Ini berikutan perpecahan umat Islam di negara ini semakin parah akibat perbezaan fahaman politik. Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan majlis Istighasah al-Qubra pertama tahun ini di Masjid Putra di sini, semalam.
1,000 jemaah hadir
Majlis yang disertai oleh lebih 1,000 jemaah itu bermula jam 4.30 pagi hingga 8.30 pagi itu.
Istighasah al-Qubra dimulai dengan solat tahajud diikuti solat hajat, solat witir dan solat subuh, tazkirah, zikir munajat dan doa istighasah di Dataran Masjid Putra.
Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad, berkata majlis itu bertujuan meminta pertolongan dari Allah supaya umat Islam di negara ini dilindungi daripada musibah akibat perpecahan.
“MPM tidak terbabit dengan politik tetapi kami bimbang dengan situasi sekarang terutama apabila semakin hampirnya tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 berlaku banyak ketegangan dan perpecahan akibat perbezaan ideologi politik.
“Istighasah bermakna meminta pertolongan. Jadi, kami memohon pertolongan Allah SWT supaya negara dan rakyat dapat dielakkan daripada ditimpa bencana.
“Pada masa sama, kita mengambil kesempatan mendekatkan diri dengan Allah melalui ibadat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu tamat, jam 8.30 pagi, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Istighasah al-Qubra, Datuk Seri Isahak Yeop Mohd Shar dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya, Datuk Abdul Ghani Ahmad.
Hasan berkata, jemaah yang hadir bukan saja dari Lembah Klang dan Putrajaya tetapi juga dari Seremban.
Katanya, MPM bersedia bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri lain bagi menganjurkan Istighasah al-Qubra di masjid negeri dan daerah bermula di Perak dan Selangor.
Credit: Haika Khazi
No comments:
Post a Comment