Saturday 6 October 2012

Terang Hati Mereka...




KUALA LUMPUR: “Saya buta tapi hati sentiasa terang untuk menuntut ilmu,” kata pelajar cemerlang orang
kurang upaya (OKU), Anis Nabilah Wahab, 20, yang menerima Anugerah Cemerlang Pelajar OKU
Penglihatan Peringkat Kebangsaan Sesi 2011, di sini, semalam.

Anis Nabilah berkata, kecacatan sejak lahir itu tidak pernah dianggap menghalang cita-citanya untuk
melanjutkan pelajaran ke universiti sekalipun menyedari banyak kesukaran perlu ditempuhi.


“Sebagai orang buta, belajar bukan sesuatu yang mudah, saya perlukan seseorang untuk
membacakan buku untuk saya kalau buku berkenaan tiada dalam tulisan Braille.


“Apa pun, saya percaya kalau ada kemahuan, sentiasa ada jalan. Saya memasang impian menjadi
pensyarah satu hari nanti dan membantu golongan senasib mencapai cita-cita mereka,” kata pelajar
dari Sungkai, Perak, itu.



Anis yang kini menuntut dalam jurusan Sosio Budaya Melayu di Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya, mendapat keputusan cemerlang semester pertamanya, baru-baru ini dengan
 keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.41.

Ketika majlis anugerah itu, selain Anis, dua lagi pelajar, S Kathiroly, 16 dari Kapar, Selangor, dan
Afif Haziq Abdul Rasid, 13, dari Kemaman, Terengganu, turut menerima anugerah masing-masing.




Kathiroly dipilih pelajar cemerlang bagi kategori Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala
Afif Haziq menerima anugerah cemerlang bagi kategori Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (POCM),
Mohammed Nazari Othman bersama Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan POCM, Dr Wong Huey Siew.

No comments:

Post a Comment