Monday 22 December 2014

Hafaz Al-Quran Rahsia Pelajar Peroleh 11A Dalam PT3


Nurunnuha Muhammad Ismi gembira berjaya meraih keputusan cemerlang 11 A dalam keputusan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan pada Isnin.

IPOH: Selain belajar bersungguh-sungguh, menghafaz Al-Quran turut merupakan faktor yang membantu kejayaan seorang pelajar dalam Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Nurunnuha Muhammad Ismi dari Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini yang memperoleh keputusan 11A berkata awal pagi adalah masa sesuai untuk menghafal Al-Quran seterusnya mengulangkaji mata pelajaran sekolah.

"Saya akan bangun seawal pukul 5.30 pagi kerana waktu ini mudah untuk menghafal Al-Quran.

"Apabila kita mudah menghafal Al-Quran, mudah juga untuk kita mengulangkaji mata pelajaran sekolah," katanya ketika ditemui di sekolahnya pada Isnin.

Selain itu, Nurunnuha berkata keredhaan ibu bapa dan guru juga amat penting untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Dengan nada sebak, anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata segala nasihat dan dorongan ibu membuatkannya cukup bersemangat untuk belajar.
|
"Saya harap kejayaan yang saya perolehi hari ini dapat membanggakan kedua ibu bapa saya," katanya.

Seorang lagi pelajar sekolah itu, Nur Basyirah Mortaza yang memperolehi keputusan 10A berkata selain berusaha, beliau juga memberi sepenuh perhatian ketika di dalam kelas.

"Cikgu banyak memberi bimbingan dan tips untuk berjaya," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Nur Basyirah yang bercita-cita menjadi seorang doktor lebih gemar mengulangkaji pelajaran seorang diri berbanding mengulang kaji secara berkumpulan.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Noor Aini Zainal Abidin berkata jumlah keseluruhan pelajar sekolah itu yang menduduki ujian PT3 adalah seramai 123 orang dan daripada jumlah itu seorang pelajar memperoleh 11A manakala 10Aseramai dua orang, 9A (empat), 8A (lapan), 7A (tujuh) dan 6A (enam).

"Saya tidak berpuas hati kerana hanya 22 pelajar memperolehi lebih dari 7A berbanding tahun lepas lebih 60 pelajar," katanya.

Beliau berkata majoriti pelajar yang memperoleh lebih dari 7A bukan terdiri dari pelajar 'kaki buku' malah mereka yang aktif dalam bidang kokurikulum.

No comments:

Post a Comment