PETALING JAYA — Penganiaya binatang kesayangan berhadapan hukuman penjara atau dikenakan penalti lebih berat di bawah cadangan pindaan kepada Akta Binatang 1953 (Semakan 2006).
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong berkata, kementerian itu akan berunding dengan pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka dalam industri dan orang awam bagi mendapatkan input mereka sebelum memutakhirkan pindaan yang dicadangkan.
Katanya, akta yang ada sekarang tidak mencukupi dalam menghadapi keperluan menjaga kebajikan binatang berikutan berubahnya masa dan gaya hidup pemelihara binatang kesayangan.
"Kita akan memasukkan banyak perkara yang tidak diliputi akta berkenaan termasuk soal kebajikan binatang oleh kerana perubahan masa dan perlu mengambil kira gaya hidup pemelihara binatang terutama terhadap penyeksaan haiwan.
"Buat masa ini kita sedang mengkaji menambah penalti terhadap penganiayaan binatang kesayangan daripada RM200 kepada RM50,000 dan semestinya termasuk juga hukuman penjara oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis tamat program latihan anjing di Bandar Utama di sini hari ini. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment