Friday 18 January 2013

PENDIDIKAN KAUM ASLI DI MALAYSIA


Tidak lagi terikat adat 'Sayet' demi pelajaran

Murid Orang Asli kini tidak lagi terikat dengan adat 'Sayet' dan mula menerima pendedahan pendidikan 
yang disediakan bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan itu pada masa depan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini, Akit Huat mengakui bukan mudah untuk menyakinkan ibu bapa Orang Asli betapa pentingnya pendidikan dan hanya melalui penguasaan ilmu pengetahuan sahaja mampu mengubah kehidupan mereka ke tahap lebih baik.

Katanya, sepanjang pengalamannya lebih 20 tahun sebagai pendidik berdepan dengan pelbagai gelagat ibu bapa dan murid Orang Asli yang masih berpegang kuat dengan adat Sayet (budak).

"Adat Sayet ini dipegang oleh anak-anak Orang Asli seperti itu hak mereka, jadi, kalau anak-anak enggan ke sekolah, ibu bapa tidak boleh paksa.

"Namun, saya perhatikan, sudah ramai ibu bapa yang tidak lagi terikat dengan adat seperti ini dan merasakan ia boleh disesuaikan mengikut perubahan masa dan zaman, ini yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat Orang Asli, mereka sudah berubah,'' katanya ketika ditemui di perkampungan Orang Asli Kampung Puput, Tasik Chini, Pahang baru-baru ini.

Kampung Puput terletak bersebelahan Kampung Gumum dihuni kira-kira 25 keluarga Orang Asli suku kaum Jakun dan kampung ini dikategorikan agak terpencil dari SK Tasik Chini dan perlu menaiki bot selama 15 minit untuk ke sekolah.

Selain Kampung Puput, pulau lain yang dihuni Orang Asli adalah seperti Chok Kura, Ulu Gumum

Kampung Tanjung Puput, Chendahan dan yang paling jauh iaitu kira-kira setengah jam perjalanan menaiki bot adalah Kampung Orang Asli Melai.

Menurut Akit, dalam usaha menangani masalah keciciran dan kegagalan kehadiran murid Orang Asli ke sekolah, pihaknya memperkenal program Jejak Warisan dengan sasaran di kalangan murid Tahun Enam yang bermasalah.

Melalui program itu, katanya, beliau sendiri dan dibantu guru-guru melawat ke rumah murid bermasalah dan berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan ibu bapa.

''Di bawah program Jom Ke Sekolah dan Mengesan Jejak, kita kenal pasti murid yang gagal hadir ke sekolah selama dua hari, adakan lawatan berjumpa ibu bapa, kenal pasti masalah dan pemantauan sepanjang minggu,'' katanya.

Beliau berkata, program itu digerakkan secara berterusan dan bukan hanya mengikut musim-musim tertentu malah sentiasa mengingatkan guru SK Tasik Chini agar menganggap tugas pendidik di sekolah itu sebagai perjuangan mereka sendiri memandangkan ia belum tentu mendapat balasan berupa elaun atau kenaikan gaji serta pangkat.

Bagi membuktikan perubahan itu, Akit menemui Johari Ghani, 35, bapa kepada murid Tahun Enam, Tiara, yang mengalami masalah tidak fokus kepada pembelajaran namun mudah menerima ajaran guru dalam bilik darjah.

Ketika mengajukan permasalahan tersebut kepada Johari, yang bekerja kampung, dia menyedari kelemahan anaknya itu dan meminta pandangan Akit mengenai kesesuaian Tiara mengikuti kelas tambahan sebagai persediaan menghadapi UPSR nanti.

"Saya sedia bekerjasama membantu guru besar biar anak saya pandai belajar nanti, saya tidak dapat peluang belajar setakat Tahun Enam sahaja, kalau boleh, biarlah anak saya ini dapat peluang lebih baik,'' kata Johari.

Katanya, Orang Asli di situ tidak mengalami kesukaran untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana pelbagai kemudahan pendidikan telah disediakan oleh kerajaan.

"Adat Sayet itu memang ada dan masih diamalkan namun boleh disesuaikan kerana masih ada adat lain yang lebih penting dan wajib dipatuhi, asalkan memberi kebaikan untuk kaum Orang Asli,'' katanya.

Sementara itu, bagi Mei Anak Saleh, 28, dari Kampung Orang Asli Chendahan, dia sanggup meluangkan masa menunggu kelima-lima anaknya di sekolah semata-mata mahu memastikan mereka mengikuti pembelajaran dengan baik.

"Kalau diikutkan adat Sayet seperti ibu bapa saya dulu, kalau anak tidak mahu ke sekolah, saya tidak boleh paksa.

''Tetapi sekarang tidak lagi. Saya sendiri bertegas dengan anak-anak supaya mereka ke sekolah walaupun anak-anak melarikan diri memasuki hutan, saya akan pastikan mereka ke sekolah,'' kata Mei.

Credit: Pendidikan/Utusan

No comments:

Post a Comment