Monday 24 November 2014

Remaja samseng, kes buli makin membarah

Gejala buli dalam kalangan remaja semakin merisaukan banyak pihak terutama ibu bapa dan guru. Pelbagai isu mengenai kebejatan sosial remaja termasuk gejala buli dibahaskan dalam media massa disebabkan kejadian buli yang membahayakan keselamatan pelajar sekolah khususnya sekolah berasrama.

Tidak cukup dengan wacana sahaja, masyarakat menantikan penyelesaian berkesan untuk gejala buli yang tiada petanda reda dalam kalangan remaja bermasalah di sekolah. Hari ini sekolah seolah-olah menjadi pusat menghasilkan virus schoolafobia kerana pelajar baru takut tinggal di asrama.

Institusi sekolah terutama sekolah berasrama sering menjadi medan sebilangan pelajar menunjukkan dominasi dan senioriti sehingga sanggup mencederakan pelajar lebih bawah daripada mereka. Aksi tendang terajang serta ala ahli gusti dipertontonkan untuk menunjukkan kekuatan dan pelajar baru menjadi mangsa.

Perbuatan salah laku itu menyebabkan kecederaan, koma, patah tulang sehingga ada yang meninggal dunia disebabkan perlakuan buli di asrama dan sekolah. Ironinya, kejadian buli juga turut dilaporkan membabitkan sekolah yang telah diberi gred berprestasi tinggi.

Lebih menyedihkan lagi, laporan kejadian buli turut berlaku dalam kalangan pelajar Melayu-Islam di sekolah aliran agama yang sepatutnya menjadi teladan kepada pelajar lain.
 
Gejala samseng membarah
 
Sebaliknya, saban tahun gejala samseng dalam kalangan pelajar makin membarah walaupun pelbagai tindakan telah diambil. Peraturan sekolah tidak mampu menanam rasa takut golongan pembuli di asrama meskipun telah banyak amaran dan tindakan disiplin dikenakan kepada pembuli sebelum ini.

Walaupun buli adalah perbuatan segelintir pelajar, namun jika tiada tindakan segera dan proaktif, ia akan terus berleluasa serta mendatangkan implikasi negatif yang lebih teruk kepada pelajar sama ada pembuli atau pelajar yang dibuli. Perbuatan buli akan mencemarkan nama sekolah kerana disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

Peraturan dan undang-undang boleh pengawal pelajar supaya lebih berdisiplin serta tidak melakukan kesalahan mencabuli hak orang lain sewenang-wenangnya. Perbuatan buli atau gengster dalam kalangan pelajar sekolah ini adalah kesalahan Juvana yang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Mahkamah Juvana 1947 (Akta 90).

Pesalah bawah umur adalah pesalah juvana kerana undang-undang juvana akan dikenakan ke atas mereka berumur 18 tahun dan ke bawah. Undang-undang Juvana dalam Akta Mahkamah Juvana 1947 (Akta 90) terbahagi kepada beberapa segmen penguatkuasaan undang-undang.

Antara undang-undang bakal dikenakan terhadap pesalah juvana termasuk pemantauan oleh pegawai khas, denda atau kos, dimasukkan ke asrama akhlak Sekolah Henry Gurney dan hukuman penjara jika kesalahan itu serius.
 
Perkenal model Undang-Undang Juvana Syariah
 
Justeru, dicadangkan supaya satu model Undang-Undang Juvana Syariah diperkenalkan kerajaan demi kebaikan umat Islam di Malaysia. Orientasi undang-undang syariah akan mengambil pendekatan harmoni dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

Undang-undang itu juga terpakai kepada remaja Islam yang melakukan kesalahan juvana. Jika cadangan ini mahu dilaksanakan, suatu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk membentuk Enakmen Kesalahan Juvana Syariah Negeri.

Biarpun berada dalam bidang kuasa negeri, undang-undang syariah boleh diseragamkan di peringkat nasional atas dasar persetujuan semua negeri. Pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh mengeluarkan lebih banyak bahan ilmiah untuk pelajar bagi memantapkan sahsiah dan jati diri mereka.

Sistem nilai setiap individu dapat dibangunkan untuk membentuk aset modal insan yang akan mewarisi Malaysia melalui usaha berterusan dan bersungguh-sungguh.

Cabaran remaja hari ini semakin kompleks dan pihak berwajib mesti menggunakan pendekatan pelbagai demi mencari penyelesaian terbaik. Sikap dan emosi pelajar perlu ditangani dengan penuh hikmah serta istiqamah.

Gejala buli akan menjadi parah malah berpotensi bertukar menjadi jenayah jika semua pihak hanya bersikap endah tak endah. Usaha yang tidak sedikit harus digembleng supaya perlakuan buli tidak berulang lagi.

Ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan mesti bekerjasama demi memastikan lahirnya generasi cemerlang, gemilang dan terbilang bagi mencapai status negara maju yang berteraskan pembangunan seimbang, lahiriah serta rohaniah dalam kalangan rakyatnya.





Credit: Ahmad Rafa'i Md Ali

No comments:

Post a Comment