Monday, 21 January 2013

Tiga pelajar perempuan pitam dirotan

Kuantan: Tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini terpaksa menjalani rawatan dan ditahan semalaman di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas pitam kena rotan di kepala. 

Mereka dirotan seorang guru lelaki sekolah berkenaan dalam kejadian Rabu lalu. 


Nor Arina Syakirah Mazuki, Nor Aima Solehah Abdullah dan Nor Hidayah Asni masing-masing mendakwa dirotan guru berusia lingkungan 40 tahun berkenaan kira-kira jam 3 petang di sekolah mereka. 


Akibat kejadian itu, mangsa yang pulang ke rumah mengadu pening kepala sebelum pitam seketika akibat kesan sebatan berkenaan sebelum dibawa keluarga ke HTAA untuk rawatan lanjut dan kemudian ditahan semalaman di wad. 

Nor Arina berkata, pada hari berkenaan dia dan rakannya itu dipanggil seorang guru wanita ke pejabat untuk menyelesaikan kes perselisihan faham antara mereka dengan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berlaku sehari sebelumnya (Selasa). 

Petang itu ada perhimpunan kokurikukum di dalam dewan. Bagaimanapun kami pergi ke pejabat selepas dipanggil untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Sebaik masalah yang berlaku diselesaikan dan masing-masing sudah meminta maaf, secara tiba-tiba guru lelaki berkenaan muncul dan dengan tanpa usul periksa memukul kepala saya dengan rotan dibawanya sepanjang kira-kira satu meter sebanyak dua kali. 


Nor Aima dan Nor Hidayah disebat sekali juga di kepala sebelum kami kemudian menangis kerana menahan kesakitan. 

Namun, guru terbabit tidak pula menghukum pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berada bersama di situ, katanya ketika ditemui, di sini, semalam. 

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, selepas dirotan mereka bertiga pulang ke rumah sambil menahan kesakitan sebelum menceritakan kejadian itu kepada ibu bapa. 

Saya pening dan muntah manakala Nor Aima pitam serta Nor Hidayah juga mengalami apa yang saya rasa. Kami kemudian dibawa ke HTAA dan ditahan di wad, katanya. 

Nor Arina berkata, ketika di wad, guru terbabit datang melawatnya dan dua lagi rakan sebelum menyerahkan wang RM250 kepada kami untuk dikongsi 

Dia (guru lelaki) datang dalam waktu tengah hari, sebelum pulang dia beri kami RM250 untuk dikongsi bersama dan cakap itu bukan rasuah tapi untuk bayar bil hospital. Selebihnya suruh kami buat belanja beli tudung dan makan, katanya. 

Pelajar berkenaan berkata, keluarga mereka membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini berhubung tindakan guru terbabit kira-kira jam 6 petang sehari selepas kejadian. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusof, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan. 

Pihak sekolah berkenaan pula bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan kejadian terbabit

No comments:

Post a Comment