Google+ Followers

Thursday, 25 October 2012

PERISTIWA KORBAN


Nabi Ibrahim, Nabi Ismail sanggup berkorban kerana taat perintah Tuhan

Peristiwa korban mengajar kita supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. Ia juga membawa erti kesanggupan seseorang itu melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau hargai untuk memberi manfaat kepada orang lain. 

Sudah tentulah menjadi korban untuk mendapatkan cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan oleh setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa. Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, ada yang bertanya apa ganjaran berkorban?



Daripada Zaid bin Arqam, suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi) 






Hadis itu mengingatkan kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah, Dia berhak mengambil dan menganugerahkan apa saja. 

Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan kisah Nabi Ibrahim yang tidak pernah berputus asa kerana tidak dikurniakan zuriat hingga akhirnya Allah memakbulkan doa Baginda. Bagaimanapun, selepas itu Baginda diuji apabila diminta mengorbankan satu-satunya puteranya itu. 

Walaupun terlalu berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan dan mematuhi perintah Allah, perkara itu tetap dimaklumkan kepada Nabi Ismail dan Nabi Ismail tidak terkejut sebaliknya berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar.” 

Terdapat dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak telah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’ demi kepatuhan dan keredaannya terhadap perintah Allah SWT. 



Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu, ayahnya dan zaman keseronokan remaja, malah sanggup mengorbankan nyawa semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah serta perintah seorang ayah. 

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti beroleh jaminan besar. 

 
Disebutkan Rasulullah SAW dalam hadis: “Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: Sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Riwayat Muslim) 

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta kepada Allah tanpa ragu-ragu. 



Baginda mengetahui bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT. 

Menurut Imam al-Ghazali, ma'rifah (ilmu pengetahuan) akan mendahului cinta kerana cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya, 



sebab itu kita perlu rasional memilih cinta sementara, supaya tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila. Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap Muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia. Tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah. 

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu dan kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja. 

Credit: Nik Salida Suhaila USIM

Monday, 22 October 2012

Pemansuhan PMR...Usah bebankan guru, pelajar


TANYA PENDAPAT...pengenalan sistem penilaian baru memerlukan penerangan mendalam supaya pihak terbabit tidak akan menjadi mangsa keadaan. - Gambar hiasan
TANYA PENDAPAT...pengenalan sistem penilaian baru memerlukan penerangan mendalam supaya pihak terbabit tidak akan menjadi mangsa keadaan. - Gambar hiasan

PEMANSUHAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014 pasti memberi anjakan baru kepada sistem pendidikan dan peperiksaan negara yang kini merentasi era globalisasi.

Pemansuhan itu satu mekanisme baru bagi menyaingi proses pembelajaran peringkat global, sekali gus mencapai matlamat melahirkan pelajar berprofil tinggi.
   
  • FotoPELAKSANA...pastikan juga guru tidak terbeban kerana mereka akan menjadi mekanisme pelaksana. - Gambar hiasan
  • FotoBAGAIMANA CARANYA...persoalan bagaimana mahu mengklasifikasikan pencapaian pelajar sains menerusi sistem penilaian SBA juga memerlukan penyelesaian. - Gambar hiasan
  • FotoBELAJAR...menerusi PMR, pelajar boleh memasuki aliran pilihan seperti vokasional, justeru, pengenalan sistem penilaian baru, adakah peluang sama tetap ada atau sebaliknya? - Gambar hiasan
  • FotoGEMBIRA...pemansuhan PMR dijangka akan melonjakkan lagi profil pelajar ke tahap tertinggi dan tidak hanya berorientasikan akademik semata-mata. - Gambar hiasan
Bagaimanapun, ada pihak beranggapan pemansuhan itu akan gagal jika pengenalan baru menerusi Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) yang akan menggantikan PMR tidak mampu dilaksanakan dengan baik.

Persoalannya, mampukah SBA memberi impak lebih baik berbanding PMR?

Pengarah Makmal Penyelidikan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, pemansuhan atau pengenalan dua sistem penilaian tidak perlu dipertikaikan, namun kemampuan kedua-duanya memberi impak terbaik kepada sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, setiap sistem penilaian perlu mengambil kira pelbagai aspek dan wajar dilaksanakan apabila sudah bersedia kerana implikasinya besar kepada sekolah, pelajar, tenaga pelaksana, masyarakat dan masa depan.

“Persediaan penting kerana kita tidak mahu apabila sistem penilaian baru diperkenalkan, impaknya tersasar sehingga menjadi uji kaji semata-mata.

“Kita juga tidak mahu apabila sistem lama dimansuhkan, ada pihak tidak berpuas hati dan mula mempersoalkannya. Ini boleh menggugat proses dan keharmonian sistem pendidikan negara.

“Yang penting, sistem penilaian yang digunakan itu mampu memberi impak terbaik dan lebih baik daripada sistem sedia ada, barulah pemansuhan itu berbaloi,” katanya.

PMR yang diperkenalkan pada 1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) akan dimansuhkan pada 2014 bertujuan mengelak sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan.

Menerusi SBA, pihak sekolah sebagai pengendali tetapi masih di bawah pengawasan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi pelajar.

Katanya, tidak salah jika mahu memperkenalkan sistem penilaian baru, namun kajian mendalam perlu dilaksanakan bagi memastikan ia mencapai matlamat.

Selain itu, katanya, sistem diperkenalkan itu perlu telus dan tidak menambah beban fizikal dan mental guru sebagai mekanisme pelaksana.

“Sebab itu, sebelum melaksanakannya, kajian mendalam perlu dilakukan kerana tidak mahu timbul masalah yang akhirnya akan menjadikan pelajar, guru dan sekolah sebagai mangsa keadaan.

“Memang benar, banyak negara maju melaksanakannya, namun di negara kita masih banyak aspek perlu diambil kira. Contohnya, kesediaan guru sebagai mekanisme pelaksana juga penerangan jelas agar lebih memahami.

“Jika tidak, saya percaya pengenalan sistem penilaian baru itu pasti rumit, sekali gus menambah beban dan tekanan sedia ada. Yang menjadi mangsa ialah pelajar dan guru,” katanya mengakui tempoh kajian yang tinggal kira-kira dua tahun sebelum pelaksanaan sudah memadai.


“Panel yang bertanggungjawab dalam sistem ini perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak sama ada kementerian, sekolah, guru, pakar akademik atau badan bukan kerajaan.

“Pendapat mereka juga boleh membantu memberikan input terbaik selain penerangan kepada masyarakat khususnya ibu bapa yang selama ini sudah serasi dengan sistem penilaian lama,” katanya.

Antara persoalan yang perlu dititikberatkan ialah bagaimana mahu mengklasifikasikan kedudukan pelajar mengikut aliran ketika di tingkatan empat.

“Menerusi PMR, kita boleh mengklasifikasikan mereka berdasarkan keputusan.
Bagi yang cemerlang akan memasuki aliran sains, yang lain sastera atau vokasional.

“Apabila SBA diperkenalkan, apakah kriteria yang akan digunakan, bagaimanakah kita mampu menilai pelajar berkenaan?

“Semua ini memerlukan jawapan dan penyelesaian. Sebab itu penting perbincangan bersama untuk mengetahui persediaan dan tahap kemampuan kita memperkenalkan sistem penilaian baru,” katanya.


Mengakui pemansuhan PMR sebagai langkah berani melahirkan pelajar serba boleh dan kompeten selari kehendak semasa, selain mahu menyamai sistem penilaian diguna pakai di negara maju.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan secara drastik dan perlu melalui frasa demi frasa supaya sistem penilaian itu selari dengan standard yang ingin dicapai.


“Kita tidak boleh menafikan, bidang pendidikan juga perlu melalui anjakan perubahan supaya selari dengan negara maju, namun biarlah ia dilaksanakan secara konsisten, bukan tergesa-gesa.

“Mencapai standard seperti negara maju memerlukan masa, komitmen, perancangan dan persediaan. Bagaimanapun, usaha ini wajar diberi pujian dan sokongan kerana kita berani berubah.

“Bagaimanapun, ia juga perlu diseimbangkan dengan perubahan pemikiran. Jika mahu lakukan perubahan sistem, cara berfikir, menerima dan membuat tindakan juga perlu berubah.

“Andai sistem saja yang berubah tetapi pemikiran tetap di takuk lama, sistem ini akan gagal,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat diberi penerangan jelas supaya mereka lebih memahami dan bersedia menerima perubahan sistem penilaian lama kepada baru.


“Penerangan jelas kepada masyarakat pasti memberi kelegaan dan membuatkan mereka faham. Kita tidak mahu, hanya sebelah pihak saja beria-ia melakukannya tetapi yang lain tidak menyokong.

“Gunakan medium seperti media massa dan elektronik untuk menerangkan mengapa perubahan mesti dibuat terutama kepada masyarakat kelas sederhana dan bawah.

“Perubahan ini bakal memberi impak kepada semua, justeru, penting bagi pihak terbabit mengetahuinya dengan jelas supaya tidak akan timbul kekeliruan,” katanya.
Credit: Ruhaiza Rusmin

Berjalan kaki 5,700km untuk tunaikan haji..



SENAD HADZIC



SARAJEVO - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.
"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.
Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.
"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.
"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.

"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.
Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.
Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.
Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. Kosmo.



Sunday, 21 October 2012

Tanjung Piai...Paling Penghujung Benua Asia.

Tanjung Piai

Sekiranya hendak berlibur dihujung minggu dengan suasana santai dan alami marilah berkunjung ke Tanjung Piai, Pontian, Johor. Lokasi ini boleh dikunjungi dengan memandu sendiri atau menggunakan perkhidmatan teksi dari pekan Pontian yang jaraknya lebih kurang 36 KM.

Pelbagai kemudahan disediakan dan banyak pula perkara baru yang boleh kita pelajari disini. Banyak flora dan fauna yang boleh membangkitkan rasa ingin tahu. Dari siput laut hingga monyet dan kera serta pelbagai jenis burung tempatan dan burung-burung hijrah mudah dilihat disini.

Sumberjaya
  • Penghujung Benua Asia
  • Hutan simpan ke 1289 dalam senarai RAMSAR
  • 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar mudifals (tanah lembut dan berlumpur)
  • Tapak RAMSAR
  • Koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dan tanah lembap Sg. Pulai
  • kediaman hampir 20 spesis tumbuhan bakau sebenar, dan 9 spesis bakau berkaitan



Taman ini disambung oleh jaringan jejambat (boardwalk), yang membawa pengunjung ke tengah hutan bakau. Jejambat ini membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis tumbuhan berbeza yang membentuk hutan ini. Anda pasti berpeluang melihat beruk berekor panjang dan ikan tembakul melompat-lompat di sekitar dataran lumpur, skinks melongsor kayu hanyut dan seluruh organisma akuatik, masing-masing melakukan hal sendiri tanpa menyedari kehadiran pengunjung, dan masing-masing adalah saling bergantung antara satu sama lain. Sekiranya anda sabar dan peka, anda berkemungkinan dapat menyaksikan keajaiban tersendiri hutan ini.
Aktiviti
  • Perkhemahan
  • Memancing
  • Melihat kunang- kunang
  • Kepelbagaian sepsis tumbuhan dan haiwan





Tanjung Piai juga dikenali sebagai “bahagian paling selatan tanah besar Asia” (the southernmost Tip of Mainland Asia). Tanjung Piai dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang dikenali sebagai ‘Paku Piai’. Ia adalah sejenis tumbuhan bijirin yang boleh hidup di kawasan yang masin. Tanjung Piai juga adalah kediaman kepada kebanyakan spesis tumbuhan bakau dan haiwan. Tanah lembap (wetland) Taman Negeri Tanjung Piai (Ref:1289) yang dipilih pada 31st January 2003; 526ha; 01°16′N 103°31′E, adalah Taman Negeri yang mengandungi pantai bakau dan intertidal mudflats.
Menurut Wetlands International, di Semenanjung Malaysia terdapat 28.7% hutan paya bakau di Johor (27733ha) atau 4.7% daripada keseluruhan jumlah hutan bakau di Malaysia. Tanjung Piai meliputi kawasan bakau seluas 526 hektar dan lagi 400 hektar dataran berlumpur. Mudflats adalah tanah lembut dan berlumpur. Ia mengandungi kandungan garam yang tinggi dan kadar oksigen yang rendah (anaerobic). Walaubagaimanapun, ini dipengaruhi oleh keadaan yang panas dan kering.
Bakau yang digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau (MFR) di Johor adalah diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Bakau yang digazetkan sebagai Taman Negara dan tapak RAMSAR oleh Kerajaan Negeri Johor diuruskan oleh Johor National Parks Corporation (JNPC).
Ia membentuk satu-satunya koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dan tanah lembap Sungai Pulai. Terdapapt lima buah sungai merentasi Taman Negeri Tanjung Piai. Paya bakau di Taman Negeri ini adalah contoh biasa Rhizophora apiculata-Bruguiera cylindrical yang kebanyakannya terdapat hutan pantai. Dataran lumpur ini walaubagaimanapun adalah luas, terutama di bahagian selatan Tanjung Piai. Lima spesis burung air besar dan 7 spesis burung pantai dilihat mencari makan di mudflats ini. Paya bakau Tanjung Piai telah dipulihara sebelum ini untuk melindungi kawasan pantai, kerana kawasan-kawasan pedalaman berhampiran adalah tanah-tanah ladang yang digunakan untuk bercucuk tanam.
Batas-batasan dibina di sepanjang timur dan barat pantai Tanjung Piai untuk melindungi tanah kebun dari dibanjiri oleh air masin. Kehadiran ombak telah menghakis Tanjung Piai di mana tepian pantai bakau berkurangan kepada 50 meter di beberapa bahagian. Taman Negeri Tanjung Piai adalah kediaman kepada kira-kira 20 spesis tumbuhan bakau sebenar, dan juga kepada lagi 9 spesis bakau berkaitan, yang menunjukkan kadar kepelbagaian spesis yang tinggi.
Sejarah
Sebelum menjadi taman Negara, ia adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sg Pulai di bawah Jabatan Perhutanan PM. Johor National Parks Corporations ditubuhkan di bawah Akta JNPC 1989 untuk menguruskan taman-taman Negara di Johor. Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997. Kajiselidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun 2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai. Taman ini telah diisytiharkan tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Akhirnya, ia telah digazetkan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.
Mengapa Taman Negara Tanjung Piai adalah satu kepentingan?
  • Kediaman kepada pelbagai spesis tumbuhan bakau
  • Kediaman kepada pelbagai spesis binatang
  • Bakau melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan rebut, dan menghindari banjir
  • Bakau memberi perlindungan dan makanan kepada ikan, ketam, udang, dan binatang-binatang lain
  • Bakau dan mudflats adalah kawasan perhentian penting kepada burung-burung yang berhijrah untuk makan dan berehat
  • Bakau adalah kawasan pembiakan ikan dan binatang lain seperti udang, ketam dan pelbagai jenis mollusks

Bagaimana hendak ke sana.. Gunakanlah peta, atau pun carilah GPS bagi memudahkan perjalanan..



Papan Tanda.

Kunjungan ke taman bermula di Kompleks Pelawat. Dibuka pada 16 September 2001, bangunan ala tropika ini mempunyai Galeri Infomasi, pejabat taman dan surau. Tiket masuk boleh diperolehi di bahagian depan pintu masuk. Pengunjung juga boleh membuat pertanyaan mengenai lawatan berpandu dan kemudahan taman di sini. Pelawat yang ingin merasai suasana romantic juga boleh membuat lawatan di sini satu pengalaman romantic dengan bayaran masuk hanya RM5.

Jeti
Kebanyakan pengunjung taman ini memasuki taman melalui pintu masuk Sungai Belukang, yang bersebelahan dengan Resort Tanjung Piai. Kereta dan kenderaan lain boleh diletak di tempat letak kereta di bahagian luar sempadan taman. Selepas melepasi kaunter tiket, anda perlu berjalan sejauh 1.8km untuk sampai ke Kompleks Pelawat. Ia mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk sampai ke Kompleks Pengunjung sekiranya berjalan kaki, dan terdapat juga banyak gazebo untuk berehat sepanjang jalan. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan tram dan kereta buggy. Pengunjung yang ingin menaiki tram dikenakan bayaran RM3 untuk perjalan pergi dan balik Kompleks Pelawat. Pelawat juga boleh menggunakan perkhidmatan kereta buggy dengan harga yang sama.

Menara Pemerhati
Terdapat tiga menara pemerhati sepanjang jejambat, di mana anda boleh mendapatkan pemandangan menarik burung-burung yang menetap dan berhijrah mencari makanan pada dataran lumpur, atau bersarang dalam pokok-pokok. Sepasang teropong adalah amat berguna di sini. Masa terbaik untuk melihat burung adalah ketika air surut. Kemuncak burung datang berhijrah ke sini adalah antara bulan Ogos dan September.



Pelbagai perkara boleh dilakukan di Tanjung Piai seperti:
  • Berkhemah
  • Lawatan berpandu – Pendidikan Bakau
  • Menaiki bot
  • Menaiki tram
  • Aktiviti kebudayaan
  • Program berkumpulan – team building
  • Hari keluarga
  • Kem motivasi
  • Fotografi alam semulajadi
  • Perfileman
  • Lapangan berhalang
  • Pembersihan hutan bakau
  • Penanaman semula bakau
  • Melihat burung
  • Melihat kapal-kapal melintasi selat Melaka
  • Melihat matahari terbenam



Jetty Utama.


Terdapat juga beberapa perkara menarik di Tanjung Piai seperti:
  • Program homestay
  • Agropelancongan – kopi, ladang lebah, kelapa
  • Muzium bugis
  • Bermain gasing
  • Memancing dengan kelong
  • Jeti memancing yang menarik



Jetty.


Deretan chelet dan kediaman untuk disewa.


Pemandangan sekitar chellet.


Homestay


Jeti Siarkaki.


Homestay.


Kemudahan di Homestay.


Makan malam..


Papan tanda Homestay.


Ruang tamu Homestay.


Bilik Tidur.


Ruang tamu..


Homestay Cikgu Aziz..


Gambar kenangan.


Tiba untuk sekian kalinya.


Foto sebelum pulang..


Di Muzium..


Pemandu yang perlu dipandu pulang..


Minum sikit..



Saturday, 20 October 2012

Dakwah Menerusi Facebook Sesuai Mengikut Zaman


 

Peranan dakwah Islam melalui alam maya adalah antara cabang dakwah moden atau alternatif terkini yang memainkan peranan penting menggerakkan kempen dakwah Islam di seluruh dunia. 

Di sisi agama, cara terbaik untuk mengajak manusia mendekati syariat Islam adalah saranan menegur manusia dengan lemah-lembut, berhemah serta nasihat yang berhikmah dan bijaksana. Hal ini bertepatan dengan firman Allah

Taala: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125)


Pendekatan dakwah yang terbaik ialah menegur dan nasihat dengan berhikmah serta bijaksana. Pendekatan sama sesuai diguna pakai untuk berdakwah di alam maya seperti laman Facebook yang popular dalam masyarakat hari ini.



Tegur secara berhikmah


Oleh itu, pendekatan dakwah yang terbaik ialah menegur dan nasihat dengan berhikmah serta bijaksana. Pendekatan sama sesuai diguna pakai untuk berdakwah di alam maya seperti laman Facebook yang popular dalam masyarakat hari ini. 

Antara perkara yang boleh diterapkan dalam dakwah melalui laman Facebook ialah mengingatkan rakan muslimah menjaga aurat mereka supaya tidak menjadi tontonan bukan muhrim yang akhirnya menimbulkan fitnah kepada dirinya nanti.


Tuntutan menutup aurat dengan sempurna dijelaskan dalam firman Allah Taala: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Ahzab, ayat 59). 




Menggunakan kemudahan yang dapat mencapai lebih ramai kumpulan sasaran adalah pendekatan dakwah yang baik, lagipun mereka yang melayari laman Facebook terdiri daripada semua lapisan masyarakat.


Bina komuniti

Saranan kempen menutup aurat ini dijalankan dengan membina komuniti dalam talian melalui Facebook Groups dan Facebook Pages. Kedua-dua interaktif ini mempunyai kelebihannya tersendiri dalam berkongsi isi maklumat mengenai saranan menutup aurat. 

Contohnya, kumpulan ‘Aku Benci Dedah Aurat di Facebook’ akan berjaya dalam kempen mengajak orang ramai menutup aurat apabila menerima banyak penyertaan atau sokongan mereka yang sukakan kempen itu.

Ust Azhar Idrus giat berdakwah di Facebook

Kempen ini penting kerana adanya pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan atau cuba mengeksploitasi kemudahan laman sosial bertujuan menyebarluaskan gambar atau video lucah bagi pelbagai tujuan negatif atau kepentingan tertentu.

Kempen menutup aurat di laman sosial dapat mencegah pendedahan aurat daripada terus berleluasa di samping mengubah pemikiran anak muda pada masa kini yang menyalahgunakan Facebook untuk melayari gambar dan video tidak bermoral.

Kempen menutup aurat di Facebook adalah satu tuntutan dakwah moden yang dapat mengajak manusia untuk mendekati keindahan syariat agama Islam yang hakiki.

Credit: Ahmad Kamaludin Taib

HUJAN OH HUJAN...

DOA KETIKA HUJAN..






Allahumma soi yiban naa fi'a
Maksudnya : Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat. (HR Bukhari).
Dalam riwayat Ibnu Majah, Nabi saw. mengucapkan sebanyak dua atau tiga kali.