Thursday, 25 October 2012

PERISTIWA KORBAN


Nabi Ibrahim, Nabi Ismail sanggup berkorban kerana taat perintah Tuhan

Peristiwa korban mengajar kita supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. Ia juga membawa erti kesanggupan seseorang itu melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau hargai untuk memberi manfaat kepada orang lain. 

Sudah tentulah menjadi korban untuk mendapatkan cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan oleh setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa. Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, ada yang bertanya apa ganjaran berkorban?



Daripada Zaid bin Arqam, suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi) 






Hadis itu mengingatkan kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah, Dia berhak mengambil dan menganugerahkan apa saja. 

Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan kisah Nabi Ibrahim yang tidak pernah berputus asa kerana tidak dikurniakan zuriat hingga akhirnya Allah memakbulkan doa Baginda. Bagaimanapun, selepas itu Baginda diuji apabila diminta mengorbankan satu-satunya puteranya itu. 

Walaupun terlalu berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan dan mematuhi perintah Allah, perkara itu tetap dimaklumkan kepada Nabi Ismail dan Nabi Ismail tidak terkejut sebaliknya berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar.” 

Terdapat dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak telah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’ demi kepatuhan dan keredaannya terhadap perintah Allah SWT. 



Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu, ayahnya dan zaman keseronokan remaja, malah sanggup mengorbankan nyawa semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah serta perintah seorang ayah. 

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti beroleh jaminan besar. 

 
Disebutkan Rasulullah SAW dalam hadis: “Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: Sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Riwayat Muslim) 

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta kepada Allah tanpa ragu-ragu. 



Baginda mengetahui bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT. 

Menurut Imam al-Ghazali, ma'rifah (ilmu pengetahuan) akan mendahului cinta kerana cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya, 



sebab itu kita perlu rasional memilih cinta sementara, supaya tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila. Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap Muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia. Tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah. 

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu dan kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja. 

Credit: Nik Salida Suhaila USIM

No comments:

Post a Comment