Wednesday, 10 October 2012

Ilmu angkat martabat diri


Hidup Biarlah Berilmu...

HIDUP ini memerlukan kita terus belajar bagi mencapai kehidupan yang sejahtera dan bahagia.

Kegigihan dan minat yang mendalam dalam apa juga bidang ilmu di dunia ini akan membuahkan kejayaan dan kesejahteraan kepada kehidupan seseorang. Usaha menuntut ilmu mestilah dilakukan sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad.

Dalam kehidupan di dunia ini kita amat dituntut mempelajari pelbagai ilmu untuk memakmurkan dunia. Kita juga dituntut mengikhlaskan niat menuntut ilmu hanya kerana Allah SWT. Ilmu yang dipelajari di sekolah dan juga universiti mestilah dapat memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Lantaran itu, melalui pemantapan ilmu, seseorang itu akan dapat manfaat ilmu mendahului amal, kerana ilmu adalah pokok (asas) dan syarat amal.

Melalui ilmu dan amal seseorang itu dengan niat baik dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negaranya. Oleh itu, pemahaman tentang fungsi ilmu itu sendiri mestilah difahami dengan seluas mungkin.

Justeru, Ali bin Abu Talib menegaskan, banyak ilmu banyak kawan, banyak harta banyak lawan. Seterusnya, Imam Abu Hanifah pernah berkata, orang yang mencari ilmu pengetahuan hanya bagi kebaikan dunia sahaja, ilmu pengetahuan itu hanya dapat dimanfaatkan bagi kebaikan dunia sahaja, ilmu pengetahuannya itu tidaklah berakar di hatinya.

Penyair Inggeris, William Shakespeare pernah berkata: “Ilmu pengetahuan itu yang membawa kita terbang ke angkasa.” Manakala menurut Wedatama: “Ilmu itu hanya dapat dicapai dengan perlakuan, dimulai dengan tekad yang bulat dan diusahakan terus menerus dengan membatasi hawa nafsu.” Seterusnya menurut John Locke: “Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan, pertama, kita mengetahui pokok masalah, kedua, kita mengetahui di mana kita dapat menemui maklumat berkaitan hal itu.”

Oleh itu, Imam Al-Ghazali menegaskan ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, sinar penglihatan daripada kezaliman dan tenaga badan daripada kelemahan. Dengan ilmu, hamba Allah itu sampai ke tempat orang baik-baik dan darjat yang tinggi yang membezakan antara manusia dan haiwan.

Islam amat memuliakan ilmu pengetahuan dan menganjurkan umatnya supaya menjadi orang yang berilmu pengetahuan.


Dalam hal ini, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam sama ada tua atau muda. Mempelajari ilmu pengetahuan sepanjang hayat amat digalakkan untuk mengangkat ketinggian peradaban umat pada masa akan datang.

Lantaran itu, proses pembelajaran yang dimaksudkan bukan sahaja menuntut ilmu di sekolah dan di universiti malah belajar melalui pembacaan, ceramah, bengkel dan apa sahaja cara yang dapat membantu meningkatkan ilmu.

Usia yang dianugerahkan oleh Allah akan terisi dengan ilmu yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat.

Melalui budaya ilmu dan pembelajaran setiap seseorang itu dapat menghargai setiap waktu yang terluang. Pembelajaran bukan sahaja dalam bidang ilmu khusus tetapi meliputi agama, bahasa, sastera, budaya, sejarah, ekonomi, pertanian, sains dan teknologi dan sebagainya. Hal ini penting bagi menghargai apa sahaja yang wujud di sekitar kita.

Selain itu, apa yang penting melalui penghayatan ilmu seseorang itu dapat belajar menjadi kreatif dan inovatif, dapat menguasai budaya cipta, menghargai nikmat hidup dan anugerah-Nya pada manusia di dunia ini. Semuanya ini amat penting bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Golongan pelajar dan remaja patut menanamkan semangat dalam hati dan jiwa mereka iaitu semangat belajar sepanjang hayat. Justeru, kita tidak akan membuang masa tanpa membuat sesuatu apa yang berfaedah, terbabit dalam gejala tidak sihat atau apa sahaja aktiviti yang tidak bermanfaat pada diri keluarga dan masyarakat.

Oleh itu, ilmu pengetahuan dan kemahiran amat penting untuk membawa kebaikan bagi masyarakat dan negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang bersifat sains dan progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka iaitu masa depan yang cemerlang.


Selain sebagai sebuah masyarakat yang bukan saja memanfaatkan teknologi terkini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan ke arah negara maju.

Kepentingan ilmu tidak terbatas, melalui pembangunan akal budi, pembangunan fizikal dan pembangunan sosial dapat diseimbangkan. Kita disarankan menjadikan negara maju mengikut ‘acuan sendiri’ iaitu sebuah negara yang bersatu padu, maju dalam segala bidang dengan budaya kita sendiri.

Justeru, setiap rakyat negara ini bolehlah mengambil contoh negara maju lain seperti Jepun dan Korea, di mana rakyatnya sentiasa meningkatkan diri dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Kemajuan rakyat di negara tersebut banyak berasaskan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi.

Untuk pembinaan tamadun Malaysia yang maju dan makmur usaha membina bangsa yang bersatu padu patutlah digerakkan dari sekarang. Kita sebagai rakyat negara ini, tidak seharusnya terbuai dengan nostalgia kejayaan masa lalu dan pertelagahan politik yang berlarutan. Kecemerlangan masa depan harus diteroka dan dicapai melalui kecemerlangan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Masa dan tenaga yang terbuang seharusnya ditumpukan untuk mempelajari pelbagai ilmu, meningkatkan kemahiran, membina masyarakat yang bersatu-padu dan berusaha menimba ilmu ke arah pembentukan peradaban bangsa. Ini adalah hasrat dan cita-cita semua rakyat negara ini.

Pengisian utama mestilah ditumpukan terhadap cabaran pembangunan ekonomi serta sains dan teknologi.

Hal ini hanya dapat dilakukan melalui perpaduan yang utuh, masyarakat yang berdaya saing yang hanya menumpukan ke arah cita-cita mewujudkan sebuah negara maju berpendapatan tinggi.


Lantaran itu, kerajaan melalui Bajet 2013 meluluskan RM1 bilion bagi tabung penyelenggaraan sekolah, RM2.6 bilion bagi geran per kapita bantuan makanan, asrama, buku teks dan bantuan bayaran yuran persekolahan.

Manakala melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 meluluskan RM500 juta bagi program meningkatkan kemahiran guru Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris dan Matematik dan Penubuhan Education Delivery Unit (EDU).

Selain itu kerajaan juga meluluskan menyediakan PTPTN dengan diskaun 20 peratus bagi penyelesaian sekali gus sehingga 30 September 2013. Diskaun 10 peratus setahun bagi bayaran pinjaman secara konsisten.

Bantuan persekolahan RM100 kepada setiap murid sekolah Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Skim Insurans Murid sekolah, dan baucar Buku 1Malaysia kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan Tingkatan 6.

Tugas setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka mestilah melakukan proses pembelajaran sepanjang hayat bagi mewujudkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Pembangunan insan dan juga pembangunan modal insan hanya dapat dilakukan melalui ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi.

Kesimpulannya, untuk mencapai kualiti hidup yang sejahtera setiap daripada kita mestilah berilmu.

Proses pembelajaran sepanjang hayat adalah jawapan yang paling tepat yang seharusnya dilakukan oleh generasi sekarang dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang remeh-temeh yang boleh mengganggu tumpuan dan fokus ke arah pencapaian akademik yang lebih tinggi dan juga pembelajaran sepanjang hayat.

 Credit to: Dr Aminudin Mansor PhD Persuratan Melayu


No comments:

Post a Comment