Showing posts with label Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Aqidah. Show all posts

Monday, 15 July 2019

Bolehkah makan masakan bukan Muslim?

ISLAM tidak menghalang makan masakan bukan Muslim, namun bersyarat.
PERSOALAN tentang boleh atau tidak orang Muslim makan makanan yang dimasak oleh seseorang yang bukan Muslim sering menjadi tanda tanya dan kekeliruan dalam masyarakat sehingga kini.
Hal ini kerana, kesucian makanan amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam memandangkan ia memberi implikasi bukan sahaja kepada ibadah yang dilaksanakan malah berakar umbi menjadi darah daging.
Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman tampil memberi pencerahan melalui hantaran di laman Instagramnya baru-baru ini.
Kata PU Azman, secara asasnya kehalalan suatu makanan tidak terletak pada siapa yang memasaknya tetapi kandungan dan bahan yang dimasak.
Sebagai contoh jelasnya, jika ayam itu disembelih cara Islam dan dimasak oleh orang bukan Islam maka ia tetap halal.
Sebaliknya, kalau kambing itu disembelih bukan dengan cara Islam dan dimasak oleh orang Islam maka ia tetap haram untuk dimakan.
“Dalam hidup kita betapa banyak makanan moden diproses di kilang yang diuruskan oleh bukan Islam. Tentang isu warak,ya. Itu pendirian terbaik untuk memilih makanan yang disediakan oleh Muslim jika terdapat keraguan. Tetapi pastikan makanan itu sendiri juga halal.
“Dalam Islam ada satu kaedah iaitu tidak wajib kita persoalkan perkara yang tidak dilihat secara terperinci kecuali apabila telah jelas haramnya,” katanya seperti dipetik dari Instagram.
Walau bagaimanapun tambahnya, jika keraguan atau sifat was-was itu tinggi, maka terserah kepada individu untuk membuat pilihan tanpa mengecam pilihan orang lain yang bersifat yakin.
Tegasnya, Nabi Muhammad sendiri pernah makan daging yang diberikan oleh seorang wanita Yahudi.

Credit: Utusan

Sunday, 7 January 2018

USAH KOMEN BENDA TIDAK DIKETAHUI




Apakah hukumnya kita membuat ketetapan bahawa umat Islam penduduk kampung yang meninggal dunia dalam peristiwa Memali sebagai pengganas?
PERISTIWA ini berlaku pada 1980-an atau sekitar 1985 yang bermaksud tragedi itu sudah lebih dari 30 tahun berlaku. Banyak generasi muda yang berusia 40-an ketika ini tidak dapat memastikan apa yang sebenarnya berlaku ketika itu.
Dalam hal ini, dalam membuat ketetapan hendaklah berdasarkan ilmu. Tidak wajar kita yang tidak terlibat secara langsung dalam tragedi itu membuat apa-apa ketetapan kerana tiada ilmu yang pasti bagi kita.
Apatah lagi ia mungkin mengguris hati mana-mana insan yang masih hidup terutama keluarga dan waris bagi insan yang terbunuh, mereka akan berasa sedih jika perkara tidak elok dan tidak baik disebut tentang keluarga mereka yang terbunuh. Begitu juga keluarga pihak polis yang terlibat dan terbunuh dalam peristiwa tersebut juga akan berasa sedih jika pihak anggota polis yang terlibat dan terbunuh dituduh dengan tuduhan tidak sewajarnya.
Maka biarlah insan-insan yang terlibat secara langsung dalam menguruskan hal ini bercakap. Untuk membuat kajian maka ia adalah sesuatu yang baik. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk memastikan perkara sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang.







Credit: Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al Jarumi

Sunday, 22 November 2015

Jihad bukan hanya berperang

DASAR utama yang diperjuangkan oleh Islam adalah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukan ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahte­raan abadi untuk sekalian alam. Perkataan Islam berasal da­ripada bahasa Arab yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai.
Oleh yang demikian, jangan sebab segelintir orang Islam melakukan jenayah, seluruh umat Islam dilabel sebagai pengganas, pemberontak dan pelbagai gelaran antagonis. Penganut agama lain turut melakukan jenayah, pembunuhan dan kekejaman.
Namun akibat prejudis dan double standard terutama­nya media Barat, insiden yang kononnya dilakukan oleh orang Islam pantas dijaja dan dikaitkan dengan keganasan. Sehinggakan tindakan penduduk Palestin yang menjadi pengebom berani mati sebagai salah satu cara mempertahankan negara dan agama juga digelar pengganas oleh media Barat. Padahal media dan masyarakat dunia menyaksikan bagaimana kejam dan zalimnya rejim zionis. Mereka bukan sahaja membunuh rakyat Palestin tetapi merampas tanah dan rumah, mengebom kediaman orang awam, memenjarakan kanak-kanak dan melakukan macam-macam lagi jenayah.
Sebab itu, dalam insiden serangan di Paris pada 13 November lalu umat Islam seluruh dunia turut sama mengutuk dan mengecam tindakan tersebut. Ini bukan cara yang diajar oleh Islam walau atas apa alasan sekalipun termasuk jika ada yang mengaitkannya dengan jihad. Orang yang melakukan serangan sedemikian mungkin muslim tetapi mereka bukan mukmin.
Jihad adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud berusaha keras dan bersungguh-sungguh dalam me­lakukan sesuatu.
Secara keseluruhan jihad bererti mencurahkan kemampuan dan kekuatan dengan ‘berperang’ di jalan Allah SWT dengan jiwa, harta dan lisan. Ia bertujuan memakmurkan bumi dengan syariat Allah SWT. Namun, masyarakat masa kini sering mengaitkan jihad sebagai ‘mengangkat senjata’ atau berperang.
Umat Islam dibenarkan berperang hanya selepas mereka ditindas dengan kekerasan dan diserang oleh musuh Islam iaitu kafir Qurasiy sebagaimana yang menimpa Nabi SAW semasa Baginda di Mekah. Ekoran itu, Allah menurunkan ayatnya yang bermaksud: Telah diperkenankan untuk meng­angkat senjata bagi mereka yang telah diperangi, disebabkan mereka telah diperlakukan dengan aniaya dan sesungguhnya Allah berkuasa menolong mereka. (al-Hajj: 39)
Para ulama sependapat ini adalah ayat pertama yang memberi izin kepada umat Islam mengangkat senjata mempertahankan diri mereka. Namun, umat Islam hanya boleh mengangkat senjata untuk membela diri terhadap mereka yang terlebih dahulu menyerang dan hanya jika umat Muslim memang tertindas dan teraniaya. Hal inilah yang menjadi inti pati penting dalam jihad Islamiah yang banyak di­salah-ertikan sekarang.
Islam tidak memerintahkan umatnya memerangi semua orang yang tidak menerima dakwahnya. Jika mereka sudi hidup berbaik-baik dengan orang Islam, maka mereka akan diberi hak dan tanggungjawab sama seperti yang diperoleh oleh umat Islam yang lain. Ini dibuktikan oleh Islam sepanjang sejarah pemerintahan dan kekuasaannya dahulu. Malah tercatat dalam sejarah Islam lampau bahawa kementerian tertentu di bawah kekuasaan Islam diketuai oleh orang bukan Islam yang mahir dalam bidang yang berkenaan.
Image result for berjihad dijalan allah
Tindakan segelintir orang Islam seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) yang didakwa mencetuskan keganasan di beberapa lokasi termasuk di Paris minggu lalu tidak mewakili umat Islam secara keseluruhan. Sebaliknya ia memberi persepsi yang salah tentang agama Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke sekelian alam.
Perbuatan itu juga menjejaskan peluang ribuan pela­rian Islam dari Syria untuk mendapat perlindungan sementara di negara-negara Eropah berikutan krisis yang berlaku di negara tersebut. Menyebar dan mencetus keganasan atas nama jihad adalah suatu kesilapan. Bentuk jihad untuk menghadapi golongan kafir adalah bergantung kepada keadaan. Islam bukanlah agama yang keras dan kaku. Ia memandu umatnya supaya bertindak sesuai dengan situasi serta kemampuan yang ada.
Image result for berjihad dijalan allah


Credit: Mohd Radzi Mohd Zin

Thursday, 22 October 2015

Tiada siapa terlepas himpitan kubur


Manusia akan mengalami himpitan kubur selepas dimasukkan ke liang lahad. - Gambar hiasan

Huzaifah berkata, Rasulullah SAW pernah mendatangi satu jenazah. Ketika sampai di kubur, Baginda duduk di tepi liang kubur dan Rasulullah SAW berkali-kali memandang ke dalam kubur itu lalu bersabda: "Di dalam kubur ini seorang Mukmin dihimpit dengan himpitan kubur yang menghancurkan anggota tubuhnya. 

Sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka. Satu perkara yang perlu anda ingat dalam hidup kita, apabila tiba saat liang lahad terbuka dan jasad kita diturunkan ke dalamnya, satu perkara yang perlu kamu ingat ialah di mana akan berlakunya himpitan kubur." 

Ada perbezaan antara himpitan kubur dan azab kubur. Himpitan kubur berlaku pada saat awal sebelum liang lahad ditutup dan hampir semua manusia akan melaluinya kecuali Nabi serta Rasul. 

Riwayat Aisyah menyebut, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kubur itu memiliki himpitan. Kubur ini, jika mayat itu turun berlaku himpitan. Lalu jika ada orang yang terselamat daripada himpitan kubur ini, nescaya Saad bin Muadz orang pertama yang terlepas daripada himpitan kubur." 

Saad bin Muadz adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang ketika gugur syahid, bergegar Arasy Allah SWT, malah malaikat juga turut menangis.

Faktor alami himpitan kubur 

Berdasarkan perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi program Mau'izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia mengalami himpitan kubur. 

Menurut Rasulullah SAW, perkara pertama menyebabkan berlakunya himpitan kubur kerana cuai terhadap air kencing yang tidak dicuci dengan bersih dan ada kalanya terkena kepada pakaian yang kemudiannya dipakai untuk mengerjakan solat. 

Menerusi hadis Rasulullah SAW yang dirujuk dalam kitab karangan Imam Jalaludin al-Suyuti, ketika Saad bin Muadz dikebumikan, Rasulullah SAW bertasbih diikuti sahabat Baginda. 

Apabila sahabat diam, Rasulullah SAW bertakbir, dituruti oleh sahabat. Kemudian sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa Baginda bertasbih dan bertakbir. Baginda menjawab, kubur orang salih itu telah dihimpit lalu Allah melapangkannya kembali. 

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, selepas Rasulullah SAW mengebumikan Saad bin Muadz, Baginda SAW berucap di tepi kuburnya: "Jika ada di antara kamu yang boleh selamat daripada himpitan kubur, nescaya Saad bin Muadz lah yang pertama terlepas daripada himpitan kubur." 

Himpitan kubur seperti disebut oleh Muhammad al-Taimi yang diriwayatkan Ibnu Abi al-Dunya, adalah seumpama himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang itu diciptakan atau seperti seorang ibu yang memeluk anaknya. Lalu anak itu merungkaikan pelukan itu dan menghilang. Setelah itu kembali semula kepada ibunya dan dipeluk semula seperti pelukan orang tua kepada anaknya. 

Himpitan dialami berbeza antara satu sama lain berdasarkan amalan. Oleh itu, sesiapa yang taat kepada Allah SWT akan mengalami himpitan penuh kelembutan dan kasih sayang tetapi mereka hidup dalam kemaksiatan, akan dihimpit dengan himpitan keras kerana bencinya Allah SWT kepadanya. 

Terdapat perbezaan himpitan kubur yang dialami antara orang Mukmin dan orang kafir. Abu al-Qassim al-Said mengatakan, tidak ada seorang pun sama ada baik atau jahat yang akan terselamat daripada himpitan kubur. 

Bagi orang kafir, himpitan kubur berlaku buat selama-lamanya, bermula selepas dimasukkan ke dalam kubur sehinggalah tiba hari akhirat. Bagi orang Mukmin, himpitan kubur hanya dialami pada waktu mula-mula dimasukkan kemudian akan menjadi lapang selepas selesai urusan pengebumiannya. 

Faktor kedua yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur ialah akibat melakukan kesalahan lalu membiarkan kesalahan itu berpanjangan dan menangguhkan waktu untuk bertaubat. Seterusnya, kurangnya rasa bersyukur kepada Allah SWT adalah faktor ketiga berlaku himpitan kubur. 

Jarang sekali kita menyebut Alhamdulillah seperti sejurus selepas bangun daripada tidur atau memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan hidup yang baik. 

Gerakan pada kedua-dua kaki 

Setelah jasad diturunkan ke liang lahad, terasa gerakan pada kedua-dua kaki. Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Walid bin Amru bin Muadz, katanya, "Pernah sampai kepadanya satu berita yang menyebut bahawa hal pertama akan dirasakan oleh mayat ketika turun ke liang kubur itu, dirasakan gerakan kedua-dua kakinya. Lalu dia bertanya, siapa kamu? Kemudian dia menjawab, aku amalanmu. Lalu amal itu akan memukul paha kirinya, sambil berkata: Aku adalah amal perbuatan kamu ketika hidup di dunia dahulu. Kemudian apabila jasad itu bertanya di mana keluarga serta apa yang diberikan Allah kepadanya sebelum ini, lalu amal itu berkata: Kamu telah meninggalkan keluarga dan segala kurniaan Allah, tiada apa yang mengikut kamu kecuali aku. Mayat itu seterusnya menyebut: Seandainya aku mengetahui hanya amal yang akan mengikutku, maka aku akan mengutamakan kamu (amal) di atas dunia berbanding keluargaku dan segala yang diberikan kepadaku, tetapi sebaliknya aku sibuk dengan semua itu sehingga aku tertinggal amalan yang sepatutnya aku kerjakan." 

Kemudian kita akan diperlihatkan malaikat Mungkar dan Nakir yang berwarna hitam kebiru-biruan berada hujung kaki untuk memulakan pertanyaan soalan azab kubur. Saat diperhatikan malaikat itu, datang perasaan amat takut kepada Allah SWT kerana ketika di dunia kita hanya takut kepada perkara selain-Nya.



Credit: Fairuz Nordin/IKIM

Sunday, 13 September 2015

Zulhijjah dirai, roh pengorbanan dihayati

ZULHIJJAH adalah bulan yang sarat dengan pelbagai peristiwa sejarah. Zulhijjah sinonim dengan rukun Islam yang kelima iaitu haji dan juga ibadah korban. Keistimewaan bulan ini bukan hanya khusus untuk yang menunaikan fardu haji, tetapi juga memberi kelebihan kepada yang tidak menjadi tetamu Allah SWT. Jarang sekali kita mendengar ramai orang yang menunggu akan ketibaan malam satu Zulhijjah seperti mana menantinya kedatangan bulan Ramadan.
Image result for hari raya haji
Sedangkan, kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah wajar direbut bagi umat Islam yang mencari medan pahala sebagai bekalan akhirat. Seperti mana sabda Rasullullah SAW daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”.
Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadah besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, ibadah-ibadah tersebut tidak pernah terhimpun sebegitu. Ia juga seperti pesta ibadah bagi umat Islam yang tahu memanfaatkannya.
Setiap Muslim hendaklah menyambut dan meraikan kedatangan musim kebajikan dan medan pahala tersebut dengan penuh kesyukuran. Malah seharusnya perlu dihadirkan rasa bertaubat yang bersungguh-sungguh dengan meninggalkan segala dosa dan maksiat.
“Tidak ada satu pun amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah SWT melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” - Ahmad at-Tirmizi.
Keistimewaan ini tidak ditawarkan pada bulan lain, apakah masih sanggup kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja?
Mendekatkan diri kepada Allah memerlukan rasa mujahadah yang tinggi. Pengorbanan untuk melawan hawa nafsu dan mengikat diri untuk menjadi hamba yang taat perintah-Nya perlu dididik dalam jiwa setiap individu Muslim. Inilah semangat pengorbanan yang wajar dipupuk dalam erti kata menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh dua insan yang berjiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Ibadah korban yang dilakukan sempena Aidiladha bukan semata-mata menyembelih binatang dan memberi sedekah kepada yang memerlukan tetapi rohnya jauh lebih besar. Simbolik daripada ibadah ini ialah semangat pengorbanan dan jihad yang tinggi perlu ada bagi setiap individu Muslim.
Kecekalan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam me­laksanakan perintah Allah memberikan sumber inspirasi kepada umat manusia pada hari ini. Mereka mengorbankan jiwa raga dan perasaan demi perintah Allah. Maka itu, wajar kita mencontohi kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang dipamerkan oleh dua susuk tubuh yang agung tersebut. Demi mencari keredaan Allah SWT, pengorbanan jiwa raga, masa dan tenaga serta harta benda ditagih. Kita tidak akan kehilangan sekiranya ada perkara yang perlu dikorbankan demi mencari keredhaan Allah SWT. Malah ia adalah satu pengorbanan yang akan dibalas jua dengan ganjaran yang sebaik baiknya oleh Allah.
Realitinya hari ini, ramai umat Islam yang sanggup mengeluarkan wang menjalani ibadah korban dengan menyembelih binatang tetapi tidak sanggup mentaati perintah Allah SWT dalam perkara berkaitan dengan hukum lain. Sikap ini seolah-olah hanya memahami ibadah korban itu sebagai ritual tanpa ada roh pengajaran yang sebenar daripadanya. Masih ramai yang tidak menunaikan solat lima waktu, menutup aurat serta tidak melaksanakan perintah Allah.
Zulhijjah akan berlalu seperti mana perginya Ramadan atau bulan-bulan lain. Banyak peluang yang Allah berikan kepada hambanya untuk dinikmati. Sekiranya kita melepaskan peluang ini maka terlepas jualah untuk kita meraih nikmat dan rahmat-Nya. Malah sekiranya semangat perjuangan dan pengorbanan Aidiladha itu tidak dihayati, manfaatnya juga tidak akan dapat dirasai.

Credit: NORKUMALA AWANG

Wednesday, 1 July 2015

HAMZAH FANSURI YANG TERBILANG

Hamzah Fansuri ialah seorang penyair yang dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Utara. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur.

Hamzah Fansuri telah mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Ia menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.

 

Hamzah Fansuri adalah pengembang Tarekat Wujudiyah. Fahaman ini beranggapan bahawa segala makhluk itu pada asasnya esa, kerana wujud daripada zat Allah.
 


Dalam hujahnya menerusi kitab-kitab ini, terkesan bahawa Hamzah terpengaruh dengan faham Ibn Arabi, ahli tasauf yang masyhur pada akhir abad ke-12 dan awal abad ke-13.



Bagaimanapun, tarekat Wujudiyah ini kemudiannya ditentang hebat oleh Nuruddin ar-Raniri yang mengatakan Tuhan kekal tidak terjejas dari ciptaannya.
Tidak diketahui secara pasti tarikh hasil karyanya itu ditulis kerana tidak ada catatan tentangnya. Yang diketahui ialah bahawa Hamzah Fansuri menghasilkan karyanya itu pada masa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah Aceh dalam tahun 1606-1636 M. Berdasarkan ini, dapatlah dikatakan bahawa karyanya itu tercipta pada awal abad ke-17. Ia menghasilkan beberapa buah syair dan prosa. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan 'Syair Perahu'nya ini:
Inilah gerangan suatu madah
Mengarangkan syair terlalu indah
Membetuli jalan tempat berpindah
Di sanalah i'tikad diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiadalah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu

Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan


 

Dengan penggunaan bahasa yang indah dan dengan perumpamaan yang sederhana, Syair Perahu ini pada suatu masa menjadi sebutan orang ramai. Ia digunakan oleh ibu bapa untuk menasihati anaknya agar mentaati ajaran Islam.

  

Karya Hamzah Fansuri

  1. Asrar al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana)
  2. Asrār al-`Salikin (Rahsia Sekelian Orang yang Bersuluk)
  3. Sharab al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi)
  4. Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan).
  5. Syair Si Burung Pingai
  6. Syair Si Burung Pungguk
  7. Syair Sidang Fakir
  8. Syair Dagang
  9. Syair Perahu
   


Credit: Wiki

Saturday, 13 December 2014

Hukum ucap selamat perayaan bukan Islam

HIDUP dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia).

Satu persoalan yang sering dibahaskan adalah hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam. Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini.                  

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sudah sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu.

Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (ali-’Imran: 19)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam.

Muzakarah memutuskan bahawa:
1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain.

Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka.

Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa: 86).

Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka.

Ini termasuk memakai pakaian Santa Claus atau memakai topi Santa.Merungkai isu ini, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menegaskan, topi itu melambangkan agama Kristian dan pemakaiannya dengan sengaja boleh merosakkan akidah umat Islam kerana berniat mengagungkan agama itu.

Oleh itu, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.

Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn ‘Abbas RA menyebut: Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).



Credit: MOHD. RADZI MOHD. ZIN