PERSOALAN tentang boleh atau tidak orang Muslim makan makanan yang dimasak oleh seseorang yang bukan Muslim sering menjadi tanda tanya dan kekeliruan dalam masyarakat sehingga kini.
Hal ini kerana, kesucian makanan amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam memandangkan ia memberi implikasi bukan sahaja kepada ibadah yang dilaksanakan malah berakar umbi menjadi darah daging.
Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman tampil memberi pencerahan melalui hantaran di laman Instagramnya baru-baru ini.
Kata PU Azman, secara asasnya kehalalan suatu makanan tidak terletak pada siapa yang memasaknya tetapi kandungan dan bahan yang dimasak.
Sebagai contoh jelasnya, jika ayam itu disembelih cara Islam dan dimasak oleh orang bukan Islam maka ia tetap halal.
Sebaliknya, kalau kambing itu disembelih bukan dengan cara Islam dan dimasak oleh orang Islam maka ia tetap haram untuk dimakan.
“Dalam hidup kita betapa banyak makanan moden diproses di kilang yang diuruskan oleh bukan Islam. Tentang isu warak,ya. Itu pendirian terbaik untuk memilih makanan yang disediakan oleh Muslim jika terdapat keraguan. Tetapi pastikan makanan itu sendiri juga halal.
“Dalam Islam ada satu kaedah iaitu tidak wajib kita persoalkan perkara yang tidak dilihat secara terperinci kecuali apabila telah jelas haramnya,” katanya seperti dipetik dari Instagram.
Walau bagaimanapun tambahnya, jika keraguan atau sifat was-was itu tinggi, maka terserah kepada individu untuk membuat pilihan tanpa mengecam pilihan orang lain yang bersifat yakin.
Tegasnya, Nabi Muhammad sendiri pernah makan daging yang diberikan oleh seorang wanita Yahudi.
Credit: Utusan
No comments:
Post a Comment