beragama Buddha cuma menyumbang 20% daripada jumlah keseluruhan penduduk atau seramai 351,367 orang.

Faktor-faktor itu diakui benar oleh beberapa pihak yang ditemui semasa lawatan ke tiga wilayah baru-baru ini. Kata Ustaz Ghazali Abdul Rani , seorang guru sekolah agama Nahdathul Shuban, orang Islam sememangnya ditindas oleh kerajaan pusat Bangkok.

"Bagaimanapun, keadaan banyak berubah terutamanya selepas peristiwa pada 2004 yang mencetuskan putaran keganasan tanpa henti sehingga sekarang," ujarnya yang sudah 25 tahun mengajar di sekolah berkenaan.

Bagi seorang tenaga pengajar, Wan Iman Wan Jaafar, turut mengakui sebelum ini orang-orang Islam dipinggirkan dari segi pendidikan, sama ada kerana kemiskinan atau terbatas untuk melanjutkan pelajaran.
Majoriti keluarga yang beragama Islam hanya berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok.

"Akhirnya, pilihan itu tidak membolehkan anak-anak mereka mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu membangunkan ekonomi keluarga masing-masing,'' ujarnya sebelum menyambung pandangan bahawa kini keadaan sudah jauh berubah.

Katanya lagi, kini universiti banyak dibangunkan di tiga wilayah di Yala, Pattani dan Narathiwat. Bilangan pelajar yang beragama Islam dari tiga wilayah bergolak juga mencatatkan penambahan.

Sementara itu, kalau sebab curiga antara agama yang menjadi hambatan keamanan dicapai di Selatan Thailand, tinjauan selama empat hari baru-baru ini member kesimpulan sebaliknya. Di sebuah perkampungan bernama Anak Rhu, Pattani, Imam dan Sami tinggal sekampung, malah masjid dan kuil cuma sebelah menyebelah.

Mereka tidak ada masalah untuk berkomunikasi dengan bahasa Thai jadi penghubung, kerana Imam juga fasih berbahasa Thai. Sami pula, jika imam ditimpa sakit pening, beliau datang menziarah sebagai jiran selain mendoakan kesihatan imam.

Dalam setiap ceramah, imam seringkali menekankan betapa penting kefahaman dan toleransi dalam agama. Betapa agama apa sekali pun, menggalakkan keamanan, menolak keganasan. Jika agama jadi sebab keganasan berpanjangan kenapa kalangan mereka yang beragama Buddha juga jadi mangsa dan korban kematian?

Memang benar, lebih ramai orang Muslim mati dalam ribuan kes keganasan yang dilaporkan berbanding kalangan penduduk Buddha. Faktanya juga, isu hak asasi khususnya yang dilakukan tentera ke atas orang-orang Islam menyumbang kepada rasa marah , yang kemudiannya melebar kepada tindakan keganasan jika tidak dikawal.

Antara contoh kes, pada 2004, insiden di Masjid Krue Se dan pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai. Kedua-duanya berlaku di Narathiwat, satu ketika umat Islam bersolat Subuh, satu lagi semasa umat Islam menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Selepas insiden itu, banyak lagi siri keganasan yang mengaitkan agama sebagai faktor termasuk isu pemisah. Namun, tentera turut mengakui bahawa apa yang berlaku disebabkan pengaruh dadah atau "geng mafia" yang cuba menangguk di air keruh. Lantas mereka menanganinya dengan cara memberi keselamatan kepada penduduk.

Kalangan penduduk mengakui sejak 2004, tidur mereka tidak lena. Terdengar cerita bom di kampung sebelah, mereka lari selamatkan diri. Malah berada di masjid sekali pun, mereka rasa tidak selamat kerana institusi ibadat itu turut jadi medan keganasan.

Dalam hal ini, tentera bertindak pantas, membangunkan penglibatan tentera dan penduduk kampung supaya mereka tidak takut-takut lagi atau curiga kepada tentera. Antaranya 'Love Army' yang bercampur gaul dengan pelajar, wanita dan jawatankuasa kampung selain penghulu dan imam.

Ini dapat dilihat di Khon Khor, Yala. 'Love Army' ini bukan sahaja menjaga keselamatan penduduk, tetapi membangunkan model ekonomi bagi industri kecil dan sederhana (IKS) buat penduduk kampung. Kepada salah seorang pengendali 'Love Army', jika penduduk rasa selamat , ekonomi boleh dirancakkan dan apabila ekonomi rancak, curiga kerana sejarah lampau hanya angin lalu.

Credit: 
AHMAD ZAKKI JILAN

AJAL MURID BAWAH LORI




Lahad Datu: Tindakan seorang murid berusia lapan tahun berteduh daripada panas terik di bawah lori seberat 10 tan sementara menunggu ketibaan bas sekolahnya berakhir tragedi apabila badannya hancur digilis tayar kenderaan berat itu selepas pemandunya dikatakan tidak menyedari kehadiran kanak-kanak berkenaan.

Dalam kejadian jam 11 pagi di Jalan Kastam Baru di sini semalam, mangsa Syarif Junior Langbas Jul Husin ditemui dengan masih berpakaian seragam dan menggalas beg dengan hampir seluruh badannya hancur digelek tayar kenderaan itu.

Pemandu yang menyedari menggilis sesuatu kemudian melakukan pemeriksaan sebelum terkejut apabila mendapati badan murid Sekolah Kebangsaan Pekan III itu hancur sebelum melarikan diri.

Difahamkan, mangsa dikatakan menunggu bas untuk ke sekolah dan berteduh di bawah lori berkenaan.

Pemandu lori berkenaan dipercayai cuba mengundurkan kenderaan itu untuk membantu seorang lagi rakannya membaiki kenderaan.


Khazanah Zimbabwe hanya tinggal RM651


HARARE - Sukar untuk dipercayai! Tetapi ini yang dialami oleh Zimbabwe, negara benua Afrika sekarang.
Akaun awam negara itu hanya tinggal AS$217 (RM651) selepas membayar gaji kakitangan kerajaan minggu lalu, demikian menurut Menteri Kewangan, Tendai Biti.
"Minggu lalu, apabila kami membayar kakitangan awam, hanya tinggal AS$217 di perbendaharaan," kata Biti di sini semalam.
"Kewangan kerajaan lumpuh sekarang. Kami gagal mencapai sasaran kami," kata beliau lagi.
Satu dekad lalu, negara itu berhadapan dengan kenaikan inflasi sehingga 231 juta peratus.
Biti berkata, pihaknya tiada pilihan kecuali meminta sumbangan tunai negara penderma.
"Kami akan mendapatkan sumbangan masyarakat antarabangsa," kata beliau lagi.
Bajet kebangsaan kerajaan Zimbabwe mencecah paras AS$3.8 bilion manakala pertumbuhan ekonomi dijangka lima peratus.

Nenek jual bayi dihukum penjara



SHAH ALAM: Seorang nenek dihukum penjara 14 tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi, setahun selepas dia dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Kajang atas tiga tuduhan menjual tiga orang bayi, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman selepas kes di akhir pembelaan terhadap Lim Kian Wan, 60.


TENGKORAK TERGANTUNG



Sepang: “Saya nampak objek seperti tulang tangan di tanah, tetapi disebabkan menyangka ia hanya patung saya meneruskan kerja menebas sebelum mendapati ia rangka manusia,” kata Sukirno Sukar, pekerja pembersihan yang menemui rangka manusia yang lengkap berpakaian di kawasan semak mengkuang berdekatan Pusat Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Sukirno, 53, bersama rakannya ditugaskan menebas semak di situ sebelum menemui rangka manusia yang terpisah kepala.
“Bila menyedari objek itu rangka manusia, saya terkejut dan melompat melarikan diri sambil memanggil rakan yang berkerja berhampiran,” katanya yang ditemui, semalam.
Menurutnya, sambil ditemani rakan, dia cuba melihat lebih dekat rangka itu dan mendapati kepala sudah hilang sebelum menemui tengkorak yang masih berambut tergantung di pokok mengkuang.
“Kami berasa pelik kerana rangka itu tiada kepala. Kemudian, kami memeriksa kawasan sekeliling dan menemui kepala berambut panjang diikat dengan tali pada pokok mengkuang,” katanya.
Dia berkata, mereka memaklumkan penemuan itu kepada pihak pengurusan landskap dan seterusnya melaporkan kepada polis.
Foto
ANGGOTA Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.
Difahamkan, rangka yang lengkap berseluar dan memakai baju-T itu seorang wanita dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak sebulan lalu.

Berhampiran rangka terbabit turut ditemui pasport milik seorang wanita warga China berusia 29 tahun dan pemeriksaan polis mendapati dia masuk ke Malaysia sejak 2010.
Selain itu, barangan lain yang dijumpai termasuk kad kredit dan duit dalam mata wang yuan China.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati tiada tanda hentakan atau kecederaan pada tengkorak berkenaan.

Credit: Siti A’isyah Sukaimi

Tuesday, 29 January 2013

Iran hantar monyet ke orbit


Iran hantar monyet
Rakaman monyet yang selamat kembali ke bumi ini mendapat liputan meluas media di Iran. Foto: Mashregnews.ir
TEHERAN - Iran, berjaya menghantar seekor monyet ke orbit yang dilihat sebagai membuka jalan baru untuk negara itu melakukan penjelajahan ke angkasa lepas, menurut Menteri Pertahanan, kelmarin.

Ahmad Vahidi berkata, haiwan itu berjaya kembali dalam keadaan selamat selepas melalui perjalanan di dalam sebuah kapsul pada altitud 120 kilometer.

"Kejayaan pada kali ini memberi peluang besar kepada pakar dan saintis untuk meneroka angkasa lepas pada masa hadapan," jelasnya lagi.

Stesen televisyen tempatan turut menyiarkan rakaman monyet itu dipakaikan ves dan ditempatkan pada alat menyerupai tempat duduk kanak-kanak di dalam kereta.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) melihat kejayaan Teheran tersebut sebagai satu pencabulan ke atas resolusi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).

Difahamkan, AS membuat kenyataan itu selepas mendapati teknologi tersebut mungkin juga boleh digunakan untuk melancarkan peluru berpandu balistik.

Di bawah Resolusi PBB 1929, Iran dilarang melakukan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan peluru berpandu balistik atau teknologi senjata nuklear.
- AFP

NOTA KAWAD KAKI KADET POLIS


LOGO PDRM


Nota Kawad


KAWAD TANPA SENJATA DALAM KEDUDUKAN STATIK

BIL
PERKARA
KATA PERINTAH/ PERGERAKAN
1
Kawad Tanpa Senjata

1.1    Sedia

Arahan kawad:
“ Skuad, Skuad……. Sdia”

Pergerakan:

1.      Dengan pantas angkat kaki kiri separas pergelangan kaki (angklet) atau setinggi 6 inci dari paras bumi dan hentak di sebelah kaki kanan.
2.      Jatuhkan tapak kaki supaya terdengar satu bunyi sahaja serentak dengan kiraan “Satu”.


1.2    Senang diri

Arahan kawad:
“ Senang…… Dri”

Pergerakan :
1.      Dengan pantas angkat kaki kiri separas angklet bawa ke sebelah kiri supaya terdengar satu bunyi dengan kiraan “Satu”,
2.      Masa itu juga bawa kedua-dua tangan ke belakang tangan kanan rapat di hadapan tapak tangan kiri dan ibu jari bersilang.


1.3    Rehatkan diri

Arahan kawad:
“ Rehatkan.... Dri”

Pergerakan:
1.      Lemahkan semua anggota badan & kepala.
2.      Tangan dinaikkan di atas punggung serentak dengan kiraan “Satu”.


1.4 Membentuk Skuad

(Jadikan tiga berisan)

Arahan kawad:
“ Tiga barisan di hadapan saya... Grak”

Pergerakan:
Anggota dengan pantas berlari beratur jadikan tiga barisan kira-kira 6 langkah di hadapan jurulatih.


1.5    Langkah ke Hadapan

Arahan kawad:
“...... langkah ke hadapan.... Grak”(Contoh: “1 langkah ke hadapan.....Grak”)

Pergerakan:
1.      Dengan pantas ambil satu langkah kaki kiri sejauh satu inci ke hadapan dengan kiraan “Satu”.
2.      Angkat kaki kanan separas angklet dan hentak rapat ke tumit kaki kanan dengan kiraan “Dua” balik ke kedudukan sedia.

1.6    Langkah ke Belakang

Arahan kawad:
“....... Langkah ke Belakang....Grak”

Pergerakan:
1.      Dengan pantas angkat kaki kiri separas angklet tolak ke belakang sejauh 30 inci dengan kiraan “Satu”.
2.      Angkat kaki kanan separas angklet dan hentak rapat ke tumit kaki kiri dengan kiraan “Dua” balik ke kedudukan sedia.


1.7    Langkah ke Kanan


Arahan kawad:
“....... Langkah ke Kanan....Grak”

Pergerakan:
1.      Dengan pantas angkat kaki kanan separas angklet dan bawa ke sebelah kanan sejauh 12 inci .
2.      Letakkan hujung kaki kanan ke bumi dengan kiraan “Satu”.
3.      Angkat kaki kiri separas angklet dan hentak rapat di sebelah kaki kanan dengan kiraan “Dua” balik ke kedudukan sedia.


1.8    Langkah ke kiri
Arahan kawad:
“....... Langkah ke Kiri....Grak”

Pergerakan:
1.   Dengan pantas angkat kaki kiri separas angklet dan bawa ke sebelah kiri sejauh 12 inci.
2.   Letakkan hujung kaki kiri ke bumi dengan kiraan “Satu”.
3.   Angkat kaki kanan separas angklet dan hentak rapat di sebelah kaki kiri dengan kiraan “Dua” balik ke kedudukan sedia.


1.9 Membetul-kan barisan

a. Ke Kanan Lurus.
Arahan kawad:
“Ke Kanan.........Lurus”

Pergerakan:
1.   Orang nombor satu barisan hadapan (Penanda Kanan) diam.
2.   Anggota lain dengan pantas sorongkan kaki kiri ke hadapan sejauh 15 inci dan letakkan tapak ke bumi dengan kiraan “Satu”
3.   Angkat kaki kanan separas angklet dan hentak di sebelah kaki kiri dengan kiraan “Dua”.
4.   Pada masa sama palingkan muka memandang ke kanan kecuali orang nombor satu di dalam setiap barisan, dan anggota di dalam barisan hadapan angkat tangan kanan paras bahu melalui belakang orang di kanannya kecuali penanda kanan.
5.   Setelah itu angkat kaki kiri separas angklet dan hentakkan di sebelah kaki kanan dengan kiraan “Tiga” dan terus hentak kaki kanan / kiri berturut-turut mengambil lurus.
6.   Setelah mendapat kedudukan lurus, semua anggota diam dan tunggu perintah “Pandang Depan”

Peringatan:
Jika kawad dengan senjata (tangan kanan memegang senjata) orang dalam barisan hadapan mengangkat tangan kiri ke sebelah kiri serta pandang kanan.


b. Pandang Depan

Arahan kawad:
“ Pandang ....... Dpan”

Pergerakan:
Dengan pantas dan serentak palingkan muka memandang ke hadapan dan turunkan tangan kanan ke sebelah rusuk kembali ke kedudukan sedia.


c.  Ke Kiri Lurus
Arahan kawad:
“Ke Kiri...... Lurus”

Pergerakan:
1.      Pergerakan adalah sama dengan ke kanan lurus kecuali semua anggota dalam barisan belakang paling ke kiri.
2.      Penanda di sebelah kiri hendaklah diam dan anggota nombor satu dalam barisan tengah dan belakang hendaklah menentukan jarak.


d. Luruskan Barisan
Arahan kawad:
“Luruskan.......... Barisan”

Pergerakan:
1.      Penanda diam, anggota lain dengan pantas angkat kaki kiri separas angklet dan hentak di sebelah kaki kanan.
2.      Pada masa yang sama palingkan muka ke kanan serentak angkat tangan kanan paras bahu melalui sebelah belakang orang di kanannya.
3.      Hentak kaki kanan dan kiri berturut-turut bergerak ambil lurus.


1.10Nombor
Arahan kawad:
“ Skuad.......... Nombor”

Pergerakan:
Anggota barisan hadapan sahaja menyebut bilangan nombor (membilang) dari kanan ke kiri.


1.11Buka/ tutup Barisan

a. Buka Barisan
Arahan kawad:
“ Buka Barisan....... Grak”

Pergerakan:
1.      Dengan pantas semua anggota barisan hadapan ambil satu langkah ke hadapan sejauh 30 inci dengan kiraan “Satu”.
2.      Ambil satu langkah kaki kanan ke hadapan sejauh 30 inci dengan kiraa “Dua”.
3.      Angkat kaki kiri separas angklet dan hentak kaki kiri di sebelah kaki kanan dengan kiraan “Tiga” balik ke kedudukan sedia.
4.      Bagi anggota barisan belakang, pergerakan dibuat secara mengundur dua langkah ke belakang dimulakan dengan kaki kiri mengikut jarak dan kiraan sama dengan barisan hadapan.


b.    Tutup barisan
Arahan kawad:
“Tutup Barisan........Grak”

Pergerakan:
1.    Anggota barisan hadapan membuat pergerakan sepertimana anggota barisan belakang semasa “Buka Barisan” (Mengundur).
2.    Bagi anggota barisan belakang pula membuat pergerakan sepertimana anggota barisan hadapan semasa pergerakan “Buka Barisan” (langkah ke hadapan).


1.12Berpusing

a. Berpusing ke kanan
Arahan kawad:
“ Bergerak ke kanan, kanan....... Sing”

Pergerakan:
1.      Lutut lurus
2.      Pusing badan 90 darjah ke kanan dengan kiraan “Satu”.
3.      Angkat kaki kiri separas angklet
4.      Hentak di sebelah kaki kanan dengan kiraan “Dua”.


b. Berpusing ke kiri
Arahan kawad:
“Bergerak ke Kiri, kiri ....... Sing”

Pergerakan:
1.      Lutut lurus.
2.      Pusing badan 90 darjah ke kiri dengan kiraan “Satu”.
3.      Angkat kaki kanan separas angklet
4.      Hentak di sebelah kaki kiri dengan kiraan “Dua”.


c.  Berpusing ke belakang
Arahan kawad:
“Bergerak ke kiri, Belakang ........ Sing”

(Kedudukan skuad dalam tiga barisan memanjang. Barisan hadapan (Penanda) berada di sebelah kiri).
Pergerakan:
1.      Lutut lurus.
2.      Pusing badan 180 darjah ke belakang melalui sebelah kanan dengan kiraan “Satu”.
3.      Angkat kaki kiri separas angklet
4.      Hentak di sebelah kaki kanan dengan kiraan “Dua”.

Arahan kawad:
“Bergerak ke Kanan, Belakang...Sing”

(Kedudukan skuad dalam tiga barisan memanjang. Barisan hadapan (Penanda) berada di sebelah kanan.)

Pergerakan:
Pergerakan adalah sama seperti di atas.

Arahan kawad:
“Menghadap ke Belakang, Belakang.... Sing”

(Kedudukan skuad dalam tiga barisan melintang menghadap ke hadapan)

Pergerakan:
 Pergerakan adalah sama seperti di atas.

Arahan kawad:
“Menghadap ke Hadapan, Belakang.... Sing”

(Kedudukan skuad dalam tiga barisan melintang menghadap ke belakang)

Pergerakan:
Pergerakan adalah sama seperti di atas.


d.    Berpusing separuh kanan
Arahan kawad:
“Bergerak ke kanan, Separuh.......Kanan.”

Pergerakan:
1.    Kedudukan lutut lurus.
2.    Pusing badan 45 darjah ke separuh kanan dengan kiraan “Satu”.
3.    Dengan pantas angkat kaki kiri separas angklet.
4.    Hentak di sebelah kaki kanan dengan kiraan “Dua”.


e.    Berpusing separuh kiri
Arahan kawad:
“Bergerak ke kiri, Separuh.......Kiri.”

Pergerakan:
1.    Kedudukan lutut lurus.
2.    Pusing badan 45 darjah ke separuh kiri dengan kiraan “Satu”.
3.    Dengan pantas angkat kaki kanan separas angklet.
4.    Hentak di sebelah kaki kiri dengan kiraan “Dua”.


1.13Bersurai dan keluar baris

a.    Keluar baris

Ingatan:
“keluar baris” digunakan semasa:
- Anggota dalam kelas.
- Jurulatih memberi penerangan .

Arahan kawad:
“Keluar......Baris”

Pergerakan:
1.      Pusing badan 90 darjah ke kanan dengan kiraan “Satu”.
2.      Angkat kaki kiri separas angklet dan hentak di sebelah kaki kanan balik ke kedudukan sedia dengan kiraan “Dua”
3.      Melangkah keluar mulai kaki kiri sejauh 30 darjah dengan kiraan “Satu” terus ke hadapan dengan kiraan “Dua”, “Tiga” dan bersurai.
(berbeza dengan bersurai, ianya belum tamat. Hanya bersurai sementara dan anggota tidak dibenarkan keluar dari kawasan latihan.


b.    Bersurai


Ingatan:
Tujuan bersurai adalah menandakan tamatnya latihan / aktiviti.





Ingatan:
“Pegawai di padang” digunakan untuk skuad pegawai.
Arahan kawad:
“Ber.........surai”

Pergerakan:
1.       Pusing badan 90 darjah ke kanan dengan kiraan “Satu”.
2.      Angkat kaki kiri separas angklet dan hentak di sebelah kaki kanan balik ke kedudukan sedia dengan kiraan “Dua”
3.      Melangkah keluar mulai kaki kiri sejauh 30 darjah dengan kiraan “Satu” terus ke hadapan dengan kiraan “Dua”, “Tiga” dan bersurai.

Arahan kawad:
“Pegawai di padang/ dalam baris, Ber........surai”

Pergerakan:
1.       Pusing badan 90 darjah ke kanan dengan kiraan “Satu”.
2.       Angkat kaki kiri separas angklet dan hentak di sebelah kaki kanan balik ke kedudukan sedia dengan kiraan “Dua”.
3.       Buat pergerakan hormat dengan kiraan “Satu”.
4.       Turun tangan balik ke kedudukan sedia dengan kiraan “Dua”.
5.       Melangkah keluar mulai kaki kiri sejauh 30 darjah dengan kiraan “Satu” , terus ke hadapan dengan kiraan “Dua”, “Tiga” dan bersurai.


1.14Paras



Ingatan:
Semua anggota buat pergerakan keluar baris kemudian beratur mengikut tinggi masing-masing dan berdiri sedia menunggu perintah seterusnya.





















































Ingatan:
Apabila sampai di tempat ditetapkan, anggota dikehendaki belok ke kiri dan mengambil jarak dan lurus dengan betul serta berhenti di tempat masing-masing dalam kedudukan sedia.
Arahan kawad:
“Tinggi ke Kanan, rendah ke kiri, dalam satu barisan....Paras”

Pergerakan:
1.       Pusing badan 90 darjah ke kanan dengan kiraan “Satu”.
2.       Angkat kaki kiri separas angklet dan hentak di sebelah kaki kanan balik ke kedudukan sedia dengan kiraan “Dua”.
3.       Melangkah keluar mulai kaki kiri sejauh 30 darjah dengan kiraan “Satu” , terus ke hadapan tiga langkah dengan kiraan “Dua”, “Tiga” dan terus beratur dalam satu barisan.



Arahan kawad:
“Dari Kanan.......Nombor”

Pergerakan:
Anggota menyebut bilangan nombor dari kanan ke kiri.

(Anggota sebelah kanan sekali menyebut nombor “Satu”, yang lain mengikut dengan nombor “Dua” dan seterusnya sehingga anggota terakhir dalam barisan. Semasa membilang kepala tegak ke hadapan.  )


Arahan kawad:
“Ganjil satu langkah ke hadapan, genap satu langkah ke belakang......... Grak”

Pergerakan:
1.    Ambil satu langkah kaki kiri sejauh 30 darjah ke hadapan dengan kiraan “Satu”.
2.    Angkat kaki kanan separas angklet dan
3.    Hentak rapat ke tumit kaki kanan dengan kiraan “Dua” balik ke kedudukan sedia.
4.    Bagi anggota yang mengundur, mula dengan kaki kiri mengikut jarak dan kiraan yang sama.

Arahan kawad:
“Penanda diam, ganjil ke kanan, genap ke kiri, kanan dan kiri......... Grak”

Pergerakan:
1.    Anggota barisan nombor ganjil dengan pantas pusingkan badan 90 darjah ke kanan dengan kiraan “Satu”.
2.    Angkat kaki kiri separas angklet dan hentak di sebelah kaki kanan balik ke kedudukan sedia dengan kiraan “Dua”.
3.    Bagi anggota barisan nombor genap berpusing ke kiri dengan kiraan yang sama.

Arahan kawad:
“Jadikan tiga barisan di hadapan saya, dari kiri/kanan....cpat jalan”

Pergerakan:
1.    Langkah ke hadapan sejauh 30 inci (tumit ke tumit) mulakan dengan kaki kanan dengan memacakkan tumit ke bumi.
2.    Orang nombor genap ikut belakang orang nombor ganjil.
3.    Orang nombor satu tetap menjadi orang nombor satu barisan hadapan.
4.    Nombor tiga jadi nombor satu barisan tengah.
5.    Nombor lima jadi nombor satu barisan belakang.
6.    Nombor tujuh jadi nombor dua barisan hadapan dan seterusnya sehingga anggota yang penghabisan.


              “KAWAD ASAS DISIPLIN”

Credit:
Isp/Kadet Farahiyah Bt Mohd Fauzi
Guru Penasihat SMK Telok Gadong Klang, Selangor