Wednesday, 17 October 2012

PMR Oh PMR!!!


SMA AL-QURAN WADDIN

TERKENANG zaman ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang kini dikenali dengan nama Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1979, di Sekolah Menengah Arab Al Quran Waddin, Majidee, Johor Bahru. Maklumlah Selasa semalam berakhirnya kertas akhir buat pelajar PMR sesi 2012.



Pagi sebelum menduduki peperiksaan itu, punyalah semangat datang ke sekolah. Tepat pukul 8 pagi, saya sudah terpacak dekat sekolah dan terus mencari rakan sebaya untuk menemani bersama menanti debaran kertas peperiksaan pertama hari itu.

Pengetua saya Ust Hj. Marzuki Abd. Salam memang banyak memberi semangat dan kata-kata perangsang. Maklumhlah saya antara sepuluh orang pelajar tajaan Yayasan Sabah yang merupakan bench mark untuk pencapaian sekolah waktu itu.


Seorang demi seorang teman menegur sambil mengucapkan kata-kata semangat dan tidak kurang juga ada yang mengejek nakal, "terujanya nak ambik periksa".

Walau bagaimanapun, zaman Tingkatan Tiga merupakan zaman paling seronok (huha-huha). Sebulan sebelum tarikh peperiksaan menghampiri, masih sibuk dengan dunia remaja. Sudahnya keputusan pun entah ke mana.

Mujurlah ada satu A, enam B dan satu C, arghh! Menyesal pun tak guna. Apa yang A,B dan C? Bahasa Inggeris, A dan B, Bahasa Malaysia, Sains, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup manakala C untuk subjek Matematik.



Ingatkan mata pelajaran paling saya gemari (Sejarah, Sains, Geografi dan Kemahiran Hidup) boleh dapat A tapi sayang hanya mampu dapat B.

Masa hendak mengambil keputusan pula memang menakutkan dan boleh buat jantung berhenti berdegup.
Sehingga hari ini, saya masih ingat tangisan seorang rakan kami sebaik sahaja membuka slip keputusan dan tak kurang juga yang histeria.


Itulah secebis kenangan semasa mengambil keputusan yang masih kuat terpahat dalam minda. 

Oh ya, sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya buat pelajar 2012 dan berharap mendapat keputusan cemerlang.

Yang kurang cemerlang, jangan risau kerana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menanti anda.

No comments:

Post a Comment