Monday 22 October 2012

Pemansuhan PMR...Usah bebankan guru, pelajar


TANYA PENDAPAT...pengenalan sistem penilaian baru memerlukan penerangan mendalam supaya pihak terbabit tidak akan menjadi mangsa keadaan. - Gambar hiasan
TANYA PENDAPAT...pengenalan sistem penilaian baru memerlukan penerangan mendalam supaya pihak terbabit tidak akan menjadi mangsa keadaan. - Gambar hiasan

PEMANSUHAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014 pasti memberi anjakan baru kepada sistem pendidikan dan peperiksaan negara yang kini merentasi era globalisasi.

Pemansuhan itu satu mekanisme baru bagi menyaingi proses pembelajaran peringkat global, sekali gus mencapai matlamat melahirkan pelajar berprofil tinggi.
   
  • FotoPELAKSANA...pastikan juga guru tidak terbeban kerana mereka akan menjadi mekanisme pelaksana. - Gambar hiasan
  • FotoBAGAIMANA CARANYA...persoalan bagaimana mahu mengklasifikasikan pencapaian pelajar sains menerusi sistem penilaian SBA juga memerlukan penyelesaian. - Gambar hiasan
  • FotoBELAJAR...menerusi PMR, pelajar boleh memasuki aliran pilihan seperti vokasional, justeru, pengenalan sistem penilaian baru, adakah peluang sama tetap ada atau sebaliknya? - Gambar hiasan
  • FotoGEMBIRA...pemansuhan PMR dijangka akan melonjakkan lagi profil pelajar ke tahap tertinggi dan tidak hanya berorientasikan akademik semata-mata. - Gambar hiasan
Bagaimanapun, ada pihak beranggapan pemansuhan itu akan gagal jika pengenalan baru menerusi Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) yang akan menggantikan PMR tidak mampu dilaksanakan dengan baik.

Persoalannya, mampukah SBA memberi impak lebih baik berbanding PMR?

Pengarah Makmal Penyelidikan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, pemansuhan atau pengenalan dua sistem penilaian tidak perlu dipertikaikan, namun kemampuan kedua-duanya memberi impak terbaik kepada sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, setiap sistem penilaian perlu mengambil kira pelbagai aspek dan wajar dilaksanakan apabila sudah bersedia kerana implikasinya besar kepada sekolah, pelajar, tenaga pelaksana, masyarakat dan masa depan.

“Persediaan penting kerana kita tidak mahu apabila sistem penilaian baru diperkenalkan, impaknya tersasar sehingga menjadi uji kaji semata-mata.

“Kita juga tidak mahu apabila sistem lama dimansuhkan, ada pihak tidak berpuas hati dan mula mempersoalkannya. Ini boleh menggugat proses dan keharmonian sistem pendidikan negara.

“Yang penting, sistem penilaian yang digunakan itu mampu memberi impak terbaik dan lebih baik daripada sistem sedia ada, barulah pemansuhan itu berbaloi,” katanya.

PMR yang diperkenalkan pada 1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) akan dimansuhkan pada 2014 bertujuan mengelak sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan.

Menerusi SBA, pihak sekolah sebagai pengendali tetapi masih di bawah pengawasan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi pelajar.

Katanya, tidak salah jika mahu memperkenalkan sistem penilaian baru, namun kajian mendalam perlu dilaksanakan bagi memastikan ia mencapai matlamat.

Selain itu, katanya, sistem diperkenalkan itu perlu telus dan tidak menambah beban fizikal dan mental guru sebagai mekanisme pelaksana.

“Sebab itu, sebelum melaksanakannya, kajian mendalam perlu dilakukan kerana tidak mahu timbul masalah yang akhirnya akan menjadikan pelajar, guru dan sekolah sebagai mangsa keadaan.

“Memang benar, banyak negara maju melaksanakannya, namun di negara kita masih banyak aspek perlu diambil kira. Contohnya, kesediaan guru sebagai mekanisme pelaksana juga penerangan jelas agar lebih memahami.

“Jika tidak, saya percaya pengenalan sistem penilaian baru itu pasti rumit, sekali gus menambah beban dan tekanan sedia ada. Yang menjadi mangsa ialah pelajar dan guru,” katanya mengakui tempoh kajian yang tinggal kira-kira dua tahun sebelum pelaksanaan sudah memadai.


“Panel yang bertanggungjawab dalam sistem ini perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak sama ada kementerian, sekolah, guru, pakar akademik atau badan bukan kerajaan.

“Pendapat mereka juga boleh membantu memberikan input terbaik selain penerangan kepada masyarakat khususnya ibu bapa yang selama ini sudah serasi dengan sistem penilaian lama,” katanya.

Antara persoalan yang perlu dititikberatkan ialah bagaimana mahu mengklasifikasikan kedudukan pelajar mengikut aliran ketika di tingkatan empat.

“Menerusi PMR, kita boleh mengklasifikasikan mereka berdasarkan keputusan.
Bagi yang cemerlang akan memasuki aliran sains, yang lain sastera atau vokasional.

“Apabila SBA diperkenalkan, apakah kriteria yang akan digunakan, bagaimanakah kita mampu menilai pelajar berkenaan?

“Semua ini memerlukan jawapan dan penyelesaian. Sebab itu penting perbincangan bersama untuk mengetahui persediaan dan tahap kemampuan kita memperkenalkan sistem penilaian baru,” katanya.


Mengakui pemansuhan PMR sebagai langkah berani melahirkan pelajar serba boleh dan kompeten selari kehendak semasa, selain mahu menyamai sistem penilaian diguna pakai di negara maju.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan secara drastik dan perlu melalui frasa demi frasa supaya sistem penilaian itu selari dengan standard yang ingin dicapai.


“Kita tidak boleh menafikan, bidang pendidikan juga perlu melalui anjakan perubahan supaya selari dengan negara maju, namun biarlah ia dilaksanakan secara konsisten, bukan tergesa-gesa.

“Mencapai standard seperti negara maju memerlukan masa, komitmen, perancangan dan persediaan. Bagaimanapun, usaha ini wajar diberi pujian dan sokongan kerana kita berani berubah.

“Bagaimanapun, ia juga perlu diseimbangkan dengan perubahan pemikiran. Jika mahu lakukan perubahan sistem, cara berfikir, menerima dan membuat tindakan juga perlu berubah.

“Andai sistem saja yang berubah tetapi pemikiran tetap di takuk lama, sistem ini akan gagal,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat diberi penerangan jelas supaya mereka lebih memahami dan bersedia menerima perubahan sistem penilaian lama kepada baru.


“Penerangan jelas kepada masyarakat pasti memberi kelegaan dan membuatkan mereka faham. Kita tidak mahu, hanya sebelah pihak saja beria-ia melakukannya tetapi yang lain tidak menyokong.

“Gunakan medium seperti media massa dan elektronik untuk menerangkan mengapa perubahan mesti dibuat terutama kepada masyarakat kelas sederhana dan bawah.

“Perubahan ini bakal memberi impak kepada semua, justeru, penting bagi pihak terbabit mengetahuinya dengan jelas supaya tidak akan timbul kekeliruan,” katanya.
Credit: Ruhaiza Rusmin

No comments:

Post a Comment