Sumbangan haiwan dalam kehidupan manusia terlalu banyak
HUBUNGAN manusia dengan haiwan sudah lama wujud. Jalinan yang wujud sejak zaman Nabi Adam a.s itu dapat dilihat dengan jelas dalam setiap aspek kehidupan ini. Realitinya, hubungan itu telah memberi banyak manfaat kepada manusia. Cuma, apa yang mungkin dinikmati oleh haiwan adalah mereka dihargai atau dibelai oleh manusia.
Selain sebagai sumber makanan, haiwan akan membekalkan bahan untuk pakaian, perlindungan, perhiasan, pertanian, pengangkutan, ubat-ubatan, farmaseutikal dan sebagainya.
Ada juga haiwan yang digunakan sebagai simbol pengenalan identiti sesebuah masyarakat, komuniti, organisasi atau persatuan.
Namun, apa yang menarik adalah hubungan itu ialah ia telah menjadikan kehidupan di alam ini lebih seimbang dan lestari. Ia juga mampu memastikan spesies manusia dan haiwan dapat terus wujud tanpa sebarang masalah.
Hubungan pertama antara manusia dan haiwan ketika berlakunya konflik pertama manusia di atas muka bumi ini iaitu antara Qabil dan Habil. Peristiwa itu membabitkan cara membunuh dan menanam manusia yang sudah mati.
KAABAH selamat dan teguh hingga hari ini dengan bantuan burung Ababil. - gambar hiasan -
KAABAH selamat dan teguh hingga hari ini dengan bantuan burung Ababil. - gambar hiasan -
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 30 hingga 31 yang bermaksud: Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia daripada golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, Aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?. Kerana itu menjadilah ia daripada golongan orang-orang yang menyesal.
Bertitik-tolak daripada kisah di atas itu, bagi dua saintis tersohor tanah air, Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah dan Dr. Zulkifli Zainal Abidin, ikatan itu membuktikan bahawa tidak ada makhluk atas muka bumi ini boleh hidup dengan sendiri.
Wujud keseimbangan
Malah, firman Allah SWT dalam surah al-A’la ayat satu hingga tiga yang bermaksud: Bertasbihlah menyucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (daripada segala sifat-sifat kekurangan), Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya).
Ternyata surah di atas menunjukkan wujudnya keseimbangan yang dimainkan oleh haiwan dan juga manusia dalam memastikan bumi ini bergerak mengikut apa yang dikehendaki-Nya.
“Oleh itu, bukan hanya manusia yang tidak berdiri dengan sendiri, malah segala makhluk ciptaan Allah SWT juga tidak berdiri dengan sendirinya,” kata mereka ketika ditemui di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.
Hasil keistimewaan itulah telah menggerakkan dua orang saintis itu untuk mengenal pasti apakah haiwan yang telah mengubah kehidupan manusia selama ini.
Bagi memastikan penemuan itu dibaca oleh masyarakat umum, mereka salurkannya dalam sebuah buku, Keajaiban Haiwan Yang Mengubah Dunia (tebitan PTS Millennia Sdn. Bhd.).
Mereka mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Ini kerana, ia satu tugas yang bukan hanya untuk memastikan faktanya tidak lari, malah ia boleh lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Struktur sisik ikan Jerung dijadikan inspirasi untuk cipta baju renang yang mampu mengurangkan peratus geseran air sebanyak empat peratus.
Struktur sisik ikan Jerung dijadikan inspirasi untuk cipta baju renang yang mampu mengurangkan peratus geseran air sebanyak empat peratus.
Ini kerana pendedahan itu membuktikan kelebihan yang dimiliki oleh manusia dan haiwan tersebut tidak terjadi dengan sendiri kerana ia memerlukan pencipta untuk menciptakannya.
Dr. Zulkifli, pakar dalam bidang robotik, sendiri mengakui tentang kekaguman beliau terhadap ‘teknologi’ yang dimiliki oleh haiwan dan kini banyak teknologi itu telah diguna pakai secara meluas oleh manusia.
Dr. Zulkifli, pakar dalam bidang robotik, sendiri mengakui tentang kekaguman beliau terhadap ‘teknologi’ yang dimiliki oleh haiwan dan kini banyak teknologi itu telah diguna pakai secara meluas oleh manusia.
Sains dan Islam seiring
SEMENTARA itu, bagi Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah, pendedahan sedemikian akan membolehkan seluruh umat Islam menemui satu fakta yang sememangnya selari dengan akidah dan tauhid.
Malah, beliau juga percaya penemuan itu akan menyangkal dakwaan bahawa ilmu sains dan agama adalah dua bidang yang tidak boleh disatukan.
“Kita boleh menyangkal dakwaan teori evolusi oleh Charles Darwin kerana haiwan hidup beribu tahun lalu dan sehingga kini hidupnya tidak pernah berubah,” katanya.
Namun apa yang penting adalah melalui kajian sedemikian, kita akan tahu kelebihan yang dimiliki oleh haiwan terbabit.
Walaupun manusia tidak ada kelebihan itu tetapi kita dikurniakan akal oleh Allah SWT untuk membolehkan kita meneliti dan mengaplikasikan kelebihan itu untuk memudahkan lagi kehidupan manusia.
“Memang kita tidak ada kelebihan itu tetapi kita ada akal dan Allah SWT mengurniakan akal fikiran bukan semata-mata untuk memikirkannya tetapi lebih bertakwa kepada-Nya,” katanya.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat ke-190 hingga ke-191 yang bermaksud: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, Maha Suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.
Jelas Dr. Umi Kalthum, usaha mereka berdua itu bukan sekadar menambah pengetahuan sains dalam kalangan masyarakat umum tetapi menarik minat generasi muda Islam kepada bidang sains.
Ini kerana, di zaman kegemilangan Islam, para saintis Islam berada di kelas mereka tersendiri dan sukar dicabar oleh mana-mana saintis Barat pada masa itu.
“Tetapi hari ini, kita kena rujuk kepada mereka tetapi kami percaya bila kajian sains itu dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT, ia akan beri semangat untuk kita bawa satu mesej iaitu orang Islam mesti berada di hadapan semula, sebagaimana ilmuwan Islam dahulu,” tegasnya.
Jadi tajuk kajian tesis
“Idea itu bermula pada 2008 untuk saya memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kebiasaannya, saya perlu mencari tajuk untuk membuat sebuah kajian.
“Disebabkan hampir semua bidang dalam robotik, sudah ada kajiannya, maka saya mula terfikir untuk mencarinya dalam bidang lain dan antaranya yang menarik minat saya adalah berkaitan sumbangan haiwan dalam kehidupan manusia,” katanya.
Walaupun banyak haiwan yang menarik, sudah ada penyelidik yang mengkajinya tetapi apa yang beliau lakukan adalah fokus kajiannya adalah daripada sudut al-Quran.
Fokus tersebut penting supaya bukan hanya dirinya sendiri tetapi para pembaca akan menjadi lebih dekat dengan Maha Pencipta.
Ujar Dr. Zulkilfi lagi, penemuan tersebut bukan hanya akan ‘membuka mata hati’ kita terhadap kehebatan ciptaan Allah SWT tetapi mampu menambah lagi keimanan kita kepada-Nya.
“Saya percaya jika kita tahu sumbangan haiwan kepada kehidupan manusia, sebagai umat Islam, pastinya akan rasa kagum dengan ciptaan Allah SWT,” katanya.
No comments:
Post a Comment