Google+ Followers

Friday, 18 January 2013

LAKSAMANA BENTAN


Makam Laksamana Bentan

Batu Asas Pengenalan Makam
Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di Daerah Kota Tinggi.

Perjalanan ke Makam ini hanya sejauh dua km dari bandar Kota Tinggi. Dipercayai di sinilah telah disemadikan Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, pahlawan Melayu terbilang dan isterinya Dang Anum.

Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai Panglima angkatan laut Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk solat Jumaat.

Ini disebabkan dendamnya terhadap tindakan Sultan yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya sewaktu ketiadaan beliau mempertahankan negeri daripada serangan musuh. Dang Anum yang sedang mengandung telah dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh memakan seulas nangka yang diambil dari kawasan larangan Diraja.

Makam Laksamana Bentan dan Isterinya Dang Anum
Namun demikian, Sultan sempat menikam balas Megat Seri Rama dan melafazkan sumpah bahawa "Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi selama tujuh keturunan". Peristiwa ini terkenal dengan 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'.

Susunan batu bata bersaiz besar yang digunakan untuk membina tembok makam ini dipercayai adalah sebuah kota pertahanan pada zaman kesultanan melayu silam.

Kedudukan di atas tebing tinggi Sungai Johor ini sangat sesuai digunakan sebagai tempat beristirehat dan meninjau kedatangan musuh.

Credit: Jabatan Muzium Kota Tinggi