Showing posts with label Pengurusan. Show all posts
Showing posts with label Pengurusan. Show all posts

Tuesday, 12 February 2019

Guru diminta tidak berleter ketika perhimpunan mingguan


KUALA LUMPUR - Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) yang dilaksanakan sewaktu perhimpunan mingguan di sekolah rendah dan menengah tahun ini bakal memberi fokus kepada elemen amalan dan penghayatan nilai di samping mencetuskan budaya berfikir.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, evolusi perhimpunan sekolah alaf baharu perlu diperkasa bersesuaian dengan­ keperluan dan hasrat ke­men­terian untuk men­­capai kemen­ja­dian murid da­ri­­pada pelbagai­ ke­mahiran.
“Ucapan berjela-jela, leteran panjang dan aktiviti perhimpunan yang bersifat sehala perlu diubah serta-merta,” katanya ketika berucap merasmikan program Wadah Perhimpunan Sekolah Alaf Baharu dan Pelancaran 60 Tahun Ilmu Khas di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas di sini semalam.

Credit: Kosmo

Monday, 13 June 2016

Cabaran mendidik pelajar pendidikan khas

  Cabaran mendidik pelajar pendidikan khas
SALAM Ramadan al-Mubarak. Alhamdulillah bertemu lagi bulan rahmat yang ditunggu-tunggu dan genap tiga Ramadan saya bersama pelajar MBK.

Apa itu? Siapa? Persoalan sama juga bermain di minda saya sebelum ini. Ramai tidak tahu termasuk saya sehingga diberi amanah mendidik belia-belia ini pada penghujung 2013.

MBK adalah ringkasan Murid Berkeperluan Khas yang belajar di sekolah-sekolah melalui Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

Ada tiga kategori pelajar MBK iaitu Hearing Disability (HD), Vision Disability dan Leaning Disability (LD), mereka juga pemegang kad OKU yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kami diamanahkan dengan seramai 180 pelajar MBK yang kebanyakannya pelajar autisme atau lembam, bermula dengan 30 orang pada penghujung 2013 melalui program Buying Seats bersama Kementerian Pendidikan.

Saya pernah mendidik dan mengurus pelajar LD sebelum ini namun hanya kurang dari 10 orang pada satu masa tetapi ini cabaran baru dengan jumlah lebih ramai.

Bagi saya mereka semuanya full of colors kerana membawa pelbagai ragam dalam kehidupan harian kita dari kecil hingga dewasa.

Program bermula dengan timbulnya pelbagai kaedah dan cadangan bagi memberi belia MBK ini pendidikan yang sesuai tetapi berbekal sedikit pengalaman lepas, saya lebih terapkan kaedah work-based learning (WBL) di mana pelajar diberi pendidikan formal lebih kepada kaedah amali berbanding dengan teori.

Saya percaya persekitaran pembelajaran memainkan peranan penting agar kondusif kepada semua pelajar, termasuklah pelajar MBK. Kolej ini yang terletak di dalam sebuah resort sudah pasti satu bonus bagi persekitaran pembelajaran di dalam bidang hospitaliti dan pelancongan.

Pelajar merasakan keselamatan dan persekitaran baik untuk mereka dan ini memberi kami peluang di dalam dua bulan pertama mengubah pemikiran pelajar MBK bahawa mereka bukanlah pelajar OKU.

Saban hari selama dua bulan pelbagai aktiviti kami lakukan bersama 
pelajar MBK terutama membentuk minda mereka menjadi pelajar 'normal'.

Alhamdulillah usaha kami berhasil dan mereka semuanya menidakkan diri mereka sebagai pelajar OKU. Ini terbukti apabila ditanya, “ada pelajar OKU di sini?” - kesemua dengan serentak menjawab “tidak ada!” dan kami lebih teruja mereka dapat bergaul dan bersaing dengan pelajar lain tanpa rasa kekok atau terpinggir.

Selama dua bulan pertama juga memberi masa kepada kami mengenali mereka lebih rapat.

Bukan mengaibkan sesiapa tetapi hanya sekadar untuk kami berkongsi pengalaman saat melihat telatah mereka. Ada yang melucukan, ada yang membuat kami tertawa, sedih dan juga marah, yang nyata mereka semua memerlukan kasih sayang lebih dari pelajar biasa.

Satu insiden lucu berlaku apabila seorang tenaga pengajar kami bertanya kepada salah seorang pelajar dengan nada yang agak tinggi, dengan selamba pelajar tersebut membalas.

“Madam tertelan mikrofon itu sebab cakap madam kuat!”. Bagi saya mereka mewarnakan kehidupan harian saya, salah seorang pelajar ini sangat dekat di hati kami, saya anggap mungkin dengan kebiasaan di rumahnya pelajar ini mula menanggalkan pakaian sehelai demi sehelai untuk masuk ke dalam tandas dan bila seorang pengajar wanita keluar tandas wanita yang bersebelahan tandas lelaki melihat pelajar tadi berdiri di depan bilik air dengan hanya memakai boxer dan terus memanggil “Miss, Miss!” serta menyanyi lagu Firman “Sejujurnya ku tak bisa…”

Pelajar itu ingin memberitahu pengajar tadi yang dia sudah menghafal lagu tersebut. Lucu...tetapi kini dia telah mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan sekarang mengikuti pembelajaran pada Tahap 3 yang tidak pernah difikirkan oleh ibu-bapanya sebelum ini.

Dia juga masih meneruskan minat menyanyinya dan sangat teruja jika diberi peluang menyanyi di khalayak ramai.

Dia berani dengan tahap keyakinan diri tinggi berbanding dahulu hanya menyendiri dan tidak bercampur dengan sesiapa. Dia masih mencari “Miss” dia dan menyanyikan lagu-lagu yang baru dihafal, sudah pasti pengajar ini akan rasa kehilangan apabila pelajar ini tamat pembelajaran bersama kami.

Permulaan program ini sangat mencabar dan pelbagai dugaan diterima dari pihak kementerian, jabatan dan juga ibu-bapa yang “tidak melepaskan” anak-anak mereka.

Sudah berbelas tahun mereka tinggal dan membesar bersama di rumah menyebabkan ibu-bapa sukar memberi kepercayaan. Perkara itu kami fahami, akan tetapi selepas perubahan yang sangat ketara terutama dari pertuturan dan perhubungan mereka dengan ibu-bapa secara perlahan perasaan risau mula terkikis.

Timbul pula satu happy problem di mana kebanyakan pelajar tidak mahu kerap pulang ke rumah kerana seronok berkawan dan belajar perkara - dalam erti kata lain, mereka rasa selesa. Sekali lagi kami terpaksa kerap menasihati mereka terutama di dalam kuliah agama atau moral dan masalah itu selesai apabila dapat membawa ke pemikiran asal.

Dari pemerhatian saya sepanjang tempuh itu, pembelajaran belia MBK memerlukan beberapa faktor seperti kesabaran yang tinggi, jadikan kelemahan mereka sebagai kekuatan, menimbulkan sifat penyayang, menanamkan kepercayaan mereka terhadap kita, membentuk keyakinan diri dan juga memasukkan program inclusiveness sama ada dari segi pembelajaran dan juga aktiviti harian.

Tahniah kepada kesemua tenaga kerja saya yang sangat komited mendidik anak-anak luar biasa ini tanpa mengira penat jerih untuk memastikan mereka semua berjaya dalam mencapai pendidikan mereka. Teringat kata-kata rakan akademik kami dari Indonesia, “anda adalah seorang yang sangat luar biasa apabila berjaya mendidik anak-anak yang luar biasa ini”.


Credit:  Zahar Ali Imperia Academy of Tourism Sdn Bhd, Imperia College of Hospitality, Sinar Harian.

Thursday, 10 March 2016

GUNA KECERDIKAN AKAL SUSUN ATUR KEHIDUPAN


Mengingati Allah SWT dengan zikrullah dapat membersihkan hati dan tidak terpedaya dengan bisikan syaitan. - Gambar hiasan 

Hikmah adalah kebijaksanaan yang tertinggi merujuk kepada kejernihan akal dan kebersihan hati seseorang Mukmin yang selalu meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam hidup. Bahkan hikmah itu sendiri akan diperoleh bukan sahaja melalui ilmu tetapi pengalaman serta pengajaran dalam kehidupan. 

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu, jam 10.30 pagi di IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan, seorang Mukmin mempunyai hikmah yang tinggi dalam diri akan menggunakan kecerdikan akal untuk menyusun atur kehidupan. 

Andai berdepan kegagalan dalam sesuatu usaha yang dilakukan, ia dapat menerima kegagalan itu sebagai pengajaran untuk mencari hikmah tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku. 

Sesungguhnya nilai hikmah bagi seorang Mukmin akan dimatangkan oleh pengalaman hidup. Sebab itu orang yang lebih berusia atau lebih dahulu 'makan garam' dalam hidup akan lebih jelas hikmah pertimbangan terhadap sesuatu keadaan dalam hidup mereka. 

Berbanding orang muda yang kurang matang atau pengalaman, mereka kurang berhikmah dalam mendepani pelbagai situasi kehidupan. Justeru, dalam perjalanan hidup menuju kehidupan lebih bermakna, seorang Mukmin hendaklah mengisi dirinya dengan kematangan. 

Memiliki akal fikiran yang berhikmah, keluasan hati serta kekuatan jiwa yang kental supaya setiap suka duka atau pahit manis menyulami kehidupan ini sentiasa dipandu oleh perbuatan membawa kepada kebaikan. 

Terdidik hadapi kesulitan 

Manusia yang melihat kesulitan atau kekurangan dalam kehidupan dari sudut pandang penuh hikmah akan selalu terdidik di hatinya rasa ikhlas dan sabar. Begitu juga seorang Mukmin yang sabar dan reda menempuh ujian serta takdir yang menyakitkan, akan dapat melihat betapa hebatnya perancangan Allah SWT. Pada setiap perkara yang menyakitkan itu akan disulami kemanisan di hujungnya. 

Seorang yang berhikmah mempunyai kejernihan hati suci murni. Ia diperoleh melalui hubungan pertalian dengan pemilik alam iaitu Allah SWT. Manusia yang hati dan bibirnya sentiasa dibasahi ungkapan zikrullah kepada Allah SWT mempunyai ketenangan luar biasa, bahkan jiwanya melihat seluruh kehidupan dari sudut pandangan yang baik. 

Kejernihan hati pastinya tidak akan diperoleh tanpa latihan berterusan membina pertalian hubungan dengan Allah SWT melalui amal ibadah kepada-Nya. Begitu juga hati yang jernih dan bersih hasil solat taubat nasuha kepada-Nya serta tidak sekali-kali mendekati perkara yang dilarang Allah SWT. 

Nabi Muhamad SAW beristighfar sekurang-kurangnya sebanyak 70 kali sehari kepada Allah SWT kerana takut azab Allah SWT dan mahu meletakkan diri Baginda dalam keadaan sentiasa mengingati Allah SWT. 

Sebagai Mukmin yang tidak lari daripada melakukan kesilapan, mengingati Allah SWT dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW dapat membersihkan hati serta menyelamatkan diri supaya tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia. 

Hikmah juga terdapat pada akal fikiran yang sihat dan cerdas. Seorang yang akalnya bijaksana, waras dan matang akan memberikan pandangan yang bermanfaat kepada orang di sekeliling. Akal yang tidak cerdik atau tidak matang tidak mampu mendorong seseorang bertindak secara hikmah. 

Tingkat kualiti diri 

Selain itu, setiap Mukmin disarankan untuk mempertingkatkan kualiti diri melalui sudut pandangan yang positif. Kekuatan dalaman akan diterjemahkan melalui perbuatan dan kata-kata yang baik. Bersangka baik dengan Allah SWT dan sesama manusia akan membina kekuatan diri luaran serta dalaman. 

Pesanan Saidina Umar al-Khattab: "Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimat yang keluar daripada seorang saudara Mukminmu (sangkaan) keburukan, selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik." 

Allah SWT mengingatkan supaya tidak bersangka buruk kerana perbuatan itu tidak memberi kebaikan kepada manusia. Firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Surah al- Hujurat, ayat 12) 

Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Berdoalah kepada Allah SWT tanpa rasa putus asa kerana Allah SWT sentiasa membuka pintu rahmat untuk setiap hamba-Nya. 

Credit: Nik Hasnah Ismail

Thursday, 12 November 2015

Guru tadika perlu jaga standard pengajaran



Tadika Nur Ummah, Seri Alam, Johor Bahru..Gambar Hiasan

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta guru-guru tadika di negeri ini supaya mengekalkan standard pengajaran yang tinggi dalam usaha menyuburkan potensi, merangsang dan membina sikap positif murid-murid tadika Islam.


Kurikulum...Tadika Ummah Bestari dan Tadika Nur Ummah

Titah baginda, antara ciri yang perlu bagi memperkasa tadika ialah melantik guru bertauliah dan terlatih khusus untuk mendidik kanak-kanak mengembangkan bakat dan potensi mereka.

"Modul pengajaran dan kurikulum yang mantap penting untuk meningkatkan pengetahuan anak-anak yang perlu ditanam sifat integriti dengan menitikberatkan aspek sosial dan emosi, kognitif dan kerohanian agar mereka dapat membezakan antara baik dan buruk termasuk dalam pergaulan.


Puan Nurul..Pengerusi Pengelola Ummah Educations

"Dalam hubungan ini ibu bapa harus menjadi harus menunjukan contoh serta tidak boleh lepas pandang atau lepas tangan kepada guru semata-mata dalam kehidupan anak-anak," titah baginda pada perasmian Konvokesyen Murid Tadika Islam Negeri Perlis Tahun 2015 di Dewan Warisan di sini, hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Cawangan kedua Tadika Nur Ummah

Sebelum itu, keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia Negeri, Khairi Hasan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Perlis (JAIPs) Mohd Sokri Hussin.

Baginda, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah dalam konteks pendidikan kanak-kanak hari ini masyarakat perlu melihat proses pendidikan berterusan untuk menjadi insan cemerlang.



Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang kepada Norlela Ali dari Tadika Al-Husna Bestari, Sanglang; Anugerah Pembantu Guru Cemerlang (Marizuna Masir, Tadika Al-Ansar Bestari Arau); Anugerah Tadika Cemerlang (Tadika Ar-Rahman Taqwa Padang Besar) dan 20 murid cemerlang.

Konvokesyen itu yang bertemakan 'Anak Soleh Pemangkin Keluarga Bahagia' dianjurkan oleh JAIPs, Yayasan Islam Perlis (YIPs) dan MAIPs. 



Credit: Sinar Harian/Bernama

Tuesday, 10 November 2015

Buaya 363kg berkeliaran di pusat membeli belah.

Buaya 363kg berkeliaran di pusat membeli belah

Buaya 363kg berkeliaran di pusat membeli belah.

TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Penduduk sekitar Sugar Land gempar selepas seekor buaya dengan berat 363 kilogram ditemui berkeliaran di luar sebuah pusat membeli belah di sini.

Buaya tersebut yang ditemui oleh pekerja di pusat membeli belah berkenaan dipercayai datang dari sungai berhampiran.

Seorang pakar haiwan itu, Christy Kroboth dipanggil untuk membantu menangkap buaya itu.


SEEKOR buaya digelar Godzilla dengan berat lebih 363 kilogram (kg) menggemparkan 
pengunjung sebuah pusat beli-belah di sini.

Christy berkata, sebaik saja buaya itu ditangkap, sebuah forklift terpaksa digunakan untuk mengangkat buaya itu ke dalam sebuah trak.

"Buaya itu mempunyai kecacatan buta di sebelah mata dan hanya mempunyai penglihatan yang terhad dan dihantar ke pusat penjagaan buaya di sana,' katanya dipetik AP

Wednesday, 26 August 2015

Manfaatkan ledakan teknologi

MEDIA sosial diibaratkan seperti sebilah pisau yang dapat memberi
MEDIA sosial diibaratkan seperti sebilah pisau yang dapat memberi kebaikan dan dalam masa yang sama dapat mendatangkan kemudaratan. - GAMBAR HIASAN

Demi kemaslahatan agama

LEDAKAN teknologi komunikasi pada ketika ini membawa fenomena baharu apabila ia tertumpu kepada penggunaan media sosial dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah aktiviti dakwah. Justeru, penggunaan media sosial seperti facebook, whatsapp, instagram dan twitter, dilihat memberi peluang meluas terhadap penyebaran mesej dakwah kerana sifatnya yang pantas dan global.
Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook dan lebih 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia. Di negara kita direkodkan lebih 12 juta rakyat di negara ini mempunyai akaun facebook, majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita berkewajipan sebagai menjadi jurucakap Islam, iaitu berperanan sebagai seorang pendakwah dan dipertanggungjawabkan menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan. Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus, ayat 25, yang bermaksud:
“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).”
Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menyeru manusia supaya patuh dan taat kepada-Nya agar memperoleh tempat yang selamat iaitu syurga. Oleh itu, dengan cara berdakwah dapat mengajak kepada seluruh manusia agar berbuat baik dan mematuhi segala perintah Allah.
Sehubungan itu, dalam usaha ini, ia perlu bergantung kepada medium tertentu mengikut peredaran zaman. Oleh itu, kemunculan media baharu khususnya media sosial pada masa kini dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah.
WADAH DAKWAH
Usaha dakwah melalui Internet perlu diperluaskan seiring dengan penggunaan media tradisional. Ini kerana penyampaian mesej dakwah itu, boleh merentasi sempadan seterusnya mampu mensasarkan kepada segenap lapisan bangsa. Dengan itu, penggunaan media dalam Islam seharusnya lebih menekankan konsep ketakwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.
Ingin ditegaskan bahawa media sosial, diibaratkan seperti sebilah pisau yang dapat memberi kebaikan dan dalam masa yang sama dapat mendatangkan kemudaratan. Justeru, kadang-kala dalam keghairahan ini, kita lupa akan batas-batas agama, dosa dan pahala sehingga kita sanggup melanggar prinsip-prinsip Islam dengan menjatuhkan, mendedahkan keaiban seseorang termasuklah melakukan fitnah.
Lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita, dokumen, gambar palsu dan disebarkan demi tujuan tertentu. Sebagai seorang Muslim yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak serta adab-adab semasa menggunakan media sosial.
Ingatlah, niat tidak boleh menghalalkan cara sebagaimana yang disarankan dalam firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, maksudnya:
“Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan yang mencemuh dan merendah-rendah puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebik baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” 


Credit: JAKIM

Monday, 5 January 2015

BABI HUTAN REMPUH PERPUSTAKAAN UNIVERSITI



Cyberjaya: Seekor babi hutan merempuh panel dinding kaca pintu belakang perpustakaan Universiti Multimedia (MMU) di sini, 1.30 petang tadi.

Berikutan itu, semua penuntut yang berada di dalam perpustakaan berkenaan diminta keluar bagi membolehkan pihak bomba menangkap haiwan liar itu.

Ketua Pustakawan MMU Kamal Sujak berkata, babi jantan itu berjaya ditangkap dua jam selepas itu. "Bahagian utama perpustakaan itu terpaksa ditutup disebabkan keadaan berselerak akibat usaha menangkap haiwan itu.

"Binatang liar ini mungkin tersesat dari kawasan hutan berdekatan memandangkan pembangunan pesat sekitar Cyberjaya," katanya.

Bagaimanapun, Kamal berkata, ruang bacaan utama 24 jam tetap dibuka seperti biasa

Sunday, 28 December 2014

Sesi persekolahan negara ditangguh seminggu

Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin

SEPERTIMANA semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa kementerian dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu.

Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad).

Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira;

a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan

b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.


Terima kasih.


Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014

Tuesday, 23 December 2014

Adab terima khabar berita

perkembangan komputer
Sikap bertaklid buta membuatkan seseorang sentiasa dalam kejahilan

ZAMAN semakin hari semakin pesat membangun. Pelbagai perubahan demi perubahan telah dikecapi baik daripada sudut pembangunan, kehidupan, teknologi dan sebagainya.

Seiring dengan kemajuan teknologi, maka maklumat juga semakin hari semakin mudah didapati dan dicapai. Semuanya di hujung jari sahaja dengan capaian internet.                  

Hari ini, maklumat tersebar dengan begitu pantas sekali. Tambahan pula dengan fenomena laman sosial seperti facebook, twitter, instagram, whatssapp dan sebagainya, apa jua berita dapat tersebar dalam masa beberapa saat sahaja ke seluruh pelosok dunia! Jika ia digunakan dengan kebaikan sudah pasti banyak manfaat yang diperoleh.

Namun, risiko tersebarnya keburukan juga terbuka luas bahkan kerosakan berskala besar boleh terjadi dengan sekelip mata jika tidak cermat menggunakannya.

Hari ini manusia mudah sekali menyebar fitnah, aib dan keburukan orang lain melalui laman sosial hingga ia menjadi viral, diketahui semua orang. Bukan itu sahaja, sikap sebahagian masyarakat yang begitu mudah menyebarluaskan sesuatu berita yang diterimanya menjadi punca besar dalam masalah ini.

Butang share ditekan begitu mudah tanpa memikirkan kesan dan akibat yang akan terjadi selepas itu. Sikap inilah yang perlu dikaji dan diperbaiki oleh masyarakat kita agar lebih berhati-hati dan bijaksana dalam menerima maklumat. Islam telah lama meletakkan garis panduan dalam permasalahan ini.

Kita diajar supaya mengkaji kesahihan sesuatu berita yang datang sebelum ia diterima, dipercayai dan disebarkan. Sikap bertaklid buta iaitu terus mempercayai begitu sahaja tanpa mengkaji terlebih dahulu menyebabkan seseorang itu terus menerus berada dalam kejahilan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Lihatlah betapa jelasnya perintah Allah SWT ini. Sikap inilah yang perlu ada dalam setiap diri setiap orang Islam supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kebenaran sesebuah berita yang dijumpai. Jika tidak, boleh jadi berita itu tidak benar atau fitnah semata hingga membawa kepada pertumpahan darah, pergaduhan dan permusuhan. Disebabkan kejahilan kita kerosakan yang besar terjadi. 

Perkataan orang fasik di dalam ayat al-Quran di atas bukanlah bermaksud orang yang diketahui selalu menipu semata-mata, bahkan menurut ulama tafsir al-Quran ia juga merujuk kepada orang yang tidak dikenali siapa dirinya (majhul ‘ain) ataupun orang yang dikhuatiri salah dalam menyampaikan berita. 

IMAM Ahmad meriwayatkan di dalam musnadnya bahawa ayat al-Quran tersebut diturunkan berdasarkan suatu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW memerintahkan Walid bin Uqbah untuk datang kepada Al-Harith bin Dhirar dan kaumnya bagi memungut zakat. 

Walid bin Uqbah kemudiannya berpatah semula kerana berasa bimbang akan keselamatan dirinya lalu berkata kepada Nabi SAW bahawa Al-Harith bin Dhirar tidak mahu menyerahkan zakat, bahkan mahu membunuhnya. Sedangkan Walid belum pun bertemu dengan Al-Harith pada hakikatnya. Al-Harith kemudian menemui Nabi SAW dan menjelaskan semuanya hinggalah turun ayat dalam surah al-Hujurat tersebut.

Di dalam kisah ini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya menyemak kesahihan sesebuah berita yang sampai kepada kita. Itulah apa yang dilakukan oleh Nabi sejurus selepas Walid bin Uqbah menceritakan kisah yang tidak benar itu. Baginda memerintahkan wakilnya untuk bertemu dengan Al-Harith untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian. 

Inilah sikap yang perlu ada dalam diri kita semua. Kadang-kala berita yang sampai kepada kita itu datangnya daripada orang yang kita kenali, namun berita itu sebenarnya salah. Kebiasaannya disebabkan si penyampai itu kawan kita, maka kita terus menerimanya bulat-bulat atas dasar percayakan kawan.

Sikap sebegini perlu dibaiki kerana belum tentu orang yang kita percayai menyampaikan maklumat yang tepat. Selari dengan kemajuan teknologi dan maklumat, sepatutnya kita semua juga lebih bijaksana dan peka dalam menerima khabar maklumat yang ada.

Firman Allah di atas hendaklah dijadikan asas panduan bagi kita semua dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan kita semua lebih berhati-hati dan sensitif dalam masalah ini. Wallahua’lam.

Saturday, 20 December 2014

Adab dalam majlis ilmu

pertanyaan kerana ingin kepastian hukum adalah satu bentuk pertanyaan
Pertanyaan kerana ingin kepastian hukum adalah satu bentuk pertanyaan yang baik. - Gambar hiasan

Di dalam majlis ilmu, sering kali timbul persoalan yang dikemukakan hadirin. Berada di dalam majlis ilmu itu beroleh pahala daripada Allah SWT. Bagaimana jika soalan yang diutarakan itu bertujuan;
a. Menduga
b. Sememangnya dia tidak mengetahui hal itu
c. Untuk menghindarkan komuniti setempat melakukan sesuatu yang tidak baik disebabkan dia tidak mampu untuk menegurnya sendiri.

JAWAPAN

Bertanya dalam majlis ilmu adalah baik. Ini kerana ceramah, kuliah dan syarahan sahaja tanpa pertanyaan daripada pendengar mungkin menyebabkan salah faham terhadap isi kuliah. Oleh itu, ruang pertanyaan hendaklah dibuka dalam majlis ilmu seperti kuliah Subuh dan juga kuliah Maghrib.

Namun terdapat juga tujuan pertanyaan yang berbeza daripada pendengar yang ingin bertanya. Mungkin ada yang sekadar ingin menduga atau mencuba ilmu seorang guru agama. Ada masanya ia baik namun ada masanya ia mungkin termasuk dalam kategori kurang beradab. Dibimbangi pertanyaan yang sekadar ingin menduga itu membawa kepada perbezaan pendapat yang keras dan menimbulkan perbalahan dan permusuhan.

Oleh itu, biarlah seseorang guru agama diuji oleh guru agama yang lain dalam majlis khas. Contohnya seorang ustaz yang sudah tamat pengajian di pondok, universiti dan sebagainya. Secara asas, mereka mempunyai ilmu. Namun untuk mengajar, para ustaz akan diuji dalam satu ujian khas iaitu sistem pentauliahan.

Dalam sistem ini, kefahaman mereka diuji oleh kumpulan ulama meliputi pelbagai disiplin ilmu. Dengan pentauliahan ini, maka guru agama yang mengajar di masjid dan surau tidak perlu lagi diuji oleh pendengar.

Namun jika pertanyaan kerana ingin kepastian hukum, ingin tahu hukum sebenar, ingin agar masyarakat tahu hukum sebenar melalui jawapan guru agama dan sebagainya maka ia adalah satu bentuk pertanyaan yang baik.



Credit: AL-SYAIKH DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (AL-JARUMI )

Saturday, 29 November 2014

Guna pakai ‘teknologi’ haiwan

Sumbangan haiwan dalam kehidupan manusia terlalu banyak


HUBUNGAN manusia dengan haiwan sudah lama wujud. Jalinan yang wujud sejak zaman Nabi Adam a.s itu dapat dilihat dengan jelas dalam setiap aspek kehidupan ini. Realitinya, hubungan itu telah memberi banyak manfaat kepada manusia. Cuma, apa yang mungkin dinikmati oleh haiwan adalah mereka dihargai atau dibelai oleh manusia.
Selain sebagai sumber makanan, haiwan akan membekalkan bahan untuk pakaian, perlindungan, perhiasan, pertanian, pengangkutan, ubat-ubatan, farmaseutikal dan sebagainya.
Ada juga haiwan yang digunakan sebagai simbol pengenalan identiti sesebuah masyarakat, komuniti, organisasi atau persatuan.
Namun, apa yang menarik adalah hubungan itu ialah ia telah menjadikan kehidupan di alam ini lebih seimbang dan lestari. Ia juga mampu memastikan spesies manusia dan haiwan dapat terus wujud tanpa sebarang masalah.
Hubungan pertama antara manusia dan haiwan ketika berlakunya konflik pertama manusia di atas muka bumi ini iaitu antara Qabil dan Habil. Peristiwa itu membabitkan cara membunuh dan menanam manusia yang sudah mati.



KAABAH selamat dan teguh hingga hari ini dengan bantuan burung Ababil. - gambar hiasan -
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 30 hingga 31 yang bermaksud: Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia daripada golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, Aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?. Kerana itu menjadilah ia daripada golongan orang-orang yang menyesal.
Bertitik-tolak daripada kisah di atas itu, bagi dua saintis tersohor tanah air, Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah dan Dr. Zulkifli Zainal Abidin, ikatan itu membuktikan bahawa tidak ada makhluk atas muka bumi ini boleh hidup dengan sendiri.
Wujud keseimbangan
Malah, firman Allah SWT dalam surah al-A’la ayat satu hingga tiga yang bermaksud: Bertasbihlah menyucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (daripada segala sifat-sifat kekurangan), Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya).
Ternyata surah di atas menunjukkan wujudnya keseimbangan yang dimainkan oleh haiwan dan juga manusia dalam memastikan bumi ini bergerak mengikut apa yang dikehendaki-Nya.
“Oleh itu, bukan hanya manusia yang tidak berdiri dengan sendiri, malah segala makhluk ciptaan Allah SWT juga tidak berdiri dengan sendirinya,” kata mereka ketika ditemui di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.
Hasil keistimewaan itulah telah menggerakkan dua orang saintis itu untuk mengenal pasti apakah haiwan yang telah mengubah kehidupan manusia selama ini.
Bagi memastikan penemuan itu dibaca oleh masyarakat umum, mereka salurkannya dalam sebuah buku, Keajaiban Haiwan Yang Mengubah Dunia (tebitan PTS Millennia Sdn. Bhd.).
Mereka mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Ini kerana, ia satu tugas yang bukan hanya untuk memastikan faktanya tidak lari, malah ia boleh lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.



Struktur sisik ikan Jerung dijadikan inspirasi untuk cipta baju renang yang mampu mengurangkan peratus geseran air sebanyak empat peratus. 
Ini kerana pendedahan itu membuktikan kelebihan yang dimiliki oleh manusia dan haiwan tersebut tidak terjadi dengan sendiri kerana ia memerlukan pencipta untuk menciptakannya.
Dr. Zulkifli, pakar dalam bidang robotik, sendiri mengakui tentang kekaguman beliau terhadap ‘teknologi’ yang dimiliki oleh haiwan dan kini banyak teknologi itu telah diguna pakai secara meluas oleh manusia.
Sains dan Islam seiring
SEMENTARA itu, bagi Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah, pendedahan sedemikian akan membolehkan seluruh umat Islam menemui satu fakta yang sememangnya selari dengan akidah dan tauhid.
Malah, beliau juga percaya penemuan itu akan menyangkal dakwaan bahawa ilmu sains dan agama adalah dua bidang yang tidak boleh disatukan.
“Kita boleh menyangkal dakwaan teori evolusi oleh Charles Darwin kerana haiwan hidup beribu tahun lalu dan sehingga kini hidupnya tidak pernah berubah,” katanya.
Namun apa yang penting adalah melalui kajian sedemikian, kita akan tahu kelebihan yang dimiliki oleh haiwan terbabit.
Walaupun manusia tidak ada kelebihan itu tetapi kita dikurniakan akal oleh Allah SWT untuk membolehkan kita meneliti dan mengaplikasikan kelebihan itu untuk memudahkan lagi kehidupan manusia.
“Memang kita tidak ada kelebihan itu tetapi kita ada akal dan Allah SWT mengurniakan akal fikiran bukan semata-mata untuk memikirkannya tetapi lebih bertakwa kepada-Nya,” katanya.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat ke-190 hingga ke-191 yang bermaksud: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, Maha Suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.
Jelas Dr. Umi Kalthum, usaha mereka berdua itu bukan sekadar menambah pengetahuan sains dalam kalangan masyarakat umum tetapi menarik minat generasi muda Islam kepada bidang sains.
Ini kerana, di zaman kegemilangan Islam, para saintis Islam berada di kelas mereka tersendiri dan sukar dicabar oleh mana-mana saintis Barat pada masa itu.
“Tetapi hari ini, kita kena rujuk kepada mereka tetapi kami percaya bila kajian sains itu dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT, ia akan beri semangat untuk kita bawa satu mesej iaitu orang Islam mesti berada di hadapan semula, sebagaimana ilmuwan Islam dahulu,” tegasnya.

Jadi tajuk kajian tesis
“Idea itu bermula pada 2008 untuk saya memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kebiasaannya, saya perlu mencari tajuk untuk membuat sebuah kajian.
“Disebabkan hampir semua bidang dalam robotik, sudah ada kajiannya, maka saya mula terfikir untuk mencarinya dalam bidang lain dan antaranya yang menarik minat saya adalah berkaitan sumbangan haiwan dalam kehidupan manusia,” katanya.
Walaupun banyak haiwan yang menarik, sudah ada penyelidik yang mengkajinya tetapi apa yang beliau lakukan adalah fokus kajiannya adalah daripada sudut al-Quran.
Fokus tersebut penting supaya bukan hanya dirinya sendiri tetapi para pembaca akan menjadi lebih dekat dengan Maha Pencipta.
Ujar Dr. Zulkilfi lagi, penemuan tersebut bukan hanya akan ‘membuka mata hati’ kita terhadap kehebatan ciptaan Allah SWT tetapi mampu menambah lagi keimanan kita kepada-Nya.
“Saya percaya jika kita tahu sumbangan haiwan kepada kehidupan manusia, sebagai umat Islam, pastinya akan rasa kagum dengan ciptaan Allah SWT,” katanya.



Thursday, 27 November 2014

Pendidikan Berkesan Kepada Anak-anak Dalam Islam





Mendidik anak bukanlah satu perkara yang mudah. Anak yang baik adalah lahir dari kesan didikan ibubapanya sejak dari awal perkahwinan ibubapanya. Ianya tidak lahir sendiri dan membesar tanpa panduan dan didikan sesiapa.

Ibu bapa seharusnya sejak awal lagi sudah bersiap siaga bagi memastikan amanah untuk mendidik iman dan juga moralnya, mental mahupun jasmaninya, rohani serta sosialnya memenuhi tuntutan Islam dan mereka membesar menjadi insan yang dibanggai Islam.

Dapatkah kita membayangkan anak-anak yang kita tarbiyyah itu membesar dengan begitu baik sekali. Mereka menghormati orang tua, mengerjakan solat, puasa, cemerlang di dalam akademik dan sebagainya. Bukankah itu suatu ketenteraman buat kita sebagai ibubapa? Kita akan sentiasa merasa tenang dan bahagia.

Namun cuba kita bayangkan, jika anak-anak itu menjadi seorang pemberontak di rumah dan di sekolah, melawan, berlumba di jalanan, berpeleseran dan berfoya-foya. Tentu kita akan rasa tertekan serta gelisah. Jadi, bagaimana kita berperanan dengan sebaiknya bagi memastikan anak-anak yang Allah amanahkan ini menjadi saksi dan pembela di akhirat nanti?

a) Mendidik melalui contoh tauladan yang baik.

Antara cara mendidik yang sangat berkesan adalah dengan memberi dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Contoh-contoh tauladan yang baik banyak melengkapkan anak-anak dengan akhlaq yang baik dan membentuk rohani serta sosialnya.

Contoh tauladan yang baik di rumah adalah yang paling hampir dengan anak-anak. Jika contoh yang dilihat dan dipamerkan adalah tauladan yang baik, maka akhlaq yang bakal dipamerkan oleh anak juga adalah akhlaq yang baik. Namun jika contoh yang ditunjukkan di rumah adalah contoh buruk dan tidak elok untuk pembangunan akhlaq anak-anak maka tidak hairanlah jika di luar rumah, mereka mempamerkan akhlaq sebegitu juga.

 
Rasulullah sebagai contoh yang utama

Pernahkah kita menceritakan tentang hebat serta cantiknya akhlaq Rasulullah s.a.w kepada anak-anak?

Ingatkah kita tentang cerita Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar ketika mereka bersembunyi di gua Thur? Cerita hebat tentang baiknya akhlaq Rasulullah dan sahabat baginda boleh dijadikan contoh buat anak-anak. Begitu juga kisah akhlaq Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan seorang wanita yang selalu mengganggu baginda. Duduk dan berceritalah dengan anak-anak.

Allah telah berfirman:

"Sesungguhnya bagi diri kamu dari Rasulullah itu contoh tauladan yang baik." (Al-Ahzab:21)

Berapa ramaikah di kalangan kita dan anak-anak yang menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh tauladan? Tidak menghairankan jika hari ini kita mendengar anak-anak menjadikan artis dan superhero televisyen sebagai idola mereka. Kita sebagai ibubapalah yang sepatutnya membentuk pendirian mereka agar tahu memilih siapakah yang wajar dijadikan contoh tauladan.




b) Mendidik melalui nasihat dan bimbinganBerdoa dan minta kepada Allah semoga kita sentiasa berlapang dada dan tidak bosan untuk selalu memberikan nasihat dan bimbingan kepada anak-anak. Anak-anak selalu inginkan ibubapanya membimbing mereka kerana mereka muda untuk memikirkan terlalu banyak cabaran serta dugaan kehidupan.

Ada beberapa cara untuk kita memberikan nasihat kepada anak:

1. Berilah nasihat ketika anak sedang bergembira.

2. Berikan nasihat dengan cara mendekati dirinya, menyentuh kulit dan memandang mata si anak

3. Memberikan nasihat dengan cara bercerita

4. Memberikan nasihat dengan bergambar

5. Memberikan nasihat ketika hendak masuk tidur

6. Memberikan nasihat dengan memberikan contoh-contoh yang ada di sekeliling


c) Mendidik dengan cara pemerhatian dan pengawasan
Sudah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk sentiasa mengawasi dan memerhatikan anak-anak mereka. Lihatlah apa yang terjadi keapada anak-anak yang dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan dan pemerhatian. Mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja dan berpeleseran. Maka timbullah mat rempit, bohsia bohjan, dadah, rokok dan sebagainya.

Allah berfirman:

"Suruhlah ahlimu (keluargamu) supaya bersembahyang, dan bersabarlah atas mengerjakannya. " (Taha:132)

Apakah yang ingin kita perhatikan?

1.    Memerhatikan pergaulan anak-anak

2.    Memerhatikan solat anak-anak

3. Memerhatikan pembelajaran anak-anak terutamanya dalam mempelajari al-Qur'an

4.    Memerhatikan tahap kesihatan anak-anak

Beginilah besarnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak. Namun haruslah diperhatikan apakah cara mendidik yang benar dan berkesan untuk anak-anak. Mudah-mudahan dengan cara didikan berkesan ini akan dapat mempersiapkan anak-anak kita ke arah insan yang diredhai Allah s.w.t

Cara mendidik yang berkesan yang seterusnya adalah mendidik dengan denda dan hukuman.


InsyaAllah akan dihuraikan dalam artikel selepas ini.

Moga kita disayang Allah.

 
 
 
 
 
 
Credit: Ashikin Hashim

Monday, 24 November 2014

Sabar Dalam Perniagaan & Kerjaya

Sabar separuh daripada iman tetapi amat sukar diamalkan

Dalam kerjaya atau perniagaan, kita telah dan akan banyak menghadapi situasi yang menguji kesabaran kita. Berurusan dengan manusia dengan pelbagai ragam dan kerenah bukannya senang.

Perhubungan dengan rakan sekerja, orang bawahan dan bos pasti menimbulkan konflik dan masalah. Dalam banyak keadaan kita perlu bersabar terutamanya jika orang bawahan selalu buat hal dan bos pula sering mendesak.

Begitu juga jika kita mengendalikan perniagaan kecil atau bekerja dalam syarikat kecil. Memang kita bukan 'priority' utama bagi pelanggan, pembekal, agensi kerajaan dan institusi kewangan. Keperluan dan kehendak anda jarang disegerakan.

Sebagai contoh, apabila berurusan dengan bank dalam hal ehwal pembiayaan, anda sebenarnya tertakluk kepada 'budi bicara' mereka, sedangkan dalam iklan atau risalah, mereka kata anda amat dihargai. Begitu juga apabila berurusan dengan agensi kerajaan.

Walau apa pun, anda perlu 'push' mereka dan mengetengahkan kes anda. Tidak ada jalan lain kerana lazimnya organisasi besar tiada urgency dan anda perlu bersabar dan terus membuat pertanyaan susulan dengan cara yang baik.

 

Apabila berurusan dengan pelanggan pula, terutamanya pelanggan yang amat besar, memang anda perlu bersabar. Mereka tidak perlu menjawab komunikasi anda tetapi anda perlu menjawab komunikasi seperti emel daripada mereka dengan serta-merta.

Mereka lambat atau berat menjawab bukan kerana tidak hormat atau sebagainya, cuma anda tidak begitu penting dalam urusan mereka.

Tetapi lebih banyak kesabaran diperlukan apabila berurusan dengan orang yang memang tidak bermoral dan beretika. Mereka tidak mengotakan apa yang mereka kata. Dokumen yang ditandangani pun kadangkala tiada makna apa-apa.

Tahap kesabaran lebih tinggi lagi diperlukan apabila berurusan dengan orang yang pandai putar-belit. Semalam cakap satu dan hari ini pula cakap lain. Akhirnya tahap kesabaran yang paling tinggi diperlukan apabila berhadapan dengan orang yang menipu bulat-bulat.

Walau apa pun situasi, kita perlu bersabar. Memang sukar kerana dalam keadaan ini kita rasa seperti nak melenting sahaja dan inilah juga merupakan salah satu kelemahan saya. Anggap sebagai ujian daripada Allah. Lagipun kesabaran akan memberikan ketenangan dan manfaat di dunia dan akhirat

Kalau anda ada masa sejam, cuba dengar ceramah berikut daripada Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe mengenai kesabaran.


Apabila menghadapi dugaan, kerenah atau 'roadblock', pada pendapat saya kita perlu sabar tetapi terus 'push' atau terus berusaha untuk mengenepikan rintangan, sehingga matlamat dicapai. Ini perlu dilakukan walaupun kita terpaksa berurusan dengan orang yang tidak menghormati kita.

Jika membabitkan pelanggan perniagaan, selesaikan masalah dahulu dengan mereka dan jangan berurusan lagi dengan mereka jika kerenah yang dibuat terlalu berat. Tetapi jika perkara kecil, sabar saja dan terus berurusan dengan mereka. Apa nak buat, kita perlu cari makan!

Sebaliknya jika membabitkan urusan sekali seperti jual beli hartanah atau urusan pinjaman bank, terus berusaha dan tunjukkan anda serius dan pasti akhirnya satu jalan penyelesaian akan terbuka kepada anda.

Kesabaran ternyata satu sifat yang amat penting dalam perniagaan dan kerjaya
.
 





Credit: Razali Razman