Saturday, 19 January 2013

Terpedaya fitnah harta



Sememangnya manusia ini sifatnya memang menyukai harta dan kekayaan. Tidak kiralah status sosialnya sebagai orang kaya atau miskin, mereka menjadi ghairah dengan harta. Atas sebab itulah Allah SWT mengingatkan kita tentang fitnah harta: Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (al-Anfal: 28)
Harta dan kekayaan juga sering menjerat manusia untuk mengejarnya, sehingga sanggup mengabaikan perkara haram, menafikan keberkatan dan melupakan kesan kepada kehidupan di akhirat. 

Allah SWT mengingatkan lagi: Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (iaitu orang-orang) yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya (tetapi tidak menyalurkan kekayaannya ke jalan-jalan yang dikehendaki Allah). (al-Humazah: 1-2)

Berbalik kepada persoalan di atas, adakah Islam mengizinkan para penganutnya yang sihat tubuh badannya, yang sihat akal fikirannya dan mampu pula bekerja sehingga mendatangkan penghasilan untuk mendapat habuan zakat?

Asalnya, mereka yang dipandang mempunyai kesihatan dan kekuatan tubuh badan adalah sama seperti orang kaya, yakni ditegah untuk disalurkan zakat atas nama kemiskinan kepada mereka. Sehinggalah diketahui bahawa di sebalik sifat fizikal itu, hakikatnya mereka memang memerlukan bantuan zakat.

Di dalam satu hadis dinyatakan oleh Ubaidullah bin Adi seperti berikut: "Diberitakan kepadaku oleh dua orang lelaki, bahawa mereka mendatangi Nabi SAW dalam haji Wada', kala itu Nabi SAW sedang membahagi sedekah, lalu memohon kepada Nabi SAW bahagian mereka. Maka Nabi SAW mengangkat pandangannya melihat kami dan merendahkannya, lalu baginda mendapati kami orang yang kuat, kerana itu bersabdalah baginda: Jika kamu mahu, aku berikan juga, sesungguhnya tidak ada bahagian pada zakat itu untuk orang kaya dan untuk orang kuat yang mempunyai usaha." (riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasaie)

Al-Khatabi menyatakan, bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa seseorang yang tidak diketahui mempunyai harta sedangkan zahirnya mereka sihat, maka boleh dianggap sebagai seorang yang fakir untuk menerima zakat. Begitu juga, biar pun fizikalnya dia kelihatan mampu bekerja; namun itu tidak memadai melainkan hendaklah dipastikan dia memang benar-benar mempunyai usaha atau pekerjaan bagi dirinya sendiri, maka sementara itu layak dia menerima zakat (rujuk Pedoman Zakat, TM Hasbi as-Shidieqy, hal. 154).

Sementara itu, di dalam hadis-hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW pernah menegah seseorang Muslim untuk meminta-minta, seperti mana sabda baginda: "Meminta itu tidak dihalalkan, kecuali kepada tiga jenis orang, iaitu orang yang sangat fakir, orang yang mempunyai hutang yang sangat banyak dan orang yang wajib membayar diyat (denda yang disabitkan kepada kesalahan qisas dalam syarak)." (riwayat Abu Daud)
Maka, daripada hadis ini boleh difahami, bahawa jika orang-orang yang sihat dan kuat tubuh badan itu termasuk dalam salah satu kategori di atas, maka boleh mereka meminta bantuan orang lain bagi menutupi keperluannya.

Manakala di dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW dengan tegas menyatakan: "Tidak halal sedekah itu bagi orang-orang kaya dan bagi orang yang mempunyai tenaga (untuk) berusaha." (riwayat Ahmad, an-Nasaie dan at-Termizi)

Fuqaha seperti as-Syafie, Ishak, Abu Ubaid dan Ahmad berkata, hadis ini menjadi pertunjuk bahawa tidak halal menyalurkan zakat kepada orang yang kuat bekerja dan mempunyai pekerjaannya. Kecuali dia memang sudah mempunyai pekerjaan; namun masih tidak mampu memenuhi keperluannya, seperti mana pada pandangan ulama terdahulu, boleh bagi orang yang kuat mengambil sedekah jika mereka mempunyai kurang daripada dua dirham demi kehidupannya (ibid, hal. 155).

Credit: 

No comments:

Post a Comment