Monday 21 January 2013

MARI BERSIKAP JUJUR...


Sifat jujur, amanah akan manfaatkan semua pihak


SIFAT jujur dan amanah adalah sikap dan unsur sangat penting dalam memikul sesuatu tanggungjawab. Kemahiran dan kecekapan sahaja tidak cukup. Tanpa kejujuran, tanggungjawab tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Lebih buruk lagi, jika seseorang itu mengambil hak yang bukan miliknya, atau menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepadanya.
Nilai jujur atau integriti ini diperlihatkan dalam kehidupan para Nabi seperti yang terakam dalam Al-Quran. Antaranya ialah:
kejujuran dan sifat amanah Nabi Musa as bersama keluarga Nabi Syuaib as. Sikap Nabi Musa as (amanah menggembala kambing) cukup menyenangkan hati sehingga Nabi Syuaib as menawarkan anaknya untuk dinikahi, dan berharap Nabi Musa as terus menguruskan gembalaan kambingnya bagi tempoh lapan hingga 10 tahun. Ini dipenuhi Nabi Musa. Baginda bukan sahaja menonjolkan nilai jujur dan amanah, bahkan seorang yang menjunjung teguh nilai Al-Wafaa (berpegang teguh pada janji).
Kisah Nabi Yusuf as yang terkenal dengan perancangan ekonomi dan kewangan Mesir. Baginda menitikberatkan aspek amanah dalam memegang jawatan - berkhidmat bukan kerana mengharapkan jawatan, tetapi demi menjaga kemaslahatan dan bagi memastikan ia ditadbirkan dengan baik.
Kisah Nabi Muhammad saw yang berintegriti tinggi sehingga dikenali dengan gelaran 'Al-Amin' (sangat dipercayai) lama sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul.
Malah, ketika sudah dilantik menjadi Rasul pun, golongan musyrikin Quraisy tetap memberikan amanah kepada Rasulullah menyimpan barangan peribadi mereka kerana mereka sedar walaupun mereka mendustakan kerasulannya, mereka tetap mengetahui bahawa Baginda jujur lagi amanah.
Bersandarkan contoh-contoh yang ditonjolkan dalam Al-Quran dan sirah Rasulullah saw, sifat jujur dan amanah sepatutnya menjadi satu sikap yang sebati dalam diri kita.
Seorang yang jujur dan amanah pasti merupakan seorang yang bukan sahaja jujur kepada orang lain, malah pada diri sendiri. Tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa, pastinya juga perlu dipenuhi.
Sifat integriti ini patut dimiliki setiap Muslim. Manfaat atau kelebihannya itu bukan sahaja dapat diraih oleh individu Muslim itu sendiri, bahkan keluarga dan masyarakat umum, Islam mahupun bukan Islam.

No comments:

Post a Comment