Pertanyaan kerana ingin kepastian hukum adalah satu bentuk pertanyaan yang baik. - Gambar hiasan
Di dalam majlis ilmu, sering kali timbul persoalan yang dikemukakan hadirin. Berada di dalam majlis ilmu itu beroleh pahala daripada Allah SWT. Bagaimana jika soalan yang diutarakan itu bertujuan;
a. Menduga
b. Sememangnya dia tidak mengetahui hal itu
c. Untuk menghindarkan komuniti setempat melakukan sesuatu yang tidak baik disebabkan dia tidak mampu untuk menegurnya sendiri.
JAWAPAN
Bertanya dalam majlis ilmu adalah baik. Ini kerana ceramah, kuliah dan syarahan sahaja tanpa pertanyaan daripada pendengar mungkin menyebabkan salah faham terhadap isi kuliah. Oleh itu, ruang pertanyaan hendaklah dibuka dalam majlis ilmu seperti kuliah Subuh dan juga kuliah Maghrib.
Namun terdapat juga tujuan pertanyaan yang berbeza daripada pendengar yang ingin bertanya. Mungkin ada yang sekadar ingin menduga atau mencuba ilmu seorang guru agama. Ada masanya ia baik namun ada masanya ia mungkin termasuk dalam kategori kurang beradab. Dibimbangi pertanyaan yang sekadar ingin menduga itu membawa kepada perbezaan pendapat yang keras dan menimbulkan perbalahan dan permusuhan.
Oleh itu, biarlah seseorang guru agama diuji oleh guru agama yang lain dalam majlis khas. Contohnya seorang ustaz yang sudah tamat pengajian di pondok, universiti dan sebagainya. Secara asas, mereka mempunyai ilmu. Namun untuk mengajar, para ustaz akan diuji dalam satu ujian khas iaitu sistem pentauliahan.
Dalam sistem ini, kefahaman mereka diuji oleh kumpulan ulama meliputi pelbagai disiplin ilmu. Dengan pentauliahan ini, maka guru agama yang mengajar di masjid dan surau tidak perlu lagi diuji oleh pendengar.
Namun jika pertanyaan kerana ingin kepastian hukum, ingin tahu hukum sebenar, ingin agar masyarakat tahu hukum sebenar melalui jawapan guru agama dan sebagainya maka ia adalah satu bentuk pertanyaan yang baik.
Credit:
No comments:
Post a Comment