Friday 18 January 2013

Malapetaka konflik Syria wajar dijadikan iktibar


Pelbagai berita yang diedarkan beberapa agensi berita antarabangsa mengenai konflik di Syria memberi gambaran perlakuan keganasan yang teruk dialami rakyat negara itu akibat perang saudara selama hampir dua tahun.
Ia tercetus berikutan gerakan hendak menggulingkan Presiden Bashar al Assad dan sehingga kini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 60,000 rakyatnya terkorban.
Dalam pada itu, pada pertengahan bulan lalu, Institut Kajian Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan ceramah oleh Pengerusi Majlis Ulama Syria, Sheikh Muhammad Ali Al Sabuni yang menceritakan pelbagai perlakuan kejam dihadapi rakyat negara itu, khususnya Ahli Sunnah Wal Jamaah.
syria
Beliau menceritakan bagaimana wanita dan kanak-kanak dirogol di hadapan suami dan bapa mereka, malah perbuatan melampau demikian turut dilakukan di dalam masjid Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ramai pula antara mereka itu disembelih setiap hari, namun tidak menerima bantuan atau perhatian sewajarnya dari dunia termasuk media, kata Sheikh Muhammad Ali.
Gara-gara usaha rampas kuasa
Berita mengenai inti pati ceramah ulama berusia 83 tahun itu disiarkan Portal Berita UKM pada 20 Disember lalu yang menggambarkan betapa teruknya keadaan yang dihadapi rakyat gara-gara usaha untuk merampas kuasa daripada kerajaan yang ada.
Beliau berkata, situasi di Syria bukanlah satu konflik antara Syiah dan Sunni kerana konflik menggambarkan dua pihak yang sama kuat bertelagah. Tetapi di Syria, rakyat yang lemah dibunuh dengan kejam hanya kerana mereka berfahaman Sunni.  Beliau berkata, tidak ada satu pun masjid Sunni yang terselamat daripada dibedil tentera rejim yang dibantu Iran, manakala mereka yang cedera dibiarkan dalam kesakitan sehingga meninggal dunia kerana tiada hospital yang sanggup merawat kaum Sunni.
“Ahli keluarga sendiri tidak berani membantu kerana mereka akan diburu dan dibunuh. Mereka cuma mampu berharap, agar yang tercedera teruk akan mati dengan mudah,” kata ulama itu.
Rakyat hadapi malapetaka dahsyat
Dalam tempoh satu dua hari ini, baru ada laporan daripada beberapa agensi berita antarabangsa, termasuk Reuters dan AFP menyebut perkara sama yang memetik laporan satu pertubuhan bantuan antarabangsa yang mengatakan ramai wanita dan kanak-kanak perempuan lari keluar dari Syria kerana tidak mahu menghadapi kemungkinan dirogol.
Pertubuhan itu, Suruhanjaya Mengenai Pelarian Syria bagi Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dalam satu laporan setebal 23 muka surat mengesahkan apa yang diceritakan Sheikh Muhammad Ali.
Laporan diterbitkan tiga hari lalu berkata, rakyat negara itu sedang menghadapi satu malapetaka dahsyat yang memerlukan bantuan besar-besaran daripada masyarakat antarabangsa dengan segera untuk menangani tragedi kritikal yang akan berlarutan lama.
Sehingga kini, lebih 600,000 rakyat negara itu sudah pun lari dengan PBB menganggarkan lebih sejuta rakyat Syria akan menjadi pelarian di Turki, Lubnan, Jordan dan Iraq dengan tidak kurang daripada 3,000 orang lari keluar setiap hari. Bahkan PBB juga menganggarkan sudah lebih dua juta rakyat Syria terbuang dari kampung halaman mereka, manakala sehingga empat juta kini memerlukan bantuan segera.
Juga dinyatakan apa-apa bantuan yang dapat disalurkan sekarang amat berkurangan untuk menghadapi tragedi raksasa yang melanda rakyat biasa negara itu.
Malaysia harus ambil iktibar
Kita di Malaysia seharusnya sudah boleh mengambil iktibar daripada apa yang berlaku itu bukan saja di Syria tetapi berterusan di Mesir di mana keadaan tenteram dan stabil belum dapat dipulihkan walaupun kerajaan baru yang dipilih rakyat sudah wujud.
Ini semuanya gara-gara adanya pelbagai puak yang berterusan tidak berpuas hati hanya kerana mereka bertelagah dan tunjuk perasaan berterusan berlaku di Dataran Tahrir, tempat yang menjadi tumpuan puak berdemonstrasi itu. Inilah yang dikatakan Arab Spring mula tercetus di Tunisia dan menular ke Mesir, Libya dan kini di Syria menentang pemerintahan diktator mereka.
Credit: Dunia Muslim

No comments:

Post a Comment