Sunday, 20 January 2013

Keselamatan wanita perlu dipertingkat

Seluruh masyarakat antarabangsa sedang memberi perhatian terhadap kes pemerkosaan seorang remaja wanita di India oleh sekumpulan lelaki yang membawa kepada kematiannya akibat kecederaan parah yang dialami. 

Barangkali ini adalah antara peristiwa yang paling menyayat hati yang berlaku ke atas seorang wanita dalam sejarah moden kemanusiaan hari ini.

Perbahasan hangat tentang punca kejadian dan faktor yang membawa peristiwa tersebut kini sedang dibincangkan secara terbuka. 


Nampaknya, keselamatan wanita terus terancam dan mereka sentiasa saja terdedah dengan pelbagai perbuatan yang boleh meragut kehormatan dan nyawa oleh individu dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. 


Dianiayai oleh penyerang 

Dalam kes yang berlaku di India ini, berasaskan laporan semasa yang diikuti, wanita yang menjadi mangsa keganasan ini bukan seseorang yang mengancam kepada persekitarannya dalam erti memiliki senjata berbahaya atau seumpamanya.

 Beliau dianiayai oleh penyerang ketika dalam perjalanan bagi memenuhi urusan kehidupan hariannya sebagai seorang individu dan warganegara. Tentu sesiapa saja yang memiliki perasaan halus berasa sedih dan kecewa dengan penganiayaan yang tidak berperikemanusiaan ke atas individu yang tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi perundangan.

Terdapat ulasan yang menyalahkan mangsa kerana tidak menghormati keadaan sosiobudaya masyarakat India yang bersifat tradisional apabila bersiar-bersiar di sebelah malam bersama teman lelaki, satu perbuatan yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang remaja wanita. 


Perbuatan ini menggambarkan remaja ini bukan seorang yang terhormat dan nasib yang ditanggung mangsa adalah sejajar dengan perbuatannya. Ulasan ini boleh dianggap bersifat ‘liar’ yang tidak disandarkan kepada asas kemanusiaan dan perundangan.

Kesalahan budaya yang dilakukan oleh sesiapa juga tidak boleh sama sekali dijadikan asas bagi merasionalkan perbuatan jenayah yang membabitkan kehormatan dan nyawa manusia. Justifikasi sebegini sungguh memalukan dan tidak boleh sama sekali diterima oleh mana-mana masyarakat kerana ia memaparkan tahap nilai peradaban warganya yang begitu rendah. 


Kesalahan budaya, andainya wujud, harus ditangani menerusi saluran kesedaran dan kependidikan dan bukan menerusi penggunaan kekerasan dan penganiayaan. Sikap menggunakan justifikasi budaya bagi membenarkan perbuatan jenayah terhadap hak kemanusiaan insan lain adalah satu perbuatan yang zalim dan harus ditentang secara terbuka.

Kita berasa sedih dengan peristiwa ini kerana ia secara langsung memaparkan keadaan peradaban kemanusiaan kita hari ini masih lagi berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan. 


Ternyata, walaupun zaman terus berkembang dan berubah, ia tidak semestinya menyumbang secara sepenuhnya terhadap peningkatan peradaban kemanusiaan. 

Dalam keadaan tertentu, sesetengah aspek dalam kehidupan peradaban manusia terus mundur seperti tergambar dalam peristiwa penganiayaan terhadap hak dan kehormatan wanita ini. 

Ternyata, di sesetengah masyarakat, sikap prejudis dan pemikiran yang memandang rendah terhadap wanita masih lagi berleluasa. Kelemahan fizikal wanita sering dijadikan alasan bagi merendah-rendahkan kedudukan dan kehormatannya. Wanita yang seharusnya dibela dan dipelihara kedudukan sering menjadi mangsa kezaliman dan penganiayaan. 

Sejajar dengan ini, gerakan bagi pemberdayaan hak dan jaminan keselamatan wanita oleh individu dan kumpulan masyarakat harus dialu-alukan dan didukung. 

Bagi masyarakat Muslim, usaha meningkatkan keupayaan wanita dalam masyarakat adalah perintah agama. Al-Quran menangani permasalahan ini dengan jelas menerusi seruannya secara terbuka iaitu kedudukan wanita dan lelaki adalah setaraf walaupun dari fungsi dan peranannya dalam kehidupan yang kompleks ini tidak semuanya dalam keadaan setara. 

Sikap jelas dan terbuka al-Quran ini adalah satu bentuk tindak balas pemikiran dan budaya terhadap sikap segolongan masyarakat Arab sebelum Islam yang juga memiliki sikap dan amalan buruk terhadap golongan wanita. 

Sejarah mencatatkan iaitu sistem peradaban mereka sebelum kedatangan Islam tidak memberi jaminan jelas terhadap isu keselamatan dan kehormatan wanita seperti tergambar dalam pelbagai fenomena penganiayaan dan kekerasan terhadap wanita berleluasa.

Jamin kedudukan wanita

Untuk itu, sebarang bentuk inisiatif ke arah menjamin kedudukan dan kehormatan wanita seperti diaspirasikan agama harus sentiasa didukung. 


Penilaian secara berterusan tentang jaminan keselamatan ini dari aspek perundangan, pendidikan dan penguatkuasaan wajar dilakukan secara objektif, manakala usaha positif dari segi dasar dan program harus terus diperkasakan. 

Credit: Dr Muhammad Razak Idris/UKM

No comments:

Post a Comment