Wednesday, 30 January 2013

Hargai nikmat kehidupan

Usah persiakan umur panjang, kemewahan harta dimiliki 

Nikmat kehidupan yang dikurniakan adalah gambaran Allah SWT amat mengasihi hamba-Nya. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan. 


Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup yang dihadapi, ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kasih sayang tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. 



Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah yang menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Syukuri setiap anugerah

Kadangkala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada orang yang tidak dapat merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan sebuah kehidupan yang lengkap. 

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa menyebabkan apa yang dikurniakan tidak memberi faedah kepada mereka. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan untuk diri serta orang lain, tetapi ada yang menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan melakukan maksiat.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Riwayat At-Tirmizi) 

Adanya tenaga dan akal, gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya merasa nikmat yang Allah berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat lain. Buat orang yang berhati-hati, mereka tahu semuanya pinjaman saja.

Mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu supaya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang berkemampuan.

Membazirkan nikmat

Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya. Memusnahkan imbangan alam, mengotorkan sumber air, membiarkan tanah-tanih tanpa tanaman dan menzalimi sesama makhluk.

Sambutan ulang tahun kelahiran yang saban tahun diraikan haruslah dijadikan kayu pengukur sama ada nikmat usia yang dikurniakan benar-benar kita hargai. Antaranya, jantung yang masih berdegup, adakah kita terus menjadi hamba yang taat atau ingkar?

Nikmat panjang usia

Usia yang panjang adalah satu nikmat tidak ternilai. Dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia ini diambil semula oleh pemiliknya, tiada peluang lagi untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.

Sebab itulah kalau kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan yang sangat bermakna. 

Firman Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah Al-‘Araaf, ayat 34)

Justeru, jika kita mengerti nikmat Allah SWT yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita. Sedangkan bertahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan yang lebih abadi. 

Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadarnya, kita sepatutnya tersedar dari awal bahawa kematian adalah pengakhirannya. Sedang pintu taubat sentiasa terbuka, janganlah kita longlai usaha untuk menjadi insan. 

Credit: Nik Salida Suhaila

No comments:

Post a Comment