Tuesday, 29 January 2013

Padah cuba curi kambing jiran ada CCTV


Kota Bharu: Akibat cuba mencuri kambing milik jiran sekampung di kandang yang dilengkapi penggera dan kamera litar tertutup (CCTV), seorang penjual sayur dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman itu selepas Sudin Awang, 34, mengaku bersalah dan memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh dia ditangkap, 20 Januari lalu.
Sudin didakwa mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan cuba mencuri kambing milik Muhamad Safri Ramli, 34, di Kampung Paloh Pintu Geng di sini, pada jam 4.56 pagi, 20 Januari lalu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Curi kambing

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi penggera yang pasang pada pintu kandang kambing di hadapan rumah.
Mangsa melihat dalam CCTV dan apabila mendapati tertuduh sedang mencungkil pintu kandang kambingnya dengan parang, dia meminta bantuan adik-beradiknya serta penduduk kampung sebelum Sudin ditangkap dan diserah kepada polis.
Dalam rayuannya, Sudin memohon hukuman ringan kerana insaf.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh.

No comments:

Post a Comment