Monday 21 January 2013

Laung azan panik lihat pusaran angin


Mersing: Dalam ketakutan dan panik, saya hanya mampu melaungkan azan sekuat hati, sejurus melihat pusaran angin kencang dari arah laut, sedang menghala ke arah surau. 

Sejurus azan berakhir, saya nampak pusaran angin itu bertukar arah menghala ke Blok B sebelum menerbangkan sebahagian bumbung bangunan itu dan garaj di situ, kata pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing (SMKM), Sapie Rahmat. 
Sapie, 43, berkata ketika kejadian jam 7.50 malam kelmarin, beliau sedang bertugas sendirian di pondok pengawal sekolah itu sebelum menyedari pergerakan pusaran angin kencang itu. 


Akibat kejadian itu, kerosakan bumbung yang dialami menyebabkan beberapa bilik pentadbiran dan perpustakaan di sekolah itu dimasuki hujan lebat. 

Kejadian itu menyebabkan kelengkapan dan harta sekolah yang ada dalam bilik berkenaan termasuk komputer, mesin cetak, bahan bacaan di perpustakaan rosak selain bekalan elektrik terputus, katanya mengimbas kembali angin kencang yang melanda selama kira-kira 10 minit itu. 

Pegawai Pelajaran Daerah, Md Jais Samat, yang mengesahkan kejadian itu, berkata sebaik menerima maklumat kejadian itu, beliau menugaskan seorang pegawainya ke lokasi.

No comments:

Post a Comment