Sunday 27 January 2013

PULAU PINANG YANG INDAH...


Sehari di George Town





MASJID Kapitan Keling sudah berusia lebih 200 tahun.


KATAKAN sahaja, apa tarikan yang terdapat di bandar raya George Town.
Memegang status Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 26 Julai 2008, lokasi ini sarat dengan pelbagai tarikan tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain.
Soal makanan, tempat menarik, keindahan pantai, Jambatan Pulau Pinang, kemudahan feri pasti menggamit anda untuk menyelusuri kota yang menjanjikan seribu satu keseronokan ini.
Kunjungan kru Jurnal baru-baru ini ternyata berbaloi sebaik sahaja menyusuri Jambatan Pulau Pinang sepanjang 13 kilometer yang tersenarai antara jambatan terkenal di dunia.
Mercu tanda paling menyerlah pastinya ialah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) setinggi 232 meter yang juga pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Menara setinggi 65 tingkat itu adalah bangunan tertinggi di Malaysia sejak 1985 sebelum rekodnya diatasi oleh Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur lebih sedekad kemudian.
Menetap di hotel bajet, An-Nur Ancasa Express @ George Town pilihan tepat kerana terletak berhampiran dengan Masjid Kapitan Keling.
Kapten Keling atau nama sebenarnya Caudeer Mohudeen dan adik lelakinya Muhammad Noordin Merican belayar dari India ke Pulau Pinang bersama ibu mereka, Fatimah semasa berumur 11 tahun.
Beliau bertanggungjawab membina masjid itu selain mendermakan tanah sendiri untuk dijadikan wakaf.

KAWASAN sekitar Chong Fat Zee Mansion yang sarat dengan unsur sejarah.


Soal mengisi perut yang lapar usah khuatir kerana masjid ini berhampiran dengan Restoran Nasi Kandar Beratur.
Walaupun nama asal gerai ini ialah Nasi Kandar Liyaqat Ali, namun gelaran Nasi Kandar Beratur terus ‘melekat’ gara-gara pelanggan terpaksa beratur panjang bagi memilih dan mendapatkan hidangan masing-masing.
Bagi mengekalkan identitinya, pemilik gerai berkenaan sengaja menempatkan seorang sahaja pelayan atau tukang cedok lauk, meskipun pelanggan sedang beratur panjang.
Selain itu, bagi penggemar jeruk buah-buahan, pasar Chowrasta pasti akan menggamit kehadiran anda dengan dengan ribuan jenis jeruk buah-buahan yang lazat, makanan istimewa yang diidamkan ibu yang sedang sarat mengandung.
Pilihan utama pastinya jeruk Pak Ali yang terkenal seluruh negara.
Jarang sekali bandar raya mempunyai muzium mainan kerana akan memeningkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil.
FORT CONWALLIS yang dibina oleh Francis Light.


Tetapi, George Town tampil dengan Muzium Permainan yang turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai muzium permainan pertama dan terbesar di negara ini.
Sebaik menjejakkan kaki, mata pengunjung pasti tidak akan berkedip melihat lebih 100,000 koleksi patung permainan dan figura aksi yang dipamerkan di ruang seluas 650 meter persegi.
Antara koleksi yang akan lihat di muzium itu ialah patung-patung daripada pelbagai watak permainan komputer termasuk Dragon Ball, Tomb Raider dan Final Fantasy.
Tarikan Rumah Api Fort Cornwallis tidak boleh dipandang ringan kerana reka bentuk unik berbentuk bintang lima bucu.
Mula dibina menggunakan kayu nibong tanpa binaan kekal yang meliputi kawasan seluas 417.6 kaki persegi.
Terletak berhampiran ialah medan selera yang terkenal dengan gerai pasembur di Padang Kota Lama yang wajib dinikmati setiap pelancong.
Ironi, pengunjung perlu meneroka tempat-tempat menarik lain seperti Masjid Melayu Lebuh Acheh, Khoo Kongsi, Gereja St. George, Little India dan Chong Fat Zee Mansion serta Masjid Terapung Tanjung Bungah.
Ternyata seharian tidak mencukupi menjelajahi George Town yang berdiri dengan kelasnya tersendiri.

Credit: 
MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

No comments:

Post a Comment