Saturday 19 January 2013

ISLAM GALAKKAN SIFAT BANTU MEMBANTU


Kita digalak sejahterakan orang lain


Sambutan Maulidur Rasul menyingkap kembali ingatan kita kepada kemuliaan pekerti Baginda Rasulullah SAW. Firman Allah SWT: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.” (Surah Al-Qalam, ayat 4) 

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sungguh, aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia.” Saidatina Aisyah menyifatkan akhlak Rasulullah adalah al-Quran. (Riwayat Muslim).


Disebut oleh al-Maraghi dalam mentafsirkan firman Allah SWT, Rasulullah memiliki segala sifat kemuliaan seperti berani, malu, sabar dan penyayang. 


Kemuliaan akhlak ini adalah suatu rahmat dan sumber kebahagiaan dunia serta akhirat dari Allah SWT untuk diteladani. 

Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107) 


Akhlak mulia 

Kemuliaan akhlak yang ditunjukkan Baginda kerana takwa kepada Allah SWT. Justeru, akhlak mulia adalah syariat yang dibawa dan sendi agama yang tidak boleh dipisahkan daripada perilaku. Ia adalah karakter bagi seorang Muslim dan Mukmin. 


Sabda Rasulullah SAW, seorang Muslim bukan saja yang menganut Islam tetapi seorang yang mensejahterakan manusia dengan lidah dan tangannya, manakala Mukmin pula bukan saja merujuk kepada seorang yang beriman tetapi yang mengamankan manusia dengan diri dan hartanya. 

Kedua-dua maksud daripada sabda Baginda ini menunjukkan akhlak terpuji itu ialah apabila kita berbuat baik dan mensejahterakan orang lain dengan kebajikan, sama ada secara fizikal mahupun material. 

Daripada sekecil-kecil kebaikan seperti melemparkan wajah dengan senyuman manis kepada orang lain, memberi serta menghulur salam dan saling berpesan kepada kebaikan sehinggalah kepada pengorbanan harta atau nyawa. 


Senyuman adalah sedekah 

Rasulullah SAW bersabda: “Senyum yang engkau lontarkan ke wajah saudaramu adalah sedekah.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Hibban) 

Sebaliknya, sifat mementingkan diri sendiri, tidak mempedulikan orang lain dan berbuat keburukan adalah dilarang dalam Islam. 

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada yang lebih memberatkan timbangan hamba Mukmin pada hari akhirat kelak daripada budi pekerti yang baik. Dan sesungguhnya Allah membenci orang yang melakukan kekejian.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Justeru, sebagai pekerja yang sentiasa mahu berusaha mengambil teladan daripada sifat dan amalan Rasulullah dalam mensejahterakan rakan atau pelanggan, ia boleh dilakukan dengan mengenali ragam dan keperluan pelanggan. 

Antaranya dengan memberikan layanan mesra dan baik; berusaha sedaya upaya untuk mengotakan piagam pelanggan dan slogan perkhidmatan; menyediakan perkhidmatan yang pantas dan berkualiti; dan bersedia menawarkan perkhidmatan apabila diperlukan tanpa mengira kedudukan pelanggan. 

Juga bersabar dan tidak terburu-buru dalam menangani kerenah pelanggan; berusaha memahami dengan bersifat empati dan bertolak ansur dalam menyelesaikan aduan pelanggan yang kecewa; menerima aduan pelanggan dengan objektif serta mengambil langkah penambahbaikan dan berbudi bahasa. 


Dekat dengan Allah 

Usaha menjadikan kepuasan orang lain sebagai kepuasan diri adalah sunnah Rasulullah SAW yang bernilai untuk merapatkan hubungan dengan manusia serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kamu tidak dapat membeli hati manusia dengan harta. Akan tetapi kebaikan budi pekerti kamulah yang menawan hati mereka.” (Riwayat al-Baihaqi) 

Ini diakui khalifah di zaman Abbasiyyah, Khalifah Abu Jaafar al-Mansur, yang menyebut dalam syairnya: “Kebaikan akan kekal sepanjang zaman, sedangkan kejahatan hanyalah sampah yang dikumpulkan.” 


Kayu pengukur 

Amalan ini juga adalah kayu ukur bagi kerja keras dan bersungguh-sungguh. 

Justeru, ia hendaklah tidak sekadar dijadikan kod etika dan budaya kerja dalam kalangan pegawai khidmat pelanggan atau pegawai ditugaskan di kaunter saja tetapi kepada semua tahap serta fungsi pekerja. 

Hal ini akan mendorong kepada budaya kerja dan iklim organisasi cemerlang yang menyeluruh. 

Daripada Abu Musa al-Asy'ari, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya saling mengukuh sebahagian yang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha mempertingkatkan amalan perkhidmatan dengan tumpuan untuk mensejahterakan orang lain sebagai suatu kepuasan diri dalam bekerja sesuai sabda Baginda bahawa sebaik-baik manusia ialah yang memberikan manfaat kepada yang lain. 


Credit: Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail/API/UM

No comments:

Post a Comment