Manusia akan mengalami himpitan kubur selepas dimasukkan ke liang lahad. - Gambar hiasan
Huzaifah berkata, Rasulullah SAW pernah mendatangi satu jenazah. Ketika sampai di kubur, Baginda duduk di tepi liang kubur dan Rasulullah SAW berkali-kali memandang ke dalam kubur itu lalu bersabda: "Di dalam kubur ini seorang Mukmin dihimpit dengan himpitan kubur yang menghancurkan anggota tubuhnya.
Sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka. Satu perkara yang perlu anda ingat dalam hidup kita, apabila tiba saat liang lahad terbuka dan jasad kita diturunkan ke dalamnya, satu perkara yang perlu kamu ingat ialah di mana akan berlakunya himpitan kubur."
Ada perbezaan antara himpitan kubur dan azab kubur. Himpitan kubur berlaku pada saat awal sebelum liang lahad ditutup dan hampir semua manusia akan melaluinya kecuali Nabi serta Rasul.
Riwayat Aisyah menyebut, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kubur itu memiliki himpitan. Kubur ini, jika mayat itu turun berlaku himpitan. Lalu jika ada orang yang terselamat daripada himpitan kubur ini, nescaya Saad bin Muadz orang pertama yang terlepas daripada himpitan kubur."
Saad bin Muadz adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang ketika gugur syahid, bergegar Arasy Allah SWT, malah malaikat juga turut menangis.
Faktor alami himpitan kubur
Berdasarkan perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi program Mau'izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia mengalami himpitan kubur.
Menurut Rasulullah SAW, perkara pertama menyebabkan berlakunya himpitan kubur kerana cuai terhadap air kencing yang tidak dicuci dengan bersih dan ada kalanya terkena kepada pakaian yang kemudiannya dipakai untuk mengerjakan solat.
Menerusi hadis Rasulullah SAW yang dirujuk dalam kitab karangan Imam Jalaludin al-Suyuti, ketika Saad bin Muadz dikebumikan, Rasulullah SAW bertasbih diikuti sahabat Baginda.
Apabila sahabat diam, Rasulullah SAW bertakbir, dituruti oleh sahabat. Kemudian sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa Baginda bertasbih dan bertakbir. Baginda menjawab, kubur orang salih itu telah dihimpit lalu Allah melapangkannya kembali.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, selepas Rasulullah SAW mengebumikan Saad bin Muadz, Baginda SAW berucap di tepi kuburnya: "Jika ada di antara kamu yang boleh selamat daripada himpitan kubur, nescaya Saad bin Muadz lah yang pertama terlepas daripada himpitan kubur."
Himpitan kubur seperti disebut oleh Muhammad al-Taimi yang diriwayatkan Ibnu Abi al-Dunya, adalah seumpama himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang itu diciptakan atau seperti seorang ibu yang memeluk anaknya. Lalu anak itu merungkaikan pelukan itu dan menghilang. Setelah itu kembali semula kepada ibunya dan dipeluk semula seperti pelukan orang tua kepada anaknya.
Himpitan dialami berbeza antara satu sama lain berdasarkan amalan. Oleh itu, sesiapa yang taat kepada Allah SWT akan mengalami himpitan penuh kelembutan dan kasih sayang tetapi mereka hidup dalam kemaksiatan, akan dihimpit dengan himpitan keras kerana bencinya Allah SWT kepadanya.
Terdapat perbezaan himpitan kubur yang dialami antara orang Mukmin dan orang kafir. Abu al-Qassim al-Said mengatakan, tidak ada seorang pun sama ada baik atau jahat yang akan terselamat daripada himpitan kubur.
Bagi orang kafir, himpitan kubur berlaku buat selama-lamanya, bermula selepas dimasukkan ke dalam kubur sehinggalah tiba hari akhirat. Bagi orang Mukmin, himpitan kubur hanya dialami pada waktu mula-mula dimasukkan kemudian akan menjadi lapang selepas selesai urusan pengebumiannya.
Faktor kedua yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur ialah akibat melakukan kesalahan lalu membiarkan kesalahan itu berpanjangan dan menangguhkan waktu untuk bertaubat. Seterusnya, kurangnya rasa bersyukur kepada Allah SWT adalah faktor ketiga berlaku himpitan kubur.
Jarang sekali kita menyebut Alhamdulillah seperti sejurus selepas bangun daripada tidur atau memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan hidup yang baik.
Gerakan pada kedua-dua kaki
Setelah jasad diturunkan ke liang lahad, terasa gerakan pada kedua-dua kaki. Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Walid bin Amru bin Muadz, katanya, "Pernah sampai kepadanya satu berita yang menyebut bahawa hal pertama akan dirasakan oleh mayat ketika turun ke liang kubur itu, dirasakan gerakan kedua-dua kakinya. Lalu dia bertanya, siapa kamu? Kemudian dia menjawab, aku amalanmu. Lalu amal itu akan memukul paha kirinya, sambil berkata: Aku adalah amal perbuatan kamu ketika hidup di dunia dahulu. Kemudian apabila jasad itu bertanya di mana keluarga serta apa yang diberikan Allah kepadanya sebelum ini, lalu amal itu berkata: Kamu telah meninggalkan keluarga dan segala kurniaan Allah, tiada apa yang mengikut kamu kecuali aku. Mayat itu seterusnya menyebut: Seandainya aku mengetahui hanya amal yang akan mengikutku, maka aku akan mengutamakan kamu (amal) di atas dunia berbanding keluargaku dan segala yang diberikan kepadaku, tetapi sebaliknya aku sibuk dengan semua itu sehingga aku tertinggal amalan yang sepatutnya aku kerjakan."
Kemudian kita akan diperlihatkan malaikat Mungkar dan Nakir yang berwarna hitam kebiru-biruan berada hujung kaki untuk memulakan pertanyaan soalan azab kubur. Saat diperhatikan malaikat itu, datang perasaan amat takut kepada Allah SWT kerana ketika di dunia kita hanya takut kepada perkara selain-Nya.
Credit: Fairuz Nordin/IKIM
No comments:
Post a Comment