Saturday, 19 January 2013

Tangani stres supaya tidak mudarat


Ikmal baru saja diberhentikan kerja atas kes pecah amanah dilakukan di pejabatnya. Dua hari sebelum kejadian, dia didatangi along yang menuntut hutang dipinjamnya.
Pada masa sama, dia kehilangan orang tersayang selepas hubungannya mendapat tentangan orang tua teman wanitanya. Tidak cukup dengan itu, dia buntu mencari punca pendapatan bagi melunaskan ansuran bulanan kereta, rumah dan kad kredit berjumlah ribuan ringgit.
Masalah demi masalah dihadapi menyebabkan Ikmal mengalami tekanan teruk hingga perlu mendapatkan rawatan doktor.
Selain tekanan, Ikmal mengalami gejala kemurungan dan jika tidak diatasi segera, ia boleh menyebabkannya menjadi gila.
Dr Hans Selye, pengasas teori tekanan perasaan atau stres, mendefinisikannya sebagai reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan sesuatu bebanan yang menimpanya.
Menurut Perunding Psikologi Pusat Perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Khairi Rahman, tekanan adalah perubahan fisiologi yang boleh dilihat secara ketara dalam diri seseorang. Ia terhasil apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi keupayaan.
“Semua orang boleh merasai tekanan, tidak kira sama ada lelaki atau wantia, tua atau muda. Ketika berlaku tekanan, badan akan mengeluarkan hormon rangsangan yang dipanggil adrenalin ke dalam saluran darah.
“Hormon ini bersama yang lain akan menyebabkan beberapa perubahan di dalam tubuh sebagai persiapan untuk melindungi diri,” katanya ketika ditemui di hospital itu.
Antara perubahan itu ialah denyutan jantung bertambah laju dan tekanan darah meningkat (untuk mengepam lebihan darah kepada otak, otot dan jantung); gula, lemak dan kolesterol dalam darah akan bertambah (untuk memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang akan lebih laju (untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan begitulah seterusnya.
Perubahan ini berlaku secara tabii seiring dengan keperluan tubuh kita ketika itu. Bagaimanapun, jika tekanan berpanjangan dalam hidup dan kita tidak bijak mengurusnya, ia akan bertukar menjadi teruk yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit tertentu.
Dr Khairi menambah, antara faktor yang boleh menyumbang kepada tekanan ialah masalah kewangan, perceraian, penderaan fizikal dan mental, tekanan kerja mahupun masalah kekeluargaan.
“Selain itu, faktor biasa yang menyumbang kepada tekanan ialah alkohol atau dadah, kematian, tidak bekerja, kesukaran untuk sesuaikan diri di tempat baru dan banyak lagi.
“Apabila diri dalam keadaan tekanan, simptom seperti insomnia (susah tidur), kemurungan, susah hati akan berlaku.
“Kerana itu, apabila dalam keadaan tertekan, kita memerlukan seorang teman untuk meluahkan perasaan bagi mengurangkan tekanan dialami,” katanya.
Katanya, wanita lebih berisiko diserang tekanan berbanding lelaki. Ini kerana wanita lebih beremosi manakala kaum Adam ‘dilindungi’ sikap ego semula jadi yang ada pada diri mereka.
“Jika tekanan tidak dirawat, ia boleh menimbulkan kemudaratan kepada orang lain. Misalnya, bapa menghadapi tekanan kerja boleh menyebabkan bahaya kepada anak dan isteri seperti melakukan penderaan fizikal. Ia juga mampu mengancam orang lain dan diri sendiri.
“Namun harus diingat, tekanan bukan hanya negatif tetapi ada juga yang positif. Contohnya, tekanan boleh memotivasikan diri apabila seseorang itu terasa perlu berbuat sesuatu dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Credit:  HIDAYATUL AKMAL AHMAD

No comments:

Post a Comment