Wednesday, 30 January 2013

BILAKAH DAMAI DI SELATAN THAILAND??


KESELAMATAN penduduk kampung di Selatan Thailand dijaga 
dengan baik oleh tentera.

KONFLIK berpanjangan di tiga wilayah di Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala bukan baru. Namun masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu membingungkan banyak penganalisis dan pemerhati . Ada yang menyatakan bahawa masalah di tiga wilayah yang majoriti dihuni penduduk beragama Islam itu berpunca daripada penyisihan dan penindasan.

Kalangan penduduk dikatakan tiada hak dan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Mereka dikatakan dilarang untuk menunaikan ibadat pada perayaan tertentu seperti korban semasa Aidiladha. Cuti umum juga tidak diisytiharkan semasa Aidilfitri atau Maulidur Rasul.

Terdapat juga teori lain, konflik yang berpanjangan berakar daripada masalah kemiskinan, hasil daripada dakwaan penyisihan terbabit. Sebagai contoh dalam bidang pendidikan di mana penduduk Muslim majoritinya tiada peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Paling tinggi sekalipun, hanya tamat sekolah rendah. Selebihnya mereka menimba ilmu di sekolah-sekolah pondok, tetapi dicurigai pula oleh kerajaan memerintah sebagai markas mencambahkan benih keganasan.
Tidak kurang, konflik Selatan Thailand yang berpanjangan sehingga damai dikatakan hampir ilusi adalah disebabkan hubungan antara Muslim dan agama rasmi Thailand, Buddha. Orang kampung yang beragama Islam tidak boleh menerima kehadiran tentera, yang rata-rata beragama Buddha. Manakala, sami serta tentera pula tidak faham budaya dan amalan dalam agama, sekali gus jurang curiga antara satu sama lain melebar.

Data oleh University Prince of Songkhla, Haadyai mendedahkan bilangan keseluruhan penduduk di 3 wilayah di Selatan Thailand ialah 1,748,682 orang. Daripada jumlah itu, 1,386,880 atau 80 peratus beragama Islam. Penduduk beragama Buddha cuma menyumbang 20% daripada jumlah keseluruhan penduduk atau seramai 351,367 orang.

Faktor-faktor itu diakui benar oleh beberapa pihak yang ditemui semasa lawatan ke tiga wilayah baru-baru ini. Kata Ustaz Ghazali Abdul Rani , seorang guru sekolah agama Nahdathul Shuban, orang Islam sememangnya ditindas oleh kerajaan pusat Bangkok.

"Bagaimanapun, keadaan banyak berubah terutamanya selepas peristiwa pada 2004 yang mencetuskan putaran keganasan tanpa henti sehingga sekarang," ujarnya yang sudah 25 tahun mengajar di sekolah berkenaan.

Bagi seorang tenaga pengajar, Wan Iman Wan Jaafar, turut mengakui sebelum ini orang-orang Islam dipinggirkan dari segi pendidikan, sama ada kerana kemiskinan atau terbatas untuk melanjutkan pelajaran.
Majoriti keluarga yang beragama Islam hanya berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok.

"Akhirnya, pilihan itu tidak membolehkan anak-anak mereka mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu membangunkan ekonomi keluarga masing-masing,'' ujarnya sebelum menyambung pandangan bahawa kini keadaan sudah jauh berubah.

Katanya lagi, kini universiti banyak dibangunkan di tiga wilayah di Yala, Pattani dan Narathiwat. Bilangan pelajar yang beragama Islam dari tiga wilayah bergolak juga mencatatkan penambahan.

Sementara itu, kalau sebab curiga antara agama yang menjadi hambatan keamanan dicapai di Selatan Thailand, tinjauan selama empat hari baru-baru ini member kesimpulan sebaliknya. Di sebuah perkampungan bernama Anak Rhu, Pattani, Imam dan Sami tinggal sekampung, malah masjid dan kuil cuma sebelah menyebelah.

Mereka tidak ada masalah untuk berkomunikasi dengan bahasa Thai jadi penghubung, kerana Imam juga fasih berbahasa Thai. Sami pula, jika imam ditimpa sakit pening, beliau datang menziarah sebagai jiran selain mendoakan kesihatan imam.

Dalam setiap ceramah, imam seringkali menekankan betapa penting kefahaman dan toleransi dalam agama. Betapa agama apa sekali pun, menggalakkan keamanan, menolak keganasan. Jika agama jadi sebab keganasan berpanjangan kenapa kalangan mereka yang beragama Buddha juga jadi mangsa dan korban kematian?

Memang benar, lebih ramai orang Muslim mati dalam ribuan kes keganasan yang dilaporkan berbanding kalangan penduduk Buddha. Faktanya juga, isu hak asasi khususnya yang dilakukan tentera ke atas orang-orang Islam menyumbang kepada rasa marah , yang kemudiannya melebar kepada tindakan keganasan jika tidak dikawal.

Antara contoh kes, pada 2004, insiden di Masjid Krue Se dan pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai. Kedua-duanya berlaku di Narathiwat, satu ketika umat Islam bersolat Subuh, satu lagi semasa umat Islam menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Selepas insiden itu, banyak lagi siri keganasan yang mengaitkan agama sebagai faktor termasuk isu pemisah. Namun, tentera turut mengakui bahawa apa yang berlaku disebabkan pengaruh dadah atau "geng mafia" yang cuba menangguk di air keruh. Lantas mereka menanganinya dengan cara memberi keselamatan kepada penduduk.

Kalangan penduduk mengakui sejak 2004, tidur mereka tidak lena. Terdengar cerita bom di kampung sebelah, mereka lari selamatkan diri. Malah berada di masjid sekali pun, mereka rasa tidak selamat kerana institusi ibadat itu turut jadi medan keganasan.

Dalam hal ini, tentera bertindak pantas, membangunkan penglibatan tentera dan penduduk kampung supaya mereka tidak takut-takut lagi atau curiga kepada tentera. Antaranya 'Love Army' yang bercampur gaul dengan pelajar, wanita dan jawatankuasa kampung selain penghulu dan imam.

Ini dapat dilihat di Khon Khor, Yala. 'Love Army' ini bukan sahaja menjaga keselamatan penduduk, tetapi membangunkan model ekonomi bagi industri kecil dan sederhana (IKS) buat penduduk kampung. Kepada salah seorang pengendali 'Love Army', jika penduduk rasa selamat , ekonomi boleh dirancakkan dan apabila ekonomi rancak, curiga kerana sejarah lampau hanya angin lalu.

Credit: 
AHMAD ZAKKI JILAN

No comments:

Post a Comment