Kadangkala segala kenikmatan hidup serta kekuatan yang ada pada diri kita memerlukan kita muhasabah diri ke arah penginsafan. Perasaan insaf amat diperlukan untuk mengelak diri kita daripada terperangkap dengan kemewahan yang sedang dikecapi sehingga mungkin boleh menjadikan kita lupa daratan.
Sebagai seorang pelajar sama ada di sekolah atau di institusi pengajian tinggi, kita telah mendapat segala-galanya daripada ibu dan ayah serta kemudahan lain daripada pihak yang tertentu.
Sekian lama kita dipelihara oleh ibu dan ayah dengan penuh kasih sayang terasuk makan dan minum dijaga, wang saku diberi, dihantar ke sekolah sama ada dengan kereta, motosikal, bas atau berbasikal sendiri.
Kita mampu menjamah juadah ketika bersama-sama ibu bapa di rumah atau bersama rakan dan guru bagi yang tinggal di asrama. Hidangan yang disediakan cukup sempurna dan berkhasiat.
Bagi mereka yang berada di institusi pengajian tinggi pula ada yang mendapat pembiayaan biasiswa atau sekurang-kurangnya mendapat pinjaman daripada institusi kewangan bagi membolehkan kita melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.
Ada juga di antara kita yang berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik dan ada pula yang cemerlang dalam bidang kokurikulum. Malah ada di antara kita yang mewakili sekolah atau institusi masing-masing ke peringkat negeri atau ke peringkat antara bangsa.
Syukur alhamdullilah semuanya ini kurniaan nikmat daripada Allah, tetapi bayangkan ada di antara kita di luar sana yang tidak mendapat merasai segala kenikmatan hidup seperti yang kita kecapi.
Kita hanya berlapar dan dahaga buat beberapa ketika di bulan Ramadan, tetapi bagi mereka yang tidak bernasib baik seperti golongan fakir miskin, golongan yang tertindas, mangsa peperangan atau yang cacat anggota merasai keperitan hidup ini sepanjang masa dalam kehidupan mereka
Segala kenikmatan hidup ini akan hilang sekelip mata sahaja jika Allah ingin menarik balik segala pemberian nikmatnya daripada kita. Badan yang sihat mungkin menjadi sakit dan segala kehidupan ini akan menemui kematian jua.
Justeru, marilah kita muhasabah diri dengan mensyukuri segala nikmat Allah yang kita kecapi sekarang. Gantikanlah sifat tamak, sombong, hasad dan dengki serta angkuh itu dengan sifat yang murni iaitu bermurah hati, mesra, ikhlas dan jujur serta sentiasa melakukan kebaikan dan mengelakkan kemungkaran.
Semoga Allah memberkati kehidupan kita dengan kesempurnaan akal fikiran, kemurnian jiwa dan kesihatan diri.
Credit: Dr Ismail Zain
No comments:
Post a Comment