Tuesday 9 December 2014

Masyarakat digesa jauhi 
ideologi IS

KOTA BHARU 9 Dis. – Umat Islam negara ini dinasihatkan supaya berhati-hati dan memandang serius ideologi serta gerakan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.                 

Mohamad Shukri Mohamad Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) berkata, pendekatan itu penting kerana dikhuatiri gerakan berkenaan berkemungkinan didalangi oleh musuh-musuh Islam.

“Kita tidak tahu siapa yang ditaja dan siapa yang dikendalikan... mungkin musuh Islam dan saya nasihat supaya jangan terlibat dalam kegiatan seperti ini.

“Jadi masyarakat perlu mengetahui bahawa ideologi yang dibawa oleh kumpulan itu jelas bertentangan dengan agama Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang seorang lagi militan IS dari negara ini terbunuh di Syria selepas dipercayai menjadi pengebom berani mati dengan merempuh kem tentera yang turut membunuh 50 yang lain, kebanyakannya tentera kerajaan negara itu.

Akhbar hari ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan seorang lagi pengebom berani mati rakyat Malaysia telah maut di Syria iaitu Ahmad Affendi Manaff berusia 27 tahun.

Ahmad Affendi berasal dari Tumpat, Kelantan dilaporkan berlepas ke Syria pada 27 April lalu dan maut dalam serangan bunuh diri apabila bersama-sama beberapa anggota IS lain menaiki lori membawa bahan letupan dan merempuh kem tentera kerajaan di Homs, Syria, pada awal bulan lepas.


 

No comments:

Post a Comment