Saturday, 26 January 2013

Kasih Nabi kepada umat hingga hujung nyawa


Sambutan Maulidur Rasul tanda kecintaan kepada Rasulullah.Sambutan Maulidur Rasul tanda kecintaan kepada Rasulullah.
Sunnah Rasulullah patut jadi amalan sebagai bukti kecintaan ummah

Setiap kali menyambut perayaan Maulidur Rasul, bibir kita sering dan tidak pernah kering membaca selawat ke atas Rasul Junjungan SAW sebagai wadah mempamerkan kecintaan terhadap Baginda. Begitu juga dalam kehidupan seharian, kita sedaya termampu cuba menerapkan sunnah Baginda. 

Baginda SAW terlalu cintakan umatnya dan hal ini ada Allah rakamkan buat renungan serta penghayatan kita dalam al-Quran. 


Firman Allah SWT: “Sungguh sudah datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya melihat penderitaanmu, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu dan kepada kaum mukmin dia amat berbelas kasih lagi penyayang.” (Surah At-Taubah ayat 128) 



Ini pernyataan Allah SWT terhadap cinta kasih Baginda SAW kepada seluruh umatnya. Dalam kesibukan Baginda SAW mengepalai urusan dakwah, menjadi ketua keluarga, ketua negara dan pelbagai urusan lain, tidak pernah sekalipun Baginda SAW melupakan nasib umatnya. 

Khususnya yang berkaitan aspek iman, ketakwaan dan pembinaan akhlak. Ini yang selalu Baginda SAW terapkan kepada umatnya. Baginda SAW terlalu ingin melihat kita beriman dan bertakwa serta menjalani kehidupan di dunia dalam kaca mata beragama yang benar. 

Ketika berurusan dengan manusia yang diajak beriman kepada Allah, Baginda SAW tidak pernah rasa kecewa walaupun pelbagai rintangan berada di hadapan. Siang malam Baginda SAW asyik memikirkan nasib manusia yang masih lagi tidak mahu menyahut seruannya. 

Sehinggakan Allah SWT menyatakan kepada Baginda SAW: “Maka (apakah) kamu akan membinasakan dirimu kerana bersedih hati selepas mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini.” (Surah al-Kahfi, ayat 6) 

Bersedih hati 

Allah juga memberitahu Baginda SAW supaya jangan bersedih hati kerana adanya manusia yang tidak mahu beriman dan menerima baik dakwah Baginda. 

Allah SWT berfirman: “Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjukkan siapa yang dikehendaki-Nya, maka jangan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah Fathir, ayat 8) 

Jiwa dan hati Rasulullah SAW sangat mencintai kaumnya yang dikenali mahupun yang belum dijumpai. Semuanya setara di hati Baginda SAW. Tidak seperti kita yang mencintai dan sayang hanya pada orang terdekat dengan kita dan orang yang pernah bersua muka. 

Pada suatu hari, ketika sahabat duduk bersama Baginda SAW, tiba-tiba Baginda berkata sambil mengusap janggutnya: “Alangkah rindunya aku mahu berjumpa dengan saudaraku.” Kata-kata Baginda SAW itu mengejutkan sahabat lalu bertanya: “Bukankah kami ini saudaramu, Ya Rasulullah?” Dengan lembut Baginda menjawab: “Kalian adalah sahabatku dan aku mencintai kalian. Tetapi aku merindukan saudaraku.” 

Jawapan Baginda SAW itu masih belum memberikan pengertian jelas kepada sahabat lalu sekali lagi mereka bertanya. Sebelum menjawab pertanyaan sahabatnya, kelihatan air mata Baginda mulai bergenang lalu menitis perlahan hingga membasahi janggutnya. 

Kemudian, Baginda memberitahu: “Saudara adalah orang tidak hidup sezaman denganku, mereka tidak pernah berjumpa denganku, tetapi mereka mencintaiku, membenarkan kata-kataku dan beriman kepadaku. Aku rindu kepada mereka, aku mencintai mereka.” 


Perwatakan luhur 

Demikian kata-kata luahan hati suci Baginda SAW dan sahabat menunduk kepala masing-masing, terdiam kerana sayu dengan perwatakan Baginda SAW yang cukup luhur itu. Mereka semua menangis. 

Rasa cinta dan rindunya Baginda SAW terhadap umatnya terbawa-bawa sehingga ke saat akhir hayat Baginda SAW. Puncak cinta Baginda terhadap umatnya semakin ketara menjelang hari-hari terakhir hayatnya dengan selalu menyebut: “Umatku, Umatku, Umatku.” 

Ketika Malaikat Izrail sudah berada di samping Baginda bagi mencabut nyawa, Rasulullah SAW masih sempat bertanya kepada malaikat Jibril yang turut bersama pada waktu itu: “Wahai Jibril, katakan kepadaku mengenai hakku di depan Allah.” 

Lalu dijawab oleh Jibril: “Semua pintu langit sudah terbuka, malaikat sudah berbaris menyambut rohmu di langit dan pintu syurga sudah bersedia menanti engkau memasukinya, ya Rasulullah.” 

Jawapan Jibril itu tidak memberikan keceriaan kepada raut wajah Baginda. Mata Baginda masih diselubungi kecemasan dan situasi itu membuatkan Jibril bertanya: “Tidakkah engkau gembira mendengarnya, wahai Rasulullah?” 

Lalu diberitahu Baginda: “Segala puji bagi Allah, wahai Jibril, nyatakan kepadaku khabar gembira mengenai umatku kelak di Hari Kiamat.” Maka Jibril berkata: “Kunyatakan kepadamu, sesungguhnya Allah menjelaskan, Allah sudah melarang semua nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau memasuki terlebih dulu, dan Allah melarang semua umat masuk ke dalam syurga sebelum umatmu masuk terlebih dulu.” 

Mendengar jawapan Jibril itu baru Baginda tersenyum puas dan gembira kerana umatnya diberikan keutamaan di sisi Allah. Lihat betapa cintanya Rasulullah SAW kepada kita hingga pada saat terakhir hayat Baginda pun, urusan dan untung nasib umatnya masih diambil berat. 

Kita seharusnya sentiasa bersyukur menjadi umat Baginda dan tanda kesyukuran itu tidak cukup jika sekadar bacaan selawat saja. Apa yang Baginda minta kita laksanakan perlulah kita ikuti dan apa saja yang dilarang Baginda sewajibnya kita jauhi



No comments:

Post a Comment