Dua menyamar polis diberkas
Dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan dipercayai cuba untuk melakukan jenayah, berjaya ditangkap. - Foto: Ihsan Balai Polis Damansara
Dua menyamar polis diberkas
Jaket dan telefon bimbit yang dirampas. - Foto: Ihsan Balai Polis Damansara
PETALING JAYA - Tindakan dua individu menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun penduduk di sekitar Damansara, berakhir dengan penahanan mereka di Mutiara Damansara, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, anggota polis dari Balai Polis Damansara yang melakukan rondaan di kawasan itu mengesan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Mereka melarikan diri tetapi ditahan selepas kira-kira 200 meter.

Seorang daripada mereka memakai jaket hitam dengan logo polis dan baju seragam kadet polis.

“Seorang warga Myanmar, manakala seorang lagi lelaki tempatan. Mereka berusia dalam lingkungan 20-an,” katanya.

Arjunaidi berkata, motosikal yang mereka naiki dilaporkan hilang di Kota Damansara.

“Kedua-dua mereka ditahan reman untuk membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Credit: AHMAD ISMADI ISMAIL