Thursday 10 March 2016

GUNA KECERDIKAN AKAL SUSUN ATUR KEHIDUPAN


Mengingati Allah SWT dengan zikrullah dapat membersihkan hati dan tidak terpedaya dengan bisikan syaitan. - Gambar hiasan 

Hikmah adalah kebijaksanaan yang tertinggi merujuk kepada kejernihan akal dan kebersihan hati seseorang Mukmin yang selalu meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam hidup. Bahkan hikmah itu sendiri akan diperoleh bukan sahaja melalui ilmu tetapi pengalaman serta pengajaran dalam kehidupan. 

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu, jam 10.30 pagi di IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan, seorang Mukmin mempunyai hikmah yang tinggi dalam diri akan menggunakan kecerdikan akal untuk menyusun atur kehidupan. 

Andai berdepan kegagalan dalam sesuatu usaha yang dilakukan, ia dapat menerima kegagalan itu sebagai pengajaran untuk mencari hikmah tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku. 

Sesungguhnya nilai hikmah bagi seorang Mukmin akan dimatangkan oleh pengalaman hidup. Sebab itu orang yang lebih berusia atau lebih dahulu 'makan garam' dalam hidup akan lebih jelas hikmah pertimbangan terhadap sesuatu keadaan dalam hidup mereka. 

Berbanding orang muda yang kurang matang atau pengalaman, mereka kurang berhikmah dalam mendepani pelbagai situasi kehidupan. Justeru, dalam perjalanan hidup menuju kehidupan lebih bermakna, seorang Mukmin hendaklah mengisi dirinya dengan kematangan. 

Memiliki akal fikiran yang berhikmah, keluasan hati serta kekuatan jiwa yang kental supaya setiap suka duka atau pahit manis menyulami kehidupan ini sentiasa dipandu oleh perbuatan membawa kepada kebaikan. 

Terdidik hadapi kesulitan 

Manusia yang melihat kesulitan atau kekurangan dalam kehidupan dari sudut pandang penuh hikmah akan selalu terdidik di hatinya rasa ikhlas dan sabar. Begitu juga seorang Mukmin yang sabar dan reda menempuh ujian serta takdir yang menyakitkan, akan dapat melihat betapa hebatnya perancangan Allah SWT. Pada setiap perkara yang menyakitkan itu akan disulami kemanisan di hujungnya. 

Seorang yang berhikmah mempunyai kejernihan hati suci murni. Ia diperoleh melalui hubungan pertalian dengan pemilik alam iaitu Allah SWT. Manusia yang hati dan bibirnya sentiasa dibasahi ungkapan zikrullah kepada Allah SWT mempunyai ketenangan luar biasa, bahkan jiwanya melihat seluruh kehidupan dari sudut pandangan yang baik. 

Kejernihan hati pastinya tidak akan diperoleh tanpa latihan berterusan membina pertalian hubungan dengan Allah SWT melalui amal ibadah kepada-Nya. Begitu juga hati yang jernih dan bersih hasil solat taubat nasuha kepada-Nya serta tidak sekali-kali mendekati perkara yang dilarang Allah SWT. 

Nabi Muhamad SAW beristighfar sekurang-kurangnya sebanyak 70 kali sehari kepada Allah SWT kerana takut azab Allah SWT dan mahu meletakkan diri Baginda dalam keadaan sentiasa mengingati Allah SWT. 

Sebagai Mukmin yang tidak lari daripada melakukan kesilapan, mengingati Allah SWT dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW dapat membersihkan hati serta menyelamatkan diri supaya tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia. 

Hikmah juga terdapat pada akal fikiran yang sihat dan cerdas. Seorang yang akalnya bijaksana, waras dan matang akan memberikan pandangan yang bermanfaat kepada orang di sekeliling. Akal yang tidak cerdik atau tidak matang tidak mampu mendorong seseorang bertindak secara hikmah. 

Tingkat kualiti diri 

Selain itu, setiap Mukmin disarankan untuk mempertingkatkan kualiti diri melalui sudut pandangan yang positif. Kekuatan dalaman akan diterjemahkan melalui perbuatan dan kata-kata yang baik. Bersangka baik dengan Allah SWT dan sesama manusia akan membina kekuatan diri luaran serta dalaman. 

Pesanan Saidina Umar al-Khattab: "Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimat yang keluar daripada seorang saudara Mukminmu (sangkaan) keburukan, selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik." 

Allah SWT mengingatkan supaya tidak bersangka buruk kerana perbuatan itu tidak memberi kebaikan kepada manusia. Firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Surah al- Hujurat, ayat 12) 

Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Berdoalah kepada Allah SWT tanpa rasa putus asa kerana Allah SWT sentiasa membuka pintu rahmat untuk setiap hamba-Nya. 

Credit: Nik Hasnah Ismail

No comments:

Post a Comment