Monday, 21 January 2013

KES ROGOL MENINGKAT 23 PERATUS

New Delhi: Kes rogol di ibu negara India melonjak 23 peratus pada 2012 berbanding tahun sebelumnya, menurut perangkaan rasmi, menunjukkan peningkatan jenayah terhadap wanita di bandar raya itu. 

Perangkaan itu disiarkan ketika perbicaraan lima lelaki bermula hari ini atas tuduhan membunuh, merogol dan menculik berhubung kematian mangsa rogol beramai-ramai berusia 23 tahun, yang mencetuskan kemarahan dan bantahan di seluruh negara.


 Kes terhadap defendan keenam, yang berkata beliau berusia 17 tahun, akan didengar secara berasingan oleh mahkamah juvana. 


Kadar sabitan dalam kes rogol di Delhi lebih tinggi berbanding kadar negara. Namun kami tidak mengambil ringan perkara ini. Kami perlu bekerja lebih keras, kata Pesuruhjaya Polis New Delhi, Neeraj Kumar, kepada wartawan Jumaat lalu. 

Pada 2012, 706 kes rogol dilaporkan, peningkatan 23.43 peratus daripada tahun sebelumnya, kata polis. 

Kira-kira 45 kes rogol dan 75 kes cabul dilaporkan dalam masa dua minggu selepas serangan kejam ke atas penuntut fisioterapi pada 16 Disember lalu. 

Mangsa meninggal dunia di Singapura akibat kecederaan dalaman teruk hampir dua minggu selepas serangan itu. 


New Delhi, kota raya dengan 16 juta penduduk, memang sudah lama digelar ibu kota rogol India. 


Ia dikenali sebagai bandar raya di India paling tidak selamat untuk wanita dengan lebih dua kali ganda kes rogol dilaporkan pada 2011 berbanding Mumbai. 

Sejak kes rogol berkumpulan bulan lalu, penunjuk perasaan di seluruh India mendesak hukuman lebih keras kepada jenayah terhadap wanita dan kawalan keselamatan lebih baik. 

No comments:

Post a Comment