Wednesday, 30 January 2013

Dakwah bermula dari dalam diri


NABI Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. Kelahiran baginda adalah untuk membawa sinar cahaya agar dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Baginda bukan sahaja dianggap sebagai penyelamat manusia daripada kemalapan duniawi seperti kemiskinan, persengketaan dan kesengsaraan semata-mata.

Namun, apa yang lebih penting, baginda memberikan petunjuk agar manusia dapat memilih jalan kebahagiaan, bukan jalan yang mencampakkan diri mereka ke neraka Jahanam.

Betapa ajaran Nabi Muhammad SAW itu terlalu penting untuk manusia, maka setiap kali baginda diancam dan digugat, Allah SWT akan memelihara dan memberikan perlindungan. Perlindungan-Nya itu kadang-kala datang dalam bentuk mukjizat.

Perlindungan Allah SWT juga datang dalam bentuk yang tidak dapat dilihat iaitu; membantu baginda dalam membuat keputusan, dalam bentuk suntikan semangat dan motivasi kepada baginda agar terus bersemangat dalam menempuh segala rintangan yang tidak pernah bertepi.

Allah SWT juga memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dengan adanya isteri-isteri serta para sahabat yang setia dan wala' kepada arahan baginda. Merekalah yang banyak membantu sehingga menghasilkan kejayaan dakwah selama 23 tahun dalam arenanya yang tersendiri.

Pun begitu, ini bukanlah bermaksud kejayaan dakwah Rasulullah SAW bergantung kepada bantuan manusia. Buktinya ketika Nabi SAW kehilangan selamanya isteri iaitu Khadijah ra dan bapa saudara, Abu Thalib. Walaupun kedua-dua insan ini amat penting dalam kehidupan baginda, namun dakwah yang dibawa tidak pernah terhenti.

Perjuangan Islam diteruskan dengan pergantungan penuh kepada-Nya. Kematian Khadijah dan Abu Thalib sekali gus menangkis tohmahan golongan orientalis dan musuh-musuh Islam yang mendakwa kejayaan dakwah baginda bergantung kepada manusia.

Namun, hakikatnya adalah keputusan daripada Allah SWT untuk membuktikan kepada manusia akan kekuasaan Allah SWT yang berkuasa menentukan kejayaan kepada Rasulullah SAW tanpa ada sebarang makhluk pun yang dapat menghalang-Nya.

Perjalanan dakwah Nabi SAW sebenarnya melalui beberapa peringkat. Pada setiap peringkat mempunyai cabaran dan rintangannya yang tersendiri. Di sinilah Nabi SAW dan para sahabat diuji kebenaran iman yang mereka ikrarkan, sama ada hanya di mulut ataupun kukuh di hati sanubari.

Pada peringkat awal, Nabi SAW dididik dan ditarbiah oleh Allah SWT sehingga umur baginda mencecah 40 tahun.

Semasa kecil, Nabi SAW diuji dengan hidup sebagai anak yatim. Baginda dipelihara oleh datuknya, Abdul Muthalib dan kemudiannya oleh bapa saudaranya, Abu Thalib.

Baginda pernah dibawa untuk berniaga di Syam dan beberapa tempat lain. Kemuncaknya,Nabi SAW telah dipilih untuk meletakkan Hajarul Aswad oleh pembesar-pembesar Quraisy. Semuanya adalah proses pentarbiahan yang telah disusun oleh Allah SWT sebelum baginda menerima pelantikan kerasulan.

Peringkat pertama ini memberikan gambaran kepada kita bahawa untuk menjadi pendakwah yang hebat dan berjaya perlu bermula dengan diri kita sendiri. Jangan terlalu sibuk dengan program-program dakwah dan tarbiah sehingga melupakan diri kita sendiri. Allah SWT menempelak golongan yang menyuruh orang lain berbuat kebaikan, namun mengecualikan dirinya sendiri daripada kebaikan tersebut. (rujuk al-Baqarah: 44 dan al-Muddatthir: 1-2)

Bertitik tolak daripada ayat ini, maka dakwah baginda bermula dengan keluarga terdekat dan sahabat-handai. Ini satu strategi berkesan kerana biasanya keluarga dan sahabat sudah mempunyai persefahaman dengan kita. (rujuk asy-Syu'ara': 214)

Peringkat ini memberikan kita pengajaran bahawa menjadi tanggungjawab yang perlu diutamakan untuk kita berdakwah kepada orang-orang yang rapat dengan kita seperti pasangan, adik-beradik, anak-anak dan sahabat-sahabat terdekat. Jangan terlalu sibuk memikirkan orang lain sehingga keluarga sendiri terabai.

Credit: 
WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN Takaful Ikhlas

No comments:

Post a Comment