Saturday 6 October 2012

Pengajaran Bahasa Inggeris hangat diperbincang


KUALA LUMPUR – Isu pengajaran Bahasa Inggeris (BI) di sekolah turut menjadi topik hangat yang dibangkitkan pada sesi dialog Hari Terbuka Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Transformasi Bandar Pudu Sentral di sini hari ini.
Turut mendapat perhatian ialah isu kualiti khidmat perguruan yang rata-rata dibangkitkan oleh ibu bapa yang menyertai sesi selama kira-kira satu setengah jam bersama panel Kementerian Pendidikan Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Amin Senin yang merupakan salah seorang anggota panel berkata, antara isu yang dibincangkan melibatkan pengajaran BI ialah seperti masalah kaedah pengajaran dan kesesuaian sukatan mata pelajaran dalam meningkatkan mutu penguasaan BI di kalangan pelajar sekolah.
"Ia merupakan antara isu yang menjadi perhatian ibu bapa serta penjaga, dan dengan itu kita percaya penyelesaiannya memerlukan penelitian sempurna iaitu dengan meningkatkan mutu pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri bagi memastikan murid turut menguasai bahasa berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog berkenaan.
Dr Amin berkata, segala cadangan dan input dari sesi dialog itu akan dibawa ke peringkat perbincangan selanjutnya yang akhirnya akan dibawa ke jawatankuasa pemutus yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebelum dimasukkan ke dalam laporan.

No comments:

Post a Comment