Sunday, 27 January 2013

Islam angkat kedudukan wanita



Keupayaan wanita sebagai pekerja dan pemimpin sering diperdebatkan. Ketika masyarakat dunia semakin mengiktiraf sumbangan wanita, masih ada pihak menggunakan hukum agama untuk melarang wanita menjadi pekerja dan pemimpin. 

Keraguan terhadap kemampuan wanita lahir berdasarkan tabii wanita yang sifatnya lemah dan lembut, emosional serta mudah dipengaruhi. Justeru, wanita dianggap tidak sesuai menjadi pemimpin kerana pemimpin mesti memiliki perwatakan tegas, tetap pendirian dan kuat fizikal. 


Wanita dikatakan tidak mempunyai keupayaan yang kuat. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya.” (Riwayat Muslim).

Sejarah mencatatkan wanita dikategorikan sebagai masyarakat kelas kedua dalam kebanyakan masyarakat kuno. Wanita tidak dianggap penting dalam masyarakat, tugas mereka hanya sebagai isteri dan ibu. Urusan hidup dan untung nasib wanita ditentukan lelaki sepenuhnya. 

Malah dalam masyarakat tertentu, wanita dianggap pembawa sial dan bala. Justeru, wanita tertentu perlu dijauhi, mereka dijadikan korban kepada pelbagai acara karut. Wanita diletakkan lebih hina daripada binatang buas. 


Islam angkat kedudukan wanita 

Kedatangan Islam mengubah kedudukan wanita. Islam mengangkat wanita pada kedudukan sebaik-baiknya. Wanita tidak dibezakan daripada lelaki, melainkan dari segi jantina dan peranan bersesuaian dengan kejadiannya. 


Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT: “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki dan perempuan, sedang dia beriman, sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97) 

Jelas hak wanita sama dengan lelaki. Mereka dibenarkan melakukan apa saja selagi tidak melanggar peraturan ditetapkan agama. Sesungguhnya hal sama juga dikenakan kepada lelaki. Hidup manusia dibatasi dengan hukum dan peraturan selaras kedudukan sebagai khalifah. 

Golongan anti wanita cuba sedaya upaya menggunakan fakta lemah dan hadis palsu sebagai dalil dakwaan mereka. 


Antara hadis palsu yang tersebar luas: “Mintalah pendapat wanita dan lakukan sebaliknya.” Satu lagi hadis palsu: “Wanita itu keseluruhannya jahat, dan kejahatan yang paling besar ialah kaum lelaki tidak dapat melakukan kejahatan tanpa mereka (wanita).” 


Guna hadis palsu 

Kedua-dua hadis palsu itu membayangkan wanita tidak bijak dan hanya mendatangkan keburukan. Bahkan, wanita dianggap tidak wajar diajar apa-apapun. Untuk menyokong alasan itu maka digunakan hadis palsu: “Jangan ajarkan wanita bagaimana membaca dan menulis kerana mereka akan menggunakan ilmu itu untuk melakukan sihir.” 

Sesiapa yang terbuka fikirannya tentu dengan mudah dapat mematahkan hadis palsu itu. Perhatikan pertentangan dengan hadis sahih yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.” (Riwayat Muslim) 

Allah SWT memerintahkan manusia membaca dan sumber ilmu terbesar adalah daripada al-Quran. Dalam dunia moden hari ini kemahiran membaca dan penguasaan ilmu penting untuk kehidupan yang sempurna. 

Firman Allah SWT: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq, ayat 1-5) 

Negara kita masih kekurangan tenaga manusia untuk membangunkan negara. 


Sumbangan wanita dalam pekerjaan dan kepemimpinan amat penting. Tenaga wanita memberi sumbangan bermakna kepada kejayaan dan kemakmuran negara. 

Satu kerugian jika wanita dihalang daripada bekerja dan memimpin. Lelaki dan wanita perlu bersatu menyumbang tenaga untuk kesejahteraan ummah. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyekat kebebasan berdasarkan jantina. 

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah an-Nisa, ayat 124.


Credit: Lokman Ismail

No comments:

Post a Comment