Wednesday 19 June 2013

Gagal samun RM50,000 seorang suspek mati ditembak

KLANG 19 Jun - Sekumpulan penjenayah bukan sahaja berputih mata kerana gagal menyamun seorang pengurus kilang yang baru mengeluarkan wang tunai berjumlah RM50,000 di sebuah bank di Jalan Kapar di sini hari ini, malah tindakan itu membawa padah apabila salah seorang daripada mereka mati ditembak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, suspek yang merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun menemui ajalnya setelah pengawal peribadi pengurus kilang itu melepaskan tembakan yang mengenai belakang kepala penjenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, suspek bersama empat lagi rakannya yang menaiki kereta Proton Waja dan Proton Wira dipercayai mengekori kereta Proton Waja yang dinaiki pengawal peribadi dan pengurus terbabit sejurus keluar daripada bank.

Beliau berkata, setibanya di hadapan sebuah bank lain, kira-kira 250 meter daripada bank pertama, kumpulan terbabit bertindak menghalang kereta mangsa.

"Suspek telah keluar daripada kereta dan cuba memecahkan cermin kiri kereta mangsa di sebelah penumpang sebelum pengawal peribadi tersebut melepaskan tembakan pertama.

"Ekoran tidak berpuas hati, suspek mencuba sekali lagi memecahkan cermin kereta dan pengawal peribadi terus melepaskan tembakan kedua yang terkena bahagian kepala suspek sebelum dia rebah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Shukor berkata, kumpulan suspek itu kemudian melarikan diri dan pengurus terbabit mengarahkan pengawal peribadinya mengejar kereta tersebut sejauh 50 meter ke arah Bulatan 100 dan melepaskan tiga das tembakan lagi.

"Bagaimanapun, kesemua suspek berjaya melarikan diri dan pengurus kilang serta pengawal peribadi terbabit terus membuat laporan polis di Shah Alam.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada kesemua suspek merupakan ahli mana-mana kumpulan. Suspek yang ditembak mati merupakan warga Indonesia dan kita menjumpai pasport bersamanya," katanya.

Tambah Mohd. Shukor, mayat suspek kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat dan polis kini giat memburu kesemua suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan rompak dan Seksyen 39 Akta Senjata 1961," katanya.

No comments:

Post a Comment