Sunday, 20 January 2013

2012, tahun malang pengamal media



Gambar hiasan
Gambar hiasan
SELAIN mencari rezeki dan melaporkan berita kepada dunia, pengamal media khasnya wartawan tidak terlepas daripada menerima ancaman, penculikan dan dibunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tahun 2012 yang baru menutup tirai, dianggap 'tahun malang' buat pengamal media berikutan penganiayaaan terhadap mereka paling tinggi pernah dicatatkan.

Laporan Institut Media Antarabangsa (IPI), Pemerhati Akhbar Paris dan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) melaporkan, seramai 88 pemberita terbunuh iaitu meningkat sebanyak 33 peratus (%) pada 2011 dan seramai 47 wartawan tempatan, digital dan pembantu media maut di lokasi tugasan.

Laporan juga menyaksikan, seramai 897 wartawan menjadi mangsa keganasan termasuk 141 maut, 1,993 wartawan diancam dan mengalami serangan fizikal, 38 wartawan diculik dan 73 wartawan terpaksa meninggalkan negara sendiri kerana bimbang dengan pelbagai ancaman.

IPI dan RSF mendedahkan, Timur Tengah dan utara Afrika antara negara paling berbahaya untuk pengamal media selepas mencatatkan masing-masing dengan 26 kes maut.

Di Asia pula, seramai 24 wartawan terbunuh diikuti Sahara di Afrika dengan 21 kes yang sama.

"Pada 2011 seramai 67 orang wartawan terbunuh atau dibunuh diikuti 58 orang pada 2010 dan 75 orang pada 2009 serta 87 orang pada 2007.

"Manakala pada tahun lalu, seramai 88 wartawan maut ketika melaksanakan tugasan di kawasan bergolak selain dibunuh kumpulan penjenayah berkaitan dengan jenayah terancang termasuk pengedaran dadah, ekstremis, pelampau termasuk juga pembunuhan yang diarahankan oleh pegawai-pegawai rasuah," kata jurucakap IPI dan RSF yang mengakui trend pembunuhan wartawan dunia kini dianggap sebagai ancaman terbesar kepada kebebasan bersuara.

Syria - Digelar sebagai 'tanah perkuburan pemberita' berikutan konflik melampau

Sekurangnya, 61 wartawan termasuk 44 wartawan tempatan dan empat pembantu media terbunuh sepanjang 2012 ketika konflik untuk menyingkirkan Presiden Bashar Al-Assad oleh Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Negara di bawah pimpinan Assad ini menjadikan kumpulan pemberita sebagai sasaran tidak rasmi kekejaman rejim termasuk FSA.

Kini, sesiapa sahaja yang cuba mengumpul atau menyebarkan berita mengenai Syria perlu sanggup menggadai nyawa susulan tersebarnya arahan berwaspada daripada pemimpin kerajaan dan FSA terhadap sumber maklumat dan berita yang disebarkan ke negara antarabangsa.

Somalia - Tahun kesedihan, dua maut dalam tempoh 24 jam

Jumlah kematian wartawan pada tahun 2012 menyamai angka korban pada 2009 sekali gus menjadi tahun paling berbahaya kepada pengamal media.

Menurut laporan, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ), September adalah tempoh paling berdarah apabila tujuh wartawan terbunuh, dua daripadanya maut dalam tempoh 24 jam.

Kebanyakan mangsa terbunuh disebabkan serangan bom terancang oleh pasukan pengganas termasuk militan bersenjata Al-Shabab atau pegawai kerajaan tempatan yang mahu menutup mulut pemberita.

Pentadbiran goyah dan gagal mentadbir sejak dua dekad lalu, turut menyumbang kepada keganasan yang dianggap normal di negara itu.

Keadaan bertambah buruk selepas kerajaan negara itu tidak menyekat askarnya yang bebas membunuh pengamal media tanpa melakukan siasatan terperinci.

Pakistan - Terbunuh setiap bulan

Seramai 10 wartawan dan pembantu media dilapor terbunuh dan kebanyakannya disebabkan keganasan di Balochistan serta tindak balas kumpulan Taliban.

Pakistan juga merupakan salah sebuah negara paling berbahaya terhadap media sejak tahun 2009 hingga tahun 2011.

Fakta ini berdasarkan situasi serangan bom berterusan dalam wilayah Balochistan yang dilabel sebagai kawasan yang dihuni puak paling berbahaya di dunia.

Faktor georgrafi juga antara penyebab utama negara ini berbahaya kerana bersempadan dengan Afghanistan yang kerap bersengketa dengan India.

Kumpulan pemerhati hak asasi kemanusiaan melaporkan, Pakistan adalah negara paling rumit di dunia dalam penyebaran berita.

Pemberita dan pengamal media di negara itu sering kali terdedah dengan ancaman pengganas, keganasan polis dan konflik berbahaya melibatkan kawasan berpuak.

Mexico - Sasaran kartel dadah

Seramai enam wartawan terbunuh sewaktu melakukan tugasan mengenai keganasan berterusan kumpulan dadah Mexico.

Ia kemudian merebak sebaik pihak berkuasa pusat melaksanakan tindakan ketat menentang kartel dadah sejak enam tahun lalu.

Hanya wartawan yang berani sahaja sanggup membuat liputan terhadap isu melibatkan pengedaran dadah, rasuah, ketirisan dalam kerajaan serta pencabulan hak asasi kemanusiaan oleh kerajaan pusat.

Brazil - Bahaya liputan penyeludupan dadah

Seramai lima wartawan terbunuh sewaktu membuat liputan mengenai isu penyeludupan dadah di Brazil.

Menurut laporan pegawai polis, kumpulan penyeludupan dadah yang beroperasi di sempadan Paraguay disyaki terlibat dalam kes pembunuhan dua daripada lima wartawan pada tahun lalu.

"Dua daripada mangsa yang dipercayai dibunuh kumpulan pengedar dadah adalah penulis blog yang dianggap kurang terdedah dengan ancaman bunuh kerana sebaran berita mereka lebih meluas dan cepat berbanding akhbar," kata pegawai.

Credit:NURBAYA ABDUL REZAK/Sinar

No comments:

Post a Comment