Hijrah adalah untuk menegakkan agama Allah SWT. Penghijrahan sebahagian sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (Nabi diutus menjadi Rasul) adalah perintis jalan kepada hijrah lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW.
Menelusuri lipatan sejarah, peristiwa itu penting kerana ekoran daripadanya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah. Ustaz Meeftah Anuar menerusi Islam Itu Indah menerangkan rangka hijrah Rasulullah penuh dengan strategi dan melalui proses pemikiran yang benar-benar tuntas.
Melalui peristiwa itu terbentuk tiga skop utama iaitu skop insan, negara dan peradaban. Membina skop insan sedikit sebanyak berjaya disemai oleh Baginda di Makkah yang melahirkan insan hebat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddik, Saidina Umar al-Khattab, Othman ibn Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Mus'ab bin Umair dan banyak lagi.
Namun, terdapat banyak halangan perlu ditempuh Rasulullah SAW apabila ekonomi diboikot, pengikut Baginda tidak dapat menjual mahupun membeli keperluan harian. Rasulullah SAW serta sahabat juga menerima halangan dari sudut politik.
Pembesar Quraisy menindas Rasulullah SAW serta pengikut Baginda menyebabkan usaha membina sebuah daulah Islamiah seakan terbantut di bumi Makkah.
Maka, Rasulullah SAW memerlukan bumi subur yang sedia menerima benih pertumbuhan sebuah negara. Justeru, ia membawa kepada perancangan membina negara Islam. Sebelum memilih Yathrib (Madinah) sebagai destinasi tujuan, Rasulullah SAW terlebih dahulu berikhtiar memilih dan merisik beberapa tempat.
Sesungguhnya tiada sesuatu yang indah diperoleh dengan mudah seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)
Tak mudah putus asa
Awalnya, Rasulullah SAW mengutus sahabat ke Habsyah tetapi hajat kedatangan Baginda ditolak. Percubaan juga dibuat di Taif yang menyaksikan bukan sekadar tidak diterima malah Rasulullah SAW dihalau dan dibaling dengan batu sehingga berdarah gigi Baginda.
Dalam keadaan Rasulullah SAW dihujani ujian itu, Allah SWT menggerakkan hati beberapa penduduk Yathrib untuk datang menemui Baginda. Tepat seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah SWT jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Surah al-Qasas, ayat 56).
Hidayah itu milik Allah SWT maka dengan kuasa-Nya, hati beberapa penduduk Yathrib terbuka untuk mencari Rasulullah SAW.
Sheikh Saiful Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Raheeq al-Makhtummenyatakan, enam orang Yathrib datang bertemu Baginda SAW pada musim haji tahun 11 kenabian. Kemudian kembali ke Yathrib dalam keadaan masih tidak beriman.
Sepanjang bersama dengan Nabi mereka banyak memerhati. Namun perancangan Allah SWT itu indah. Mereka datang dan melihat peribadi Rasulullah SAW dan membawa pulang kisah Baginda yang hebat akhlak serta kepemimpinannya menepati ciri tercatat dalam kitab sebelum datangnya al-Quran.
Rentetan daripada itu, pada Julai 621 Masihi, berlaku Bai'ah Aqabah pertama sejurus kedatangan 12 penduduk Yathrib ke Makkah yang kemudian memeluk Islam. Menerusi Bai'ah Aqabah itu secara tidak langsung menjayakan hasrat untuk menubuhkan daulah Islamiah.
Isi baiah itu mengandungi enam perkara. Pertama, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apapun. Tidak boleh mencuri dan mengambil hak orang lain, seterusnya mereka tidak dibenarkan berzina. Mereka ditegah membunuh anak lelaki, tidak boleh mengumpat dan tidak boleh memfitnah.
Ikrar sebar Islam
Bagi memastikan ikrar itu berjalan lancar, Rasulullah mengutuskan tokoh duta ke sana dalam kalangan orang muda yang paling awal memeluk Islam iaitu Mus'ab bin Umair. Semasa di Yathrib, Mus'ab bin Umair dengan beberapa sahabat menjalankan amanah bersungguh-sungguh hingga berjaya mengajak masyarakat Yathrib mengenal Islam dan menyebarkan cabang keimanan.
Rasulullah SAW menghantar Mus'ab bin Umair sebagai pembuka jalan serta pemudah cara sebelum Rasulullah SAW ke sana sehingga berlakunya Bai'ah Aqabah kedua. Mus'ab bin Umair pulang ke Makkah dengan penuh kerinduan untuk bertemu Baginda SAW.
Pada musim haji tahun ke-12 kenabian seramai 75 ahli rombongan dari Yathrib datang menyatakan kesanggupan untuk menerima Baginda SAW sebagai pemimpin mereka.
Daripada Jabir: "Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berbai'ah dengan tuan hamba? Jawab Rasulullah: Kamu berbai'ah untuk mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar (taat) atau saat malas. Berinfaq ketika susah atau sakit dan senang. Menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan kecaman orang. Menyokong daku setibanya daku dalam kalangan kamu nanti, mempertahankan daku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan adalah syurga Allah di akhirat nanti." (Riwayat Imam Ahmad)
Hasil daripada baiah kedua itu, bermulalah perancangan yang membawa kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Sahabat mula bergerak dalam keadaan penuh risiko ditambah dengan cabaran cuaca padang pasir yang panas terik.
Penghijrahan penuh strategi itu membabitkan seluruh golongan tanpa mengira status, jantina, usia malah golongan musyrik (Abdullah bin Uraiqit) turut bersama dengan tugasan masing-masing yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.
Mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW, untuk menjadi lebih baik dan membina kehidupan dekat dengan Allah SWT perlu kepada perancangan. Sesungguhnya kegagalan sebenar adalah tatkala gagal untuk merancang.
Usah takut untuk berubah jika yakin perubahan itu membahagiakan. Cari jalan untuk menjadikan setiap individu bisa menyumbang sesuatu dalam penghijrahan diri mahupun organisasi kerana kemenangan Islam perlu kepada pembabitan semua walaupun individu yang belum beragama Islam.
Credit:Norhayati Paradi/IKIM
No comments:
Post a Comment