Wednesday, 30 January 2013

Ibu tunggal 9 anak dicekup bogel




BESUT - Usaha seorang wanita berusia 54 tahun bersembunyi di bawah katil untuk mengelak diberkas pasukan pencegah maksiat di sebuah rumah dekat Kampung Anak Musang, Jabi di sini, gagal apabila ditangkap dalam keadaan berbogel.

Wanita berstatus ibu tunggal yang dikatakan sudah mempunyai sembilan anak itu hanya menutup badannya dengan kain selimut ketika bersembunyi.

Sepasukan pegawai dan anggota Penguat kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Besut membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu jam 12.05 malam selepas mendapat maklumat orang ramai.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, ketika sampai di depan rumah, anggotanya  mendapati pintu utama rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam.

Menurutnya, selepas dua minit diberi salam, seorang lelaki yang tidak berbaju dan berseluar hitam membuka pintu rumah.

“Dia memberitahu hanya seorang diri dalam rumah berkenaan tetapi pemeriksaan di dalam sebuah bilik, menemui wanita berkenaan sedang bersembunyi di bawah katil yang hanya  menutup tubuhnya dengan kain selimut,” katanya.

Azmi berkata lagi, siasatan lanjut mendapati mereka bukan suami isteri atau muhrim.

Pasangan wanita itu seorang tukang rumah berusia 56 tahun seorang duda beralamat di Kampung Beting Lintang, manakala wanita berkenaan bekerja sebagai penoreh getah.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzil) Terengganu 2001 kerana percubaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.


Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment