Sunday, 20 January 2013

Allah yang Menghidupkan dan Mematikan


Satu hal yang menakjubkan bahawa pokok 
yang hijau dan yang basah berair itu apabila 
bergeser antara satu sama lain boleh 
mengeluarkan api. - Gambar hiasan




DALAM ayat-ayat terdahulu, Allah SWT menyebut bukti-bukti kebesaran dan kekuasaan-Nya. Dia menegaskan manusia sepatutnya menyembah-Nya dan menyatakan kebatilan sembahan-sembahan orang musyrik itu.

Pada ayat-ayat yang berikutnya, Allah SWT menyebut lagi bukti-bukti keEsaan dan kekuasaan-Nya dalam diri mereka sendiri dan menyebut pula sebahagian makhluk-Nya ada yang beranggapan tidak mungkin manusia akan dibangkitkan.

Mereka berkata: “Bagaimana tulang-temulang yang telah hancur lebur dihidupkan semula." Allah SWT menjawab pertanyaan jahil mereka itu, bahawa yang telah menciptakan tulang-temulang pada kali pertama pula yang akan menghidupkannya semula.

Allah SWT kemudiannya menyebut pula bukti yang lain, iaitu Dia mampu mencipta api daripada pohon yang hijau, walaupun pokok itu berair. Kemudian Allah SWT menyebut pula perkara yang lebih besar daripada penciptaan manusia bagi menunjukkan kebesaran kekuasaannya-Nya, iaitu penciptaan langit dan bumi.

Segalanya sangat mudah bagi Allah SWT sekadar Dia hanya berfirman: Jadilah. Justeru, sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti akan berlaku.

Mujahid, Ikrimah, Urwah, Zubayr dan Qatadah berkata: Suatu ketika, Ubay Ibnu Khalaf datang menemui Rasulullah SAW, di tangannya dia menggenggam tulang yang telah reput, lalu diketuk-ketuknya tulang itu lalu dilemparkannya ke udara sambil berkata: “Muhammad, apakah engkau mengatakan bahawa Allah akan membangkitkan tulang ini?" Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah akan mematikan kamu dan membangkitkan kamu semula, kemudian Dia akan mengiringimu ke neraka." Sejurus itu turunlah firman Allah SWT (Yasin: 77) yang bermaksud: Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari setitis air benih?

Firman Allah SWT: Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan ia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati). (Yasin: 77)

Ibnu Abi Hatim berkata: Atas dasar apa pun, makna ayat ini untuk semua orang yang mengingkari hari kebangkitan sedangkan alif dan lam yang terdapat dalam firman Allah SWT merangkumi setiap orang yang ingkar pada hari pembalasan.

Ibnu Kathir berkata: Apakah orang yang ingkar dengan hari kebangkitan tidak mengambil petunjuk dari awal penciptaan manusia dari setitis air yang hina, lalu Dia menciptakannya daripada sesuatu yang rendah, lemah dan hina. Bukankah Dia mencipta makhluk atau manusia dari setitis air yang hina dan hanya dengan kuasa-Nya menghidupkan sesiapa selepas kematian mereka.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT mencipta binatang-binatang ternakan untuk manusia agar mereka bersyukur. Dalam hal ini Allah SWT mampu mencipta manusia daripada setitik air yang hina dan sudah tentu mampu menghidupkan mereka yang sudah mati.

Firman Allah SWT: Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu? (Yasin: 78)

Ibnu Kathir berkata: Iaitu dia menganggap mustahil dikembalikannya jasad dan tulang-tulang yang telah hancur luluh oleh Allah SWT. Dia lupa yang Maha Berkuasa dengan penciptaan langit dan bumi. 

Sesungguhnya Allah SWT menciptakannya daripada tidak ada menjadi manusia yang sempurna. Mereka mengetahui pada dirinya sesuatu yang lebih besar daripada apa yang dianggap mustahil namun mereka ingkar dan membantah.

Al-Maraghi berkata: Orang musyrik beranggapan tidak mungkin Allah SWT dapat menghidupkan mereka semula setelah mati lalu menjadi tulang yang reput. Mereka lupa, Allah SWT mencipta dirinya daripada asalnya tidak ada.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya dan ia Maha mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya). (Yasin: 79)

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT Maha Mengetahui tulang-tulang diseluruh pelosok dan sudut bumi, ke mana hilangnya dan di mana hancur luluhnya tulang tersebut.

Al-Maraghi berkata: Wahai rasul! Katakanlah kepada mereka yang musyrik itu: Allah SWT yang akan menghidupkan tulang-temulang yang telah hancur. Dia jugalah yang mencipta tulang tersebut daripada keadaan tidak ada. Dia Maha Mengetahui segalanya.

Seorang ahli falsafah Muslim yang terkenal, Al-Farabi berkata: Aku mahukan Aristotles memahami ayat: Katakanlah yang akan menghidupkannya adalah Tuhan yang menciptakannya pertama kali.

Firman Allah SWT: Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) daripada pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api daripada pohon-pohon itu. (Yasin: 80)
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT mencipta pohon tersebut daripada air hingga menjadi pepohonan yang menghijau, berbuah dan berbunga kemudian Dia mengulanginya menjadi kayu-kayu kering untuk menyalakan api. Seperti itu pula, Dia melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan Maha Kuasa serta tiada siapa pun yang mampu melakukannya. 

Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah menyuburkan pohon dengan air sehingga ia menjadi subur menghijau. Kemudian pohon itu pula dijadikan kayu bakar yang digunakan untuk menyalakan api. Kemudian Allah SWT berupaya mencipta api daripada pokok yang hijau mengandungi unsur pembakaran, manakala air itu pula mampu mengembalikan semula tulang-temulang manusia yang telah hancur kepada asalnya semula.

Credit: 
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

No comments:

Post a Comment