Google+ Followers

Saturday, 28 April 2012

Ayat Kursi tangani gangguan makhluk halus



Aizi Saidi Abdul Aziz
$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU - Jangan terlalu emosi dan takut pada hantu mengatasi ALLAH, tegas Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.
 
Menurutnya, orang ramai khususnya umat Islam tidak perlu takut kepada hantu kerana ia adalah jelmaan iblis, syaitan atau jin dan semua­nya itu adalah makhluk ALLAH.
 
“Saya bimbang bila orang kita terlalu takutkan hantu sehingga mengatasi kekua­saan ALLAH. Kita tidak perlu gusar atau takut, mungkin apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH tetapi kita perlu ikhtiar dengan bergantung kepada ALLAH TAALA.
 
“Kejadian diganggu hantu sepatutnya menjadikan kita lebih dekat pada ALLAH dan lebih banyak muhasabah diri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gangguan hantu Kak Limah yang dikatakan berlaku di Marang.
 
Ketika ditanya mengenai kejadian itu, Aizi berkata, dia tidak menolak kemungkinan kejadian sihir atau gangguan iblis, syaitan atau jin tetapi dalam bentuk jelmaan, untuk menakutkan orang apabila dilihat.
Bagaimanapun, katanya, jelmaan yang wujud dalam pelbagai bentuk itu tidak perlu ditakuti.
 
“Apa yang penting, kita perlu kuatkan iman. Kalau kita takut, iman kita mungkin masih lemah. Kita perlu ada kekuatan dalaman bagi mengatasi perkara yang boleh melemahkan iman kita,” katanya.
 
Menurutnya, bagi mengatasi masalah gangguan makhluk halus, umat Islam boleh membaca ayat Kursi dan ayat-ayat al-Quran yang lain.
 
Secara fitrah katanya, amalan ayat 3 Qul dibaca sebelum tidur untuk menghalang gangguan, iaitu dengan menghembus atau meniup bacaan itu pada seluruh tubuh.
 
Ketika ditanya nasihat beliau kepada keluarga Mazlan yang diganggu Kak Limah, Aizi bersetuju dengan tindakan keluarga itu memulangkan semula barang yang diambil dari rumah pusaka bapanya di Jerangau, Dungun.
 
“Kadang kala kita tidak tahu mungkin barangan yang diambil dari rumah pusaka itu adalah tempat tinggal bagi makhluk lain seperti jin. Jadi, eloklah kembalikan ke tempat asalnya.
 
“Saya juga menasihatkan dia agar memagar rumah dan bersihkan rumah dia, sebagaimana amalan kita bagi mengelakkan gangguan,” katanya.
 
Sementara itu, Sinar Harian berusaha menjejak ‘tapak lama’ rumah keluarga Mazlan di Jerangau untuk melihat secara lebih dekat keadaan di situ, selain membantu mencari penyelesaian ke atas kemelut yang dihadapi keluarga ini. Credit to: Sinar Harian

RACUN BERBISA: Zainab mendendami Rasulullah


SUP kambing yang menjadi makanan kegemaran Rasulullah di bubuh racun berbisa tetapi Rasulullah SAW terlepas daripada niat jahat Zainab. - Gambar hiasan

TERDAPAT banyak lagi catatan menarik apabila membicarakan mengenai Perang Khaibar. Sebagaimana perang yang lain dalam era sejarah Islam, Perang Khaibar memberikan banyak pengajaran, terutamanya musuh harus diperangi walaupun pelbagai rintangan dihadapi.

Ia tidak sekadar perang yang menonjolkan kegagahan luar biasa Saidina Ali dan bagaimana tentera Islam sebenarnya bukan sahaja perlu menawan Kubu Nai'im namun juga tujuh lain yang perlu ditawan dalam Kota Khaibar.

Namun menyebut Khaibar maka kita tidak boleh pisahkan daripada sebuah kisah bagaimana Nabi Muhammad diracun yang hampir-hampir membawa maut.

Peristiwa itu berlaku selepas seluruh Kota Khaibar dapat ditawan. musuh- musuh utama termasuk ketua puak Yahudii, Kinanah dihukum pancung, Rasulullah sendiri mengahwini Safiyyah yang dahulunya merupakan isteri kepada Kinanah. Baginda menetap sementara di Khaibar dan masyarakat Yahudi di situ menjadikan Rasulullah sebagai pemimpin baru mereka.

Cubaan meracun baginda itu dilakukan oleh seorang perempuan yang sangat jelita dan terkenal di kalangan penduduk Khaibar bernama, Zainab binti al-Harith.

Zainab menaruh dendam yang sangat kuat terhadap kekalahan yang menimpa kaumnya di tangan tentera Islam. Malah tidak dapat menerima hakikat kekalahan Khaibar.

Ini termasuklah abangnya sendiri, Marhab yang berjaya di bunuh oleh Saidina Ali.

Zainab merupakan isteri kepada bekas ketua Kaum Yahudi Khaibar, Sallam bin Misykam yang mati diracun oleh para pengikutnya.

Tetapi Zainab sendiri merancang untuk membalas dendam terutama terhadap Nabi Muhammad dengan memasukkan racun dalam makanan yang dihidangkan kepada baginda.

Bagi menjalankan misi itu, Zainab melakukannya secara berhati-hati dengan penuh tipu daya.

Beliau berpura-pura kononnya dapat menerima kepimpinan baginda dengan memuji-muji baginda ketika bertemu dengan ibu saudara Rasulullah yang menjadi Ketua Muslimat dan bertanggungjawab merawat tentera Islam dalam Perang Khaibar.

Sebelum itu, menerusi seorang dukun Yahudi, Zainab berjaya mendapatkan racun yang dikatakan paling berbisa dan sesiapa yang terkena walaupun sedikit kesannya akan menderita sepanjang hidup.

Di hadapan Safiyyah, Zainab memberitahu yang dia ingin menjadi pengikut Nabi Muhammad yang setia.
"Tentu sahaja baginda dapat menerima kamu lebih-lebih lagi dikatakan kamu seorang wanita Yahudi yang ternama di sini," kata Safiyyah.

Safiyyah yang tidak tercium niat jahat di sebalik kata-kata manis Zainab itu, memberitahu bahawa makanan kesukaan baginda ialah sup daging kambing.

Lalu Zainab menawarkan diri untuk menyediakan hidangan istimewa tersebut dan meminta Safiyyah menghidangkannya kepada baginda.

"Tetapi jangan kamu memberitahu bahawa saya yang memasak sup tersebut, saya bimbang Muhammad akan segan. Beritahu sahaja kamu yang memasaknya. Kalau baginda sudi untuk menikmati sup itu ia sudah memadai untuk saya rasa gembira dan rasa dihargai," ujar Zainab sambil tersenyum manis.

"Rasulullah tidak pernah menolak sebarang pemberian orang walaupun baginda akan berkongsi pemberian tersebut dengan orang lain. Jika sup kambing yang menjadi pemberian, tentu baginda akan lebih gembira dan tentu sekali tidak akan dicela pemberian yang istimewa seperti itu.

"Janganlah kamu bimbang, pasti baginda akan gembira dengan pemberian kamu yang ikhlas dan tentu dimasak dengan begitu sedap sekali," kata Safiyyah.

Seperti biasa Rasulullah dikatakan tidak pernah menjamu selera seorang diri kecuali makan secara 'berjemaah' dengan ahli keluarga dan para sahabat yang lain.

Jadi apabila dihidangkan dengan satu mangkuk besar sup kambing yang kelihatan begitu menyelerakan, baginda turut mengajak beberapa orang sahabat untuk turut sama menikmati hidangan tersebut.

Ini termasuklah seorang sahabat baginda yang bernama Bisyr bin Al Barra bin al Ma'rur yang dikatakan juga seorang penggemar sup kambing.

Lalu baginda pun mengambil bahagian paha untuk dimakan.

Dikatakan baginda sempat menggigit daging kambing itu sebelum dengan izin Allah, daging itu sendiri memberitahu baginda bahawa racun telah dimasukkan dalam masakan itu.

Segera baginda mengeluarkan daging tersebut daripada mulut baginda dan memberitahu yang lain mengenai ada pihak berniat jahat dengan membubuh racun dalam makanan kegemaran baginda itu.

Namun segala-galanya sudah terlambat kerana rupa-rupanya Bisyr telah mengunyah dan menelan daging kambing tersebut.

Malang bagi Bisyr apabila racun itu menyebabkan beliau menggelupur kesakitan dan tidak sempat diselamatkan, sahabat baginda itu akhirnya mati akibat kuatnya bisa racun itu.

Baginda sangat terkejut dan bersedih dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu.

Lalu Safiyyah dipanggil dan bertanya mengenai siapakah sebenarnya yang mengirim sup tersebut untuk membunuh baginda itu.

Baginda tahu ibu saudaranya itu juga dalam keadaan terkejut, lalu tidak dipaksanya untuk memberitahu angkara siapa di sebalik cubaan untuk membunuh baginda itu.

Lelaki 20 isteri tinggal 658 waris



Lelaki 20 isteri tinggal 658 waris
Gambar pada 1997 menunjukkan Kigongo (memegang tongkat) bersama isteri paling muda dan anak serta cucunya.
KAMPALA - Seorang lelaki di Uganda meninggal dunia pada umur 103, November lalu, sememangnya bertuah kerana dikurniakan 158 anak serta kira-kira 500 cucu.

Veteran Perang Dunia Kedua, Jack Kigongo dari kampung Kateera di daerah Kiboga didakwa mempunyai anak seramai itu, hasil perkahwinannya bersama 20 isteri.

Menurut salah seorang anaknya, Patrick Bulira Kigongo, keluarga mereka kini berhadapan masalah kesempitan hidup selepas bapanya meninggal dunia.

“Adik-beradik saya terpaksa menjual buah-buahan di kampung. Kami masih tinggal di dua rumah agam usang tinggalan bapa yang dibahagikan mengikut ibu masing-masing,” menurutnya lagi.

Pada 1997, kisah Kigongo yang pada ketika itu berumur 80 tahun dan baru berkahwin dengan isteri termuda berumur 18 tahun pernah dipaparkan di media tempatan.

Difahamkan, anak sulung Kigongo berumur 60 tahun, manakala, bongsu berumur 15 tahun. Credit:Sinar Harian.

Friday, 27 April 2012

Sahabat baikku orang baik....


Ketika singgah di sekolah lama...Sangat tersentuh dan terharu melihat senario ini...Sahabat baik yang sememangnya orang baik sedang menyuap anak-anaknya makan...Semoga Allah merahmati, memberi kemurahan rezeki dan memakmurkan hidup sahabat baik saya..Ust Fadhlullah Syahmie Md Amin dan isterinya Ustz Nazrina Hasan...

Tak ramai yang tahu..dan sememangnya sahabat saya yang satu ini mungkin bukan orang yang suka memberi tahu...meminta-minta dibantu. Tapi saya tahu, beliau mengidap penyakit mata yang menyebabkan beliau bermasalah untuk melihat sesuatu...secara jelas.

Alangkah baiknya...alangkah. Andai sahaja ada pihak yang sudi mempermudahkan urusan beliau mendapatkan rawatan mata agar segalanya mudah bagi beliau. Semoga Allah yang maha kaya dan maha segalanya mempermudah segala perkara...Ameen.

KFC diarah bayar keluarga mangsa RM25 juta



Monika Samaan dan bapanya, Amanwial meninggalkan kawasan Mahkamah Agung di  Sydney pada 2009. - Foto
Monika Samaan dan bapanya, Amanwial meninggalkan kawasan Mahkamah Agung di Sydney pada 2009. - Foto ihsan AAP
SYDNEY - Rangkaian makanan segera, KFC cawangan Sydney diarah membayar pampasan RM25.2 juta (£5.1 juta) kepada sebuah keluarga kanak-kanak perempuan Australia, yang mengalami kerosakan otak yang teruk selepas makan produk ayam beracun tujuh tahun lalu.
Monika Samaan, ketika itu berusia tujuh tahun, sakit selepas makan 'Twister' yang dicemari racunsalmonella di sebuah restoran KFC di Villawood, Sydney pada 2005.
Makanan itu menyebabkan dia kini hidup dengan bergantung pada kerusi beroda dan tidak boleh bercakap.
KFC, menurut laporan BBC, ia sangat kecewa dengan keputusan itu dan akan mengemukakan rayuan.
Hakim Mahkamah Agung New South Wales menganugerakan ganti rugi itu, yang bersamaan dengan A$8 juta, selepas memutuskan bahawa KFC telah melanggar tanggungjawabnya mengambil berat tentang keadaan kanak-kanak itu.
Peguam keluarga itu, George Vlahakis berkata, mereka gembira dengan keputusan mahkamah.
"Pampasan ini sangat-sangat diharapkan," kata kenyataan keluarga itu dipetik heraldsun.com.
KFC, yang dimiliki oleh Yum! Brands, terkejut dengan keputusan itu sambil menegaskan, tiada bukti menunjukan makanan disediakan syarikatnya menyebabkan masalah kesihatan Monika.
Mahkamah diberitahu bahawa Monika berada dalam koma selama enam bulan selepas dia, ibu bapa dan abangnya jatuh sakit dengan muntah-muntah selepas berkongsi Twister, lapor AAP, yang dipetik BBC.Sinar Harian.

Sunday, 22 April 2012

Penganiaya bakal hadapi hukuman berat


Ibu Kucing Mati Dilanggar
PETALING JAYA — Penganiaya binatang kesayangan berhadapan hukuman penjara atau dikenakan penalti lebih berat di bawah cadangan pindaan kepada Akta Binatang 1953 (Semakan 2006).
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong berkata, kementerian itu akan berunding dengan pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka dalam industri dan orang awam bagi mendapatkan input mereka sebelum memutakhirkan pindaan yang dicadangkan.
Katanya, akta yang ada sekarang tidak mencukupi dalam menghadapi keperluan menjaga kebajikan binatang berikutan berubahnya masa dan gaya hidup pemelihara binatang kesayangan.
"Kita akan memasukkan banyak perkara yang tidak diliputi akta berkenaan termasuk soal kebajikan binatang oleh kerana perubahan masa dan perlu mengambil kira gaya hidup pemelihara binatang terutama terhadap penyeksaan haiwan.
"Buat masa ini kita sedang mengkaji menambah penalti terhadap penganiayaan binatang kesayangan daripada RM200 kepada RM50,000 dan semestinya termasuk juga hukuman penjara oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis tamat program latihan anjing di Bandar Utama di sini hari ini. — BERNAMA

Saturday, 21 April 2012

Penubuhan Kelab Doktor Muda akan diwajidkan di sekolah


3D doctor holding a personal card - isolated over a white background
 Stock Photo - 10513725
SEREMBAN - Kementerian Kesihatan sedang dalam proses mendapatkan Surat Pekeliling Ikhtisas daripada Kementerian Pelajaran bagi mewajibkan penubuhan Kelab Doktor Muda di semua sekolah rendah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian juga merancang untuk memperluaskan program itu ke sekolah menengah dan perkara ini telah dirujuk kepada Ketua Pengarah Pelajaran untuk mendapatkan maklum balas.

Ketika berucap di majlis itu, Rosnah berkata sehingga kini 18 peratus atau 1,392 buah sekolah rendah di seluruh negara telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 murid sekolah tahun 4 hingga 6.

Program Doktor Muda merupakan program 'health promoting school' berbentuk pembimbing rakan sebaya mengenai ilmu kesihatan asas yang diperkenalkan sejak tahun 1989.

Bermula tahun 2006, Kementerian Pelajaran mengiktiraf program ini sebagai aktiviti kokurikulum dan kini dikenali sebagai Kelab Doktor Muda. 

Ketika ditemui pemberita kemudian, Rosnah berkata Jabatan Kesihatan di setiap negeri diminta memantau keadaan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri masing-masing dan sekiranya ada, kes itu perlu dilaporkan segera agar langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil.

Katanya langkah itu perlu berikutan penyakit itu yang merebak di kalangan kanak-kanak di Johor, selepas Sabah dan Sarawak.

 "Selalunya jika HFMD ini dilaporkan, kita akan melihat kepada jumlah kes dan sekiranya kes itu memerlukan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) itu ditutup sementara, maka kita akan keluarkan arahan ditutup.

"Biasanya tempoh Tadika dan Tabika itu ditutup adalah selama seminggu dan keadaannya akan dikaji selepas itu. Dalam masa yang sama kita akan menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka ke Tadika dan Tabika sekiranya anak
itu ada kesan simpton HFMD. Kita juga menasihatkan anak ini supaya segera mendapatkan rawatan di hospital," katanya. -- Sinar Harian/Bernama

Thursday, 19 April 2012

BISMILLAH LIMA: AMALAN MENOLAK SIHIR, RACUN DAN MUSIBAH

MARI AMALKAN BISMILLAH LIMA.



Diantara amalan dalam ikhtiar mengelak sihir dan santau adalah dengan selalu mengamalkan Bismillah 5. Bacalah dan jadikan sebagai amalan selepas solat, nak keluar rumah dan semasa nak tidur. Semoga dengan mengamalkannya kita akan mendapat perlindungan Allah hendaknya...Aameen.

Ertinya:-

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang,

Dengan nama Allah yang penyembuh,

Dengan nama Allah yang mencukupi segalanya,

Dgn nama Allah Yang Memberikan kesihatan yang baik

Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat pada sesiapa yang berlindung dengan namanya samada kejahatan di bumi maupun di langit, Dia amat Maha menDengar lagi Maha Mengetahui. 


Dinamakan Bismillah 5 kerana ada lima Bismillah di awal rangkapnya. Elok diamalkan bersama Bismillah 6 sebagai menstabilkan limpahan energi Bismillah 6 yang menyebabkan kesan sampingan seperti tapai menjadi tawar, tabiat ragi tidak berfungsi. Amalan bersama Bismillah 5 Bismillah 6 menjadikan segala racun menjadi tawar dan tidak akan memberi mudarat kalau tersalah minum. Semuanya dengan izin Allah jua.



Manfaat:

1. Penawar bisa diri.

2. Penawar kepada penyakit bisa-bisa tulang.

3. Penawar bisa-bisa badan.

4. Penawar bisa batu merian.

5. Boleh digunakan untuk mengubati sakit yang tidak diketahui puncanya.

p.s. Rujukan mengenai Bismillah 5, fungsi dan cara menggunakannya adalah RAWATAN PESAKIT MENURUT AL-QURAN & AS-SUNNAH oleh Dr. Amran Kasimin & Prof. Dr. Haron Din

Cara menggunakan Bismillah 5:

1.letakkan tangan di tempat yang sakit, tarik nafas, baca Bismillah 5 tujuh kali kemudian tiup tempat tadi, kemudian baru tiup di air; atau

2.kalau tempat sakit itu tidak boleh diletakkan tangan kerana sakit atau sukar untuk meletakkannya, letakkan tangan di anggota lain dengan penumpuan hati dan perasaan bahwa tempat tersebut adalah anggota yang sakit.

Atau cara lain yang boleh diamalkan, dengan meletakkan tangan diatas tempat sakit itu dan bacalah terus bismillah 5 ini, macam anak jatuh dan takut tak sempat nak ikut cara di atas...yang penting KEYAKINAN semasa membacanya dan khusyuk. InsyaAllah. 


Kalau kepala anak benjol sebab jatuh, sambil tuam air suam atau air batu pada tempat yang benjol itu, boleh baca bismillah 5 ini sekali. Kalau rasa nafas pendek tak boleh nak baca bismillah 5 ini dengan satu nafas sampai 7 kali bolehlah ikut berapa kita suka, tak mengapalah, bolehlah satu bismillah dengan satu nafas.

KUMZARI-BAHASA PURBA YANG PUPUS

Bahasa purba Oman hampir hilang penutur




DIDIAMI 4,000 orang penduduk dan menghadap Selat Hormuz yang strategik di Iran, perkampungan Kumzar memiliki sebuah bahasa berusia ribuan tahun yang tidak mungkin difahami oleh orang lain di muka bumi ini.
Kumzar terletak di hujung paling utara Semenanjung Musandam, Oman dan terlindung dengan gunung-ganang. Kedudukannya menghadap teluk yang dipenuhi kehidupan marin.
Ia merupakan sebuah penempatan nelayan yang ringkas selain menjadi kawasan perlindungan ikan lumba-lumba dan banyak lagi hidupan marin yang lain.
Dengan kedatangan televisyen dan Internet beberapa tahun lalu, penduduknya mula mempunyai kesedaran mengenai dunia luar seperti spekulasi mengenai kehidupan mereka bakal bergoncang disebabkan perang dengan Iran yang terletak kira-kira 50 kilometer sahaja.
Laluan sibuk
Itu merupakan beberapa pengaruh luar yang mengancam kelangsungan bahasa purba Kumzari iaitu bahasa hasil campuran Indo-Eropah dan Arab.
Bahasa Kumzari merupakan satu-satunya bahasa pertuturan bukan Semitik yang diguna pakai di Semenanjung Arab sejak lebih 1,400 tahun lalu.
Sejak berabad-abad, penduduk Kumzar menjadi orang barisan hadapan dalam pembentukan sejarah. Mereka telah menyaksikan malah turut membantu tentera empayar-empayar hebat di dunia untuk menguasai hak mengawal selat.
Perkampungan tersebut sudah lama menjadi pusat perdagangan global marin dan kini menjadi laluan yang sibuk dengan kapal-kapal pengangkut minyak dunia.
Sekali pandang, Kumzar seperti terputus hubungan dengan dunia luar, tetapi jika diteliti terdapat beberapa ciri-ciri moden di situ sejak sedekad kebelakangan ini.

MUSCAT ibu negara Oman yang diangkat sebagai Kota Kedua Terbaik di Dunia oleh Lonely Planet.


Selain bekalan elektrik dan air bersih, kemudahan asas seperti sekolah, hospital, landasan helikopter, televisyen satelit dan akses Internet juga boleh didapati di Kumzar.
Kemewahan tersebut menjadi titik mula perubahan remaja-remaja kampung itu, tetapi menurut pakar, ia telah menjadi penyebab pupusnya bahasa tidak bertulis itu.
“Bahasa pengantar di sekolah ialah bahasa Arab dan terdapat banyak pengaruh dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
“Jadi kanak-kanak tidak bertutur bahasa Kumzari yang pernah digunakan oleh datuk dan nenek mereka,” kata penyelidik Universiti Leiden, Belanda, Christina van der Wal.
Tambahnya, perkataan Kumzari untuk ketuhar ialah forno. Ia diambil daripada bahasa Portugis yang pernah memerintah wilayah itu pada abad ke-16 dan 17.
Terdapat banyak perbendaharaan kata dari Arab dan juga Parsi yang dijadikan perkataan mereka.
Bagaimanapun, Christina van der Wal memberitahu, perkataan tersebut tidak boleh difahami oleh orang-orang Arab dan Parsi.
Istilah eksklusif
Perkataan batang ialah qetub, ia diambil daripada perkataan asal Arab berbunyi qadib.
Menurut ahli linguistik yang menetap di kampung itu, Erik Anonby, perkataan tersebut langsung tidak dapat difahami oleh bangsa Arab.
Ujarnya, perkataan yang diambil oleh bahasa Inggeris, motor merujuk pada kereta selain raha (radio) dan apsit bagi sedih (upset).
“Banyak istilah marin yang eksklusif dalam bahasa Kumzari,” ujarnya sambil menyatakan perkataan tersebut tidak boleh dijumpai dalam bahasa-bahasa lain.
Kedua-dua pakar bahasa itu dalam misi menyelamat bahasa yang sedang nazak itu. Mereka kini dalam pembikinan menyiapkan kamus Kumzari bersama-sama.

SEJAK sekian lama, perkampungan Kumzar menjadi pusat perdagangan global marin.


Anoby mengkaji sistem ejaan, manakala Van der Wal melihat pada susunan tata bahasa.
Sementara itu, televisyen satelit dan World Wide Web (www) membawa masuk sumber hiburan untuk para remaja yang hidup dalam suasana bosan disebabkan cara hidup tidak aktif dan terasing secara geografi.
“Tidak banyak yang boleh dilakukan di sini kecuali mendaki gunung.
“Tetapi sekarang kami boleh menonton televisyen, kami boleh mencari perkara menarik di Internet sambil mendengar muzik dalam talian,” kata Jamayel, 15, yang ditemui ketika sedang melalui laluan sempit di kampungnya.
Jamayel juga memberitahu bahawa mendiang Michael Jackson merupakan artis kegemarannya.
Rakan baiknya, Mariam mempunyai impian menjadi seorang arkitek dan mahu mengubahsuai teratak-teratak buruk yang diperbuat daripada batu di kampungnya.
“Kawasan ini ada banyak potensi,” katanya.
Dia merancang untuk pulang semula ke Kumzar dan akan membina semula kampung itu sebaik berjaya mendapat ijazah.
Biarpun Kumzar memiliki budaya yang konservatif dan cenderung ke arah Islam, ibu bapa di situ menghantar anak-anak mereka ke ibu negara Oman, Muscat atau ke luar negara bagi mendapatkan pendidikan pada peringkat lebih tinggi.
Seorang penduduk tempatan, Mariam Ahmad, 34, mempunyai tiga orang anak dan salah seorang anak perempuannya sedang belajar dalam bidang sains komputer.
Dia berkahwin pada usia 13 tahun dan tidak lama selepas itu, Mariam melahirkan anak pertama.
“Bagaimanapun, kami tidak lagi mengahwinkan mereka pada usia muda. Tidak guna menghantar mereka ke sekolah selama 12 tahun hanya kerana mahu berkahwin,” kata Mariam sambil suaminya mengangguk kepala tanda setuju.
Menurut Van der Wal, orang Kumzari amat berbangga dengan sejarah mereka. Masyarakat luar menyangka mereka berbangsa Arab Oman, tetapi mereka memanggil sebagai bangsa Kumzari. Satu bangsa berketurunan Sheikh yang memerintah Semenanjung (Arab) sejak beberapa ratus tahun lalu.
Separa nomad
Cara hidup mereka separa nomad. Pada musim luruh, sejuk dan bunga, mereka tinggal di Kumzar dan menyara hidup dengan menangkap ikan.
Pada musim panas pula, masyarakat Kumzari berpindah ke bandar pelabuhan berdekatan Khasab untuk menuai buah kurma.
Kehidupan mereka aman damai dan tidak ada orang luar untuk dijadikan musuh atau boleh menimbulkan sebarang konflik.
Terdapat sebuah kem tentera Oman yang terletak di sebuah pulau kecil di selat itu dengan perjalanan pendek menaiki bot dari perkampungan Kamzar.
Seberang jalan air itu pula, ada beberapa pulau yang menempatkan kem tentera Iran. Antara kem-kem tersebut, ada bahagian persisiran menjadi pangkalan peluru berpandu balistik jarak sederhana.
Nelayan-nelayan Kumzari berkongsi laluan air di teluk itu bersama-sama kapal perang dan kapal induk pesawat udara selain bot-bot pengawal milik Oman dan Iran.
“Kami sentiasa berada dalam kawasan serangan dan tembakan yang boleh dilepaskan pada bila-bila masa kerana kami tinggal di selat,” kata seorang nelayan yang dikenali sebagai Zeid, 31.
Tetapi dengan tekanan yang semakin meningkat antara Iran dan Barat berkenaan program nuklear Teheran, negara Parsi itu mengugut untuk menutup selat jika diserang. Penduduk kampung pula tidak menunjukkan apa-apa perubahan terhadap konflik tersebut,
“Jika perang meletus di selat, tiada apa yang boleh kami lakukan. Setakat ini, kami teruskan hidup menjadi nelayan kerana tiada apa lagi yang tinggal dengan kami,” kata Zeid.
Credit to: Kosmo

PEMIMPIN YANG BAIK, DIHORMATI BUKAN DIGERUNI



KERANCAKAN perbincangan sejak akhir-akhir ini banyak memfokuskan soal kepemimpinan yang mempamerkan pentingnya tanggungjawab seorang pemimpin. Malah, menjadi seorang pemimpin bukanlah mudah, begitu juga untuk menjaga kepemimpinan juga bukanlah senang. 

Jadi, bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk memastikan kepemimpinan itu akan terus dihormati dan bukannya terus digeruni? Adakah perlu kepemimpinan berkenaan mengikut kehendak rakyat atau kehendak agama yang perlu didahulukan?
Penulis buku French Political Thought in the Nineteenth Century, Roger Soltau mengatakan, negara adalah alat (agensi) atau kekuasaan (autoriti) yang mengatur atau mengendalikan persoalan bersama atas nama masyarakat. Negara adalah gabungan beberapa kelompok masyarakat yang diintegrasikan kerana mempunyai kekuasaan yang bersifat memaksa. Ia lebih baik daripada hanya sekadar berbentuk individu atau kelompok sebahagian dari masyarakat itu.
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. - Surah al-Mulk, Ayat 1
Namun, Max Weber dan Robert Maclver menyatakan, negara bukan hanya sekadar penyatuan antara masyarakat bahkan ia lebih kompleks berbanding masyarakat.

Perlu diketahui negara yang kuat adalah berasaskan kepada masyarakat yang kuat. Menurut Muhammad Ismail dalam kitab al-Fikr al-Islami, kekuatan dan keutuhan masyarakat dapat dibina berdasarkan kepada tiga kriteria utama. 

Pertama, adanya pemikiran sama. Kedua, perasaan yang sama. Ketiga, undang-undang yang diterapkan dalam masyarakat perlu kuat. Jika tidak ada salah satu kriteria itu, maka tidak layak kelompok berkenaan dipanggil masyarakat. Apabila masyarakat tidak ada, negara tidak akan muncul.

Oleh itu, konsep sesebuah negara dibentuk berasaskan kebijaksanaan seseorang pemimpin menilai situasi semasa dan budaya hidup mereka. Negara Islam dibina berteraskan pembentukan individu muslim, kemudian rumah tangga muslim, kemudian masyarakat muslim dan akhirnya negara muslim. 
Pendekatan terhadap pembentukan negara berteraskan Islam juga memerlukan kebijaksanaan pemimpin menyesuaikan mengikut suasana semasa tempat mereka.
 
Berdasarkan penelitian terhadap beberapa karya, negara berteraskan Islam boleh dibentuk walaupun berada dalam pemerintahan raja berperlembagaan, demokrasi dan sebagainya. Tetapi ia perlu berada dalam enam perkara asas yang diletakkan sebagai Rukun Negara berteraskan Islam.

Pertama, memilih pemimpin adil, berani, mampu, cukup kuat ingatan, berilmu pengetahuan luas dunia akhirat, biasa dengan teknik peperangan dan mahir dalam pentadbiran. Ia juga perlu kuat prinsip untuk menghadapi lawan, tidak kenal erti menyerah kalah apabila ditekan pihak musuh. 

Kedua, perlu dipastikan hak membuat hukum dalam sebuah negara Islam adalah milik Allah SWT. Walaupun begitu, jika undang-undang itu masih lagi belum termaktub dalam al-Quran atau dihuraikan dalam hadis, bolehlah para mujtahid membuat hukum berdasarkan keadaan dan situasi semasa. Hal ini bermakna, undang-undang Islam perlu diletakkan lebih berautoriti berbanding undang-undang lain.

Ketiga, syura harus memainkan peranan penting dalam membuat sebarang keputusan. Ia perlu dipraktikkan sepenuhnya dalam memastikan timbang dan periksa dalam kerajaan berjalan dengan adil menurut syarak. 

Peranan ulama dan umara dalam sesebuah pemerintahan Islam penting untuk memastikan kedudukan negara berteraskan Islam tidak tergugat. 

Keempat, kerajaan memerintah perlu memastikan keadilan untuk semua pihak terjaga tidak kira agama, bangsa, puak dan ideologi. Kelima, menghormati dan melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan akhirnya, mempunyai komitmen melaksanakan hukum syariah dalam memastikan fitnah terhadap agama sentiasa terjaga. 

Persoalannya, bolehkah negara berteraskan Islam dibina dalam acuan berbeza daripada dasar Islam? Berdasarkan penelitian terhadap enam rukun berkenaan, sudah pastinya tidak mungkin berlaku.

Untuk itu, konsep negara berteraskan Islam ini perlu difahami masyarakat supaya pembinaan sesebuah negara berteraskan Islam itu tidak disalahertikan. Ia bukan untuk menyusahkan masyarakat tetapi menyelamatkan manusia daripada kebinasaan. 

Pengamalan rukun itu, perkara pertama perlu diteliti ialah pemilihan seseorang pemimpin yang benar-benar menguasai beberapa perkara asas seperti fizikal dan mental. Dari segi fizikal, perlu ada keberanian keputusan, berhujah dan mampu memimpin.

Dari segi rohani, hati seseorang pemimpin itu harus bersih daripada sebarang kemaksiatan, tidak melakukan sebarang kemungkaran secara terang-terangan, kuat ingatan dan seorang yang berilmu pengetahuan luas dalam keilmuan dunia serta keilmuan akhirat.

Seterusnya, berdasarkan penelitian terhadap rukun berkenaan, seorang pemimpin harus mengakui bahawa kepemimpinannya itu hanyalah pinjaman daripada tuhan dan apabila tiba masanya perlu diserahkan kembali kepada pemerintah segala pemerintah yakni Allah SWT.



Berita Harian.

Wednesday, 18 April 2012

PENERBANGAN TERAKHIR DISCOVERY


Discovery terbang untuk kali terakhir


KAPAL angkasa Discovery yang diangkut pesawat Boeing 747 terbang di ruang udara Washington kelmarin.


WASHINGTON - Kapal angkasa Discovery yang diangkut di atas sebuah pesawat Boeing 747, melakukan penerbangan simbolik sebelum ia mendarat berhampiran sebuah muzium, tempat ia disimpan di ibu kota AS di sini kelmarin.
Discovery yang melakukan penerbangan sulung pada 1984, terbang mengelilingi ibu kota AS berkenaan selama sejam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles dengan disaksikan oleh orang ramai.
Kapal angkasa berwarna hitam dan putih milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) itu kelihatan lusuh selepas melakukan 39 misi ke angkasa lepas.
"Ia seperti menghantar ahli keluarga anda menetap di tempat lain," kata seorang angkasawan NASA, Nicole Stott.
Discovery melakukan misi terakhir ke angkasa lepas pada Februari dan Mac tahun lalu melibatkan perjalanan pergi balik ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang mengambil masa 13 hari.
Daripada tiga buah kapal angkasa milik AS termasuk Endeavour dan Atlantis, Discovery adalah yang tertua dan paling kerap terbang ke angkasa lepas.
Pusat kawalan NASA menyatakan, Discovery menghabiskan masa 365 hari di angkasa lepas dan terbang sejauh 241 juta kilometer sepanjang perkhidmatan kapal angkasa berkenaan.
Credit to: Kosmo- AFP