Showing posts with label Hiburan. Show all posts
Showing posts with label Hiburan. Show all posts

Thursday, 18 December 2014

Merancang percutian yang berkat

Ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan cuti persekolahan akhir tahun untuk membawa anak-anak dan keluarga berjalan-jalan atau melancong di dalam mahupun ke luar negara. Selain merehatkan minda ia juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan anak beranak.                   

Maklumlah, semasa hari persekolahan, ramai ibu bapa yang tidak sempat meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak disebabkan keterbatasan waktu. Lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur.



Sememangnya, melancong atau berjalan-jalan itu digalakkan oleh Islam. Lebih-lebih lagi untuk melihat kebesaran Yang Maha Esa. Firman Allah SWT: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan ingatlah kepada Allah SWT jualah (tempat kembali kamu) dibangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya).” (al-Mulk: 15)

Walau di mana kita merancang bercuti dengan keluarga, sebagai ibu bapa hendaklah mengatur aktiviti tersebut supaya ia menepati syariat dan mendapat berkat. Antara yang perlu diberi perhatian adalah soal keselamatan. Ini bukan sahaja bab mengawal anak-anak daripada hilang di tengah-tengah tempat tumpuan orang ramai. 



Lebih penting lagi adalah soal keselamatan perjalanan pergi dan balik dari bercuti. Elakkan keluarga kita menjadi statistik kemalangan jalan raya. Kemalangan yang berlaku walaupun tidak meragut nyawa tetapi pastinya akan merugikan masa dan wang. 

Pada masa sama, marilah kita mempraktikkan ‘hadiah’ Allah kepada mereka yang bermusafir iaitu solat jamak dan qasar. Ia adalah rukhsah (kemudahan atau keringanan) kepada mereka yang musafir dengan syarat-syarat tertentu.



Syarat-syarat yang mengharuskan solat jamak (himpun) dan qasar (pendek) itu adalah:

* Bukan bertujuan maksiat.

* Destinasi tujuan lebih dua marhalah.

* Mengetahui destinasi tujuan.

Menurut mazhab Syafie, apabila seseorang itu bermusafir lebih daripada dua marhalah (kira-kira 90 kilometer), maka dia harus melakukan solat qasar dan jamak. Namun, ulama khilaf dalam menentukan jarak dua marhalah ini. Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati eloklah dikira melebihi 90 km.

Wajar

Permulaan musafir pula dikira selepas kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi.

Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan solat fardu dalam apa keadaan sekalipun di samping membuktikan bahawa agama Islam itu mengambil kira kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. 



Berkaitan mengqasar solat ini Allah SWT menyebut di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (an-Nisa’: 101)

Di samping bergembira menikmati percutian dengan keluarga, sewajarnya ibu bapa menunaikan solat berjemaah terutama rukhsah semasa bermusafir. Selain membuktikan keindahan Islam yang memudahkan umatnya melaksanakan ibadat ia juga akan menjadi contoh kepada anak-anak tentang kepentingan solat berjemaah.




Credit: MOHD. RADZI MOHD. ZIN
 

Friday, 4 July 2014

Sharifah Aini meninggal dunia



KUALA LUMPUR 5 Julai - Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara di sini pada sekitar pukul 1.30 pagi tadi kerana komplikasi paru-paru.

Allahyarham disahkan mengidap masalah paru-paru yang serius semenjak dua tahun lalu dan sejak itu, berulang alik dirawat di hospital.

Isnin lalu, Sharifah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas mengadu sukar bernafas. 
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Terbang Helang dan Seri Dewi Malam itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan oleh anak lelaki tunggalnya, Omar Ali selepas mengalami masalah penafasan.

Dilahirkan pada 2 Julai 1953, Sharifah Aini memulakan kerjaya nyanyian selepas menjuarai Bintang RTS di Singapura pada tahun 1968, membawakan lagu Tiga Malam.

Allahyarham seterusnya dilamar syarikat rakaman EMI pada tahun 1969 dan merakamkan album pertama, Seri Dewi Malam yang mendapat sambutan hebat. Pernah menghasilkan hampir 100 album, termasuk tujuh album bahasa Inggeris. anak didik Datuk Ahmad Nawab itu menjadi anak seni pertama yang menerima gelaran superstar.

Sumbangan besarnya terhadap industri hiburan negara dihargai apabila menerima Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di Pertuan-Agong, Sultan Syed Sirajjudin Putra Jamalullail pada tahun 2003. 

Foto
Hasil perkahwinannya dengan Ali Bakar pada tahun 1981, arwah dikurniakan seorang anak lelaki . Perkahwinan mereka hanya bertahan setahun dan Sharifah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seoran ahli korporat bergelar Datuk tetapi bercerai pada tahun 1992.
Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan selepas Zuhur.

Thursday, 17 April 2014

Hiburan melampaui batas syariat haram

Dalam kehidupan yang penuh mencabar keimanan ini, marilah kita berusaha mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Istiqamah dalam melakukan perkara yang diredai Allah dan jauhilah perkara yang mengundang kemurkaan-Nya. 

Mudah-mudahan kita mendapat kejayaan sebenar di dunia dan akhirat. Dalam mencari dan mendalami erti takwa, mimbar pada hari ini akan membicarakan mengenai Hiburan Yang Diredai.


Manusia dan hiburan tidak dapat dipisahkan. Seperti tubuh badan memerlukan makanan, begitulah jiwa manusia memerlukan kepada hiburan.

Ruang lingkup hiburan sangat luas. Ia merangkumi muzik, sukan dan permainan, lakonan dan seumpamanya. Ringkasnya, apa saja yang mendatangkan kegembiraan dan keceriaan pada jiwa, itulah hiburan. 

Allah Yang Maha Mencipta amat memahami bahawa manusia kadangkala dirundung musibah dan duka. 



Islam tak haramkan hiburan 
Ketika itu, manusia mula mencari sesuatu yang dapat menceriakan jiwanya. Kadangkala pula manusia ingin berhibur atau dihiburkan kerana mendapat sesuatu berita gembira. Oleh itu, Islam datang bukan untuk mengharamkan hiburan dan kegembiraan, tetapi lebih kepada memberi garis panduan serta membimbing manusia untuk memilih hiburan yang mengundang keredaan Allah SWT. 


Sedarlah, hiburan hanyalah sebagai rencah kehidupan. Kerana itu, tidak patut bagi manusia mementingkan hiburan lebih daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT atau dengan kata lain, berhibur tanpa dibatasi syariat. 

Amat tidak wajar lagi apabila seseorang itu memberi sepenuh tumpuan dalam hidupnya untuk hiburan semata-mata sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah SWT. 

Rasulullah SAW adalah insan dan Rasul yang amat prihatin dengan jiwa manusia. Baginda menyantuni isu hiburan dengan penuh hikmah. Dalam riwayat Imam al-Bukhari, seperti yang dikhabarkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah ketika beliau menghantar pengantin perempuan kepada pengantin lelaki daripada kaum Ansar, Baginda bertanya: 

Bermaksud: Wahai Aisyah! Mengapa tiada bersama kamu hiburan? Sesungguhnya Orang Ansar sukakan hiburan. Hadis ini menunjukkan Nabi SAW prihatin dengan kecenderungan berhibur sesuatu kaum. Lebih-lebih lagi dalam majlis dan hari yang bertujuan untuk kegembiraan dan kesukaan seperti majlis perkahwinan, hari raya dan seumpamanya. 

Dalam hadis sahih diriwayatkan Imam al-Bukhari, Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah menceritakan bahawa Abu Bakar masuk ke dalam rumahku dan ketika itu aku sedang bersama-sama dua hamba wanita dari kalangan Ansar, mereka berdua sedang mengalunkan (menyanyikan) syair yang kebiasaannya diucapkan kaum Ansar ketika perang Buath. Aisyah menyatakan, Dan mereka berdua bukan dari kalangan penyanyi. 

Pada ketika itu, apabila Abu Bakar melihatnya, beliau pun berkata, Wajarkah seruling syaitan dibunyikan di rumah Rasulullah SAW? Dan pada hari itu adalah hari raya. Maka, Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan ini hari raya kita. 

Biarpun Rasulullah SAW menerima hiburan seperti yang disebutkan dalam hadis tadi, sudah pasti terdapat batasan dan panduan yang Islam gariskan untuk umat Islam. 

Kitab Fiqh Ala Mazahibil Arbaah menerangkan empat syarat utama, pertama perkataan sesuai dengan adab dan ajaran Islam. Ini termasuklah lirik atau skrip yang mengajak manusia mendekati Allah SWT serta menjauhkan manusia daripada menderhaka-Nya. 



Hiburan galak maksiat dilarang 
Islam melarang perkataan atau ucapan yang mengundang kerosakan akidah bahkan menggalakkan maksiat walaupun dalam situasi bersenda gurau. 

Kedua, persembahan dan penampilannya tidak mengghairahkan nafsu syahwat serta mengundang fitnah. Lihatlah bagaimana sesuatu hiburan itu digayakan sama ada sopan dan penuh ketertiban atau sebaliknya. 

Sekiranya ada unsur seperti aksi yang menggoda nafsu apatah lagi berlainan jantina. 

Ia jelas diharamkan. Ketiga, acara tidak disertai dengan sesuatu yang haram, seperti hidangan arak, dadah, perjudian, mendedahkan aurat serta percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas. 

Kita dapati pada hari ini acara hiburan dipakej dengan pelbagai perkara haram yang mengundang kemurkaan Allah. 

Kejadian yang berlaku ke atas anak remaja kita baru-baru ini, sebagai peringatan untuk kita di dunia sebelum hukuman yang lebih dahsyat di akhirat. 

Keempat, hiburan itu tidak melalaikan sehingga perintah Allah SWT diketepikan. Misalnya apabila tiba waktu solat, maka hendaklah ditunaikan kewajipan itu terlebih dulu kerana itu adalah perintah Allah SWT yang pastinya jauh lebih penting daripada berhibur. 

Janganlah kerana leka dan tenggelam dalam dunia hiburan sehingga tanggungjawab selaku hamba Allah diketepikan atau dilewat-lewatkan. 

Hiburan yang melalaikan jelas adalah agenda terancang musuh Islam untuk melemahkan umat ini terutama generasi muda. Inilah masanya umat Islam berwaspada, bertindak dan bersatu bagi membendung isu ini daripada terus merebak dan menjadi barah.

Monday, 7 April 2014

Salahkah berhibur?



EMOSI manusia dipengaruhi oleh apa yang berada di dalam hatinya. Emosi manusia terkadang ceria, sedih, marah, bosan dan sebagainya. 

Apa yang didengar dan dilihat oleh manusia akan mempengaruhi emosinya. Hati perlukan ketenangan untuk menjadi ceria dan gembira. 

Manusia memerlukan hiburan bagi menceriakan dan menggembirakan hati.

Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah SWT, sesuai dan menepati fitrah manusia. Manusia memerlukan hiburan, maka Islam membenarkan manusia berhibur. Namun Islam memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan didengar oleh manusia itu, betul-betul mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia.

Imam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan, “Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. 

Bahkan, Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum." (Halal dan haram dalam Islam, hlm. 479)

Walaupun manusia dibenarkan oleh Allah SWT untuk mencari hiburan agar hati menjadi tenang dan mendatangkan keceriaan serta kegembiraan dalam hidup, namun manusia tidak dibiarkan menentukan apa sahaja atas nama hiburan. Apa yang dilihat dan didengar manusia memerlukan panduan daripada Allah SWT; Tuhan pencipta sekalian alam, Yang Maha Mengetahui apa yang mendatangkan manfaat atau mudarat kepada manusia dan kehidupan. Jika dibiarkan manusia bebas memilih bentuk hiburan yang disukai oleh nafsunya, maka kehidupan akan menjadi rosak dan porak peranda.

Hiburan di zaman moden kini yang berteraskan falsafah hedonisme, telah jauh terpesong daripada garis panduan Islam berkaitan hiburan. 

Hedonisme merupakan satu aliran falsafah yang menjelaskan bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup. Ia merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia 

(http://en.wikipedia.org/wiki/Hedonism).


Pemikiran kafir

Aliran falsafah hedonisme mula berkembang di Eropah Barat sekitar kurun 14 Masihi dan kemudian menjalar ke seluruh dunia (Wade, I.O, The clandestine organisation and diffusion of philosophic ideas in France dari 1700 hingga 1750, 1967). Pemikiran kafir ini telah lahirkan manusia yang hidup dalam kelalaian, mengamalkan gaya hidup bebas sehingga mengorbankan nilai akhlak mulia yang berteraskan agama. Malah, ia juga melahirkan manusia yang menjadikan keseronokan dan kemewahan yang berlebihan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian.

Konsep hiburan yang lahir daripada hedonisme bukan sahaja gagal
memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari manusia, bahkan mencetuskan masalah dan kecelaruan dalam kehidupan. Penganut hedonisme menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan yang disembah.

Oleh sebab itu, hiburan hedonistik bukan sahaja gagal mendidik jiwa, malahan mendorong kepada kelalaian, maksiat dan pergaulan bebas yang akhirnya mengundang kepada gejala sosial yang merosakkan kesejahteraan hidup umat Islam. Arak, dadah, dan wanita seksi yang menjadi teras hiburan hedonistik telah menjadikan kehidupan manusia masa kini punah ranah. (rujuk al-Jathiyah: 23)

Nabi SAW telah memberikan peringatan, akan ada dalam kalangan orang Islam di akhir zaman yang berhibur melampaui batas agama. Mereka ini dilabel oleh Nabi Muhammad sebagai “manusia berperangai kera dan babi". 

Abu Malik al- Asy’ari melaporkan, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka serta dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi." (riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, umat Islam wajib mengembalikan seluruh aspek kehidupan termasuk hiburan, kepada panduan Islam. Hiburan yang dibenarkan Islam adalah hiburan yang mendatangkan manfaat kepada hidup manusia. Sebaliknya, hiburan yang bertentangan dengan Islam, seperti hiburan hedonistik, adalah hiburan yang mendatangkan mudarat kepada hidup manusia.